MENANAMKAN KEMANUSIAAN SEBELUM MENANAMKAN AGAMA - SIRI 2

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhtx__BFZqBZT4OzKvQZ7SSyhB5z161-2IWBjyPREeQgMkXjw1dFp5xpZ6O8mSTXIVIAgk5VJ2sCTgiqKrIpjVTgQo32kTls7_YVRft-q_YmxcjvdaX1__JmfbTNJj2SZl0D0DV1-tvNy4/s400/1+zZ1OMiTFjc-Sp00uHTplag.jpeg


Setiap kali aku melihat para pemuda dan pemudi, sama ada yang berada di luar bandar dalam keadaan tertekan, atau yang tinggal dalam kesibukan hidup di kota-kota, atau ketika aku memberi peringatan di masjid-masjid dan persatuan-persatuan agama, aku melihat bahawa di sana adanya sesuatu yang hilang. Ianya mesti ada, untuk menghubungkan manusia dengan agama, hubungan yang menguntungkan untuk agama dan manusia.

Mungkin kamu akan menghabiskan masa untuk merawat haiwan tunggangan yang cedera, atau menggunakan waktu itu untuk memperbaiki kereta atau kapal terbang yang rosak, tetapi hasil daripada usaha-usaha ini berubah-ubah. Orang yang akan menunggang haiwan itu selepas ia pulih bukanlah orang yang akan menaiki kapal terbang selepas ia dibaiki.

Menyebarkan dakwah agama ini dalam kalangan masyarakat yang malas, lemah, dan sombong, mungkin akan menambah bilangan pendukung agama ini, tetapi hanya penyokong yang malas atau pengikut yang mabuk.

Maka adakah hasil ini akan terjadi, sekiranya dari mula lagi kalian sudah bekerja untuk membebaskan pemikiran yang tertutup, membangunkan potensi yang belum digunakan, menguatkan jiwa yang lemah, dan merawat orang yang mempunyai ‘penyakit’ dan hati yang buta?

Maka selepas itu, apabila kamu membawa seseorang untuk berkhidmat kepada agama, kamu akan datangkan kekuatan untuk agama, iaitu orang yang beramal dengannya, dan tidak ada apa yang dapat menghalang visinya.

Sesungguhnya Rasulullah memfokuskan dakwahnya kepada bangsa Arab terlebih dahulu. Mereka ini walaupun dalam kekufuran yang diwarisi, mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang rendah, mempunyai tubuh yang tidak terkesan dengan penyakit yang berjangkit, dan mempunyai kecergasan badan yang tinggi. Ketika mereka dalam kesesatan, kehebatan mereka digunakan untuk menakutkan para musuh. Ketika Nabi Pembawa Risalah membawa mereka daripada kesesatan kepada pentunjuk, mereka menjadikan al-Haq (kebenaran) itu kukuh. Mereka membawa al-Haq ini mengelilingi seluruh pelusuk bumi, berjuang dengan penuh gagah hinggakan al-Haq ini mampu menggegarkan gunung-ganang di hadapannya.

Masyarakat Islam pada hari ini berada di peringkat membina kekuatan fizikal dan akhlak, membentuk ruang amal dan sistem, dan menghasilkan produk-produk serta mengembangkan bakat-bakat. Peringkat ini merupakan tempoh yang lama, yang perlu kita selesaikan segera supaya kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di hadapan masyarakat Barat yang menolak Islam dan juga masyarakat yang menolak seluruh agama.

Sesungguhnya ketajaman akal, kesedaran pemikiran, dan percambahan pandangan merupakan unsur-unsur yang perlu ada untuk membina iman yang sahih, kerana iman merupakan pengetahuan yang mencapai tahap keyakinan tanpa keraguan. Sekiranya tidak ada kesedaran yang jelas dan kefahaman yang matang, maka keyakinan itu tidak ada nilainya.

Janganlah ada yang menyangka bahawa kita menzalimi orang-orang yang bodoh atau menafikan hak mereka, tetapi hakikatnya idea ini diinspirasikan daripada nas-nas al-Quran. Hanya akal yang bijak yang mampu merungkai rahsia-rahsia penciptaan alam dan memahami tanda-tanda kebesaran Allah di pelbagai tempat dan zaman. Allah berfirman:

“Orang yang takut kepada Allah hanyalah daripada kalangan hamba-hambanya yang ‘alim (yang mengetahui)” (Fatir: 28).

Allah berfirman lagi:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, peredaran siang dan malam terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal” (Ali Imran: 190).

Hanya akal yang bijak yang mampu membezakan antara al-Haq dan al-Batil serta memahami hakikat wahyu yang jauh daripada nafsu dan kesesatan. Allah berfirman:

“Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada tuhanmu itu (wahai Muhammad) adalah al-Haq (perkara yang benar), sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal” (Ar-Ra’d: 19).

Hanya akal yang bijak yang mampu mengambil pengjaran daripada peristiwa lampau, dan mendapat manfaat daripada sejarah kemanusiaan yang panjang dan kisah-kisah orang yang menang atau orang yang kalah, sama ada daripada orang-orang yang memperbaiki atau orang-orang yang merosakkan. Allah berfirman:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal” (Yusuf: 111).

Tidak ada kebijaksaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, atau ketepatan dalam membuat penilaian terhadap seseorang atau sesuatu masalah, atau kefahaman terhadap punca dan hasilnya, melainkan hanya ada pada orang-orang yang mempunyai akal yang bijak, pengetahuan yang luas, dan kelebihan yang hebat. Allah berfirman:

“Allah memberikan hikmah (kebijaksaan) kepada siapa yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang diberikan hikmah maka dia diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang mendapat pengajaran melainkan hanya orang-orang yang berakal” (Al-Baqarah: 269).

Mendidik akal, mengembangkan bakat, dan membuka ruang kemanusiaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Peringkat pembelajaran di sekolah dan pelaksanaannya dalam kehidupan, penelitian pandangan-pandangan yang berbeza, menyatukan apa yang kita tidak ketahui dan apa yang kita ketahui, dan melihat sesuatu dengan cara pandang yang baru dengan penuh berhati-hati dan harmoni bukan dengan pandangan yang jumud dan prejudis, serta menguasai aspek material dan budaya. Kesemua ini merupakan wasilah (metod) pembentukan akal manusia. Ia juga merupakan kaedah bagi akal yang sejahtera untuk mengenal Allah, beriman dengannya, dan mendapat faedah daripada agama ini.

Bersambung…



Siri 1: Menanamkan Kemanusiaan sebelum Menanamkan Agama- Siri 1

Penulis: Shiekh Muhammad Al-Ghazali
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber:
الإنسان أولا .. أو تصحيح الإنسانية قبل غرس تعاليم الدين


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

 

Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews