EMPAT NILAI ASAS DALAM SIASAH


https://i.ytimg.com/vi/RvIO_zqP-Lo/maxresdefault.jpg
 
Shariah Islam tidak berbicara mengenai sistem politik secara terperinci sepertimana dalam urusan ibadat, urus niaga, ekonomi, dan warisan. Tetapi Islam datang dengan asas-asas dan nilai umum yang didapati dalam setiap sistem politik, dan bekerja untuk melindungi dan memelihara nilai tersebut. Manakala perincian dan butirannya ditinggalkan kepada ijtihad manusia untuk membangunkan sistem yang mencapai dan melindungi nilai-nilai tersebut.

Terdapat empat nilai asasi yang menjadi tuntutan Shariah untuk direalisasikan dalam apa jua sistem politik, iaitu: KEADILAN, SYURA, KESAKSAMAAN dan KEBEBASAN.

Jika kita mahu untuk mewujudkan sebuah tadbir urus Islam yang benar dan jauh daripada sekadar slogan dan retorik, perlu kita lihat kepada sistem politik yang sedia ada, tidak kira apapun nama sistem ini. Jika wujud empat nilai ini dalam sistem tersebut, kita boleh menganggapnya sebagai sistem politik Islam yang benar. Sekiranya tidak wujud empat nilai ini, maka tidak boleh dianggap ia sebuah sistem yang Islami dan terpimpin.


KEADILAN

Allah berfirman:

إنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Allah menuntut kita melaksanakan keadilan dalam banyak ayat-ayat al-Quran dan mengharamkan kezaliman dan menjadikannya sebagai dosa besar. Namun, persoalan bagaimana merealisasikan keadilan dan bagaimana ianya boleh dicapai, al-Quran tidak memberikan penjelasan yang terperinci mengenainya melainkan garis panduan umum bagi mencapainya. 

Sepertimana misalannya urusan kehakiman, sama ada ia perlu satu lapisan atau dua lapisan atau tiga lapisaan? Semua terpulang kepada ijtihad manusia, akal manusia dan kajian manusia untuk mencapai keadilan. Apa yang penting ialah keadilan dapat dicapai tanpa mengira nama dan slogan. Jika contohnya diperkenalkan institusi kehakiman dengan nama badan kehakiman Islam atau undang-undang Islam, tetapi institusi ini dipenuhi dengan kezaliman! Adakah ini menyahut perintah Allah untuk mencapai keadilan! 

Inilah yang dimaksudkan Ibn Taimiyyah apabila mengatakan:” Allah mengangkat negeri kafir jika mereka melaksanakan keadilan dan menjatuhkan negeri orang beriman jika mereka berlaku zalim.”


SYURA

Syura atau rundingan merupakan nilai politik yang paling penting dalam Islam. Allah memerintahkan dalam dua ayat dari Al-Quran:

وأمرهم شورى بينهم

"dan Allah mengarahkan mereka untuk melakukan syura antara mereka,"

 وشاروهم في الأمر

“Dan mereka bersyura dalam sesuatu perkara”

Dan Allah menamakan satu surah khas dengan nama “Syura”. Tetapi apakah perincian konsep syura tersebut? Bagaimana bentuknya dan bagaimana cara melaksanakannya?

Jika kita cari dalam buku Siasah Syar’iyyah, kita tidak akan dapati melainkan panduan umum walaupun pentingnya prinsip ini dalam sistem pemerintahan islam. Tetapi perinciannya dibiarkan untuk usaha, fikiran dan percubaan manusia, bagi mencapai sistem yang terbaik untuk merealisasikan nilai ini. Sama ada hanya satu majlis dan salah satu daripada Syura atau dwidewan tidak ada yang salah demikian. Tidak kisah apa jua nama yang ingin diberikan kepada institusi ini (parlimen atau dewan rakyat) yang penting prinsip Syura dapat dicapai melalui institusi ini.


KESAKSAMAAN

Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa manusia adalah umat yang satu, dan mereka adalah sama dari sudut hak dan kewajipan, dan tidak ada keutamaan lelaki ke atas wanita atau putih ke atas hitam dan tiada kelebihan Arab berbanding bukan Arab serta Raja ke atas hamba.
Sesungguhnya perlakuan Rasulullah melambangkan gambaran terbaik kesamarataan antara manusia. Tetapi bagaimana kita boleh mencapai kesaksamaan dan apakah perinciannya? Ini juga ditinggalkan untuk percubaan dan usaha manusia. Adakah kesaksamaan dicapai dalam pengasingan kuasa? Apakah perlunya mewujudkan keseragaman dalam masyarakat untuk mencapai kesamarataan? Semua ini terpulang kepada manusia, apa yang penting adalah terlaksananya nilai ini di kalangan mereka.


KEBEBASAN

Ini adalah nilai yang menumpahkan banyak darah demi mencapainya. Islam datang untuk menunjukkan bahawa setiap manusia dilahirkan bebas merdeka dan tidak mungkin wujudnya perhambaan. Malah para fuqaha mengangkat kebebasan sebagai salah satu daripada Maqasid Shariah dan Islam menetapkan bahawa tiada paksaan dalam berfikir dan mempunyai kepercayaan, Allah berfirman:

 "Tiada paksaan dalam agama" 

Tetapi butiran kebebasan dan bagaimana boleh dicapai adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan pengalaman manusia. Adakah ianya dicapai melalui pembentukan institusi yang mengenakan sekatan ke atas orang-orang yang memperhambakan manusia dan menyekat kebebasan manusia? Pintu terbuka untuk menubuhkan institusi bagi mencapai nilai kebebasan ini dan melindungnya, yang penting ialah nilai ini wujud dalam sistem politik yang diperjuangkan.

Shariah Islam tidak bercakap secara terperinci mengenai banyak perkara dalam politik Islam, tetapi Islam menggariskan bahawa empat nilai politik yang jika dapat dipraktikkan dalam pemerintahan, kita boleh mengiktiraf sistem ini sebagai sistem Islam dan apabila terhapusnya nilai-nilai ini, maka ia bukanlah daripada sistem Islam. 

Institusi-institusi Islam disarankan berusaha ke arah mewujudkan indeks dan panduan bagi nilai-nilai ini supaya dapat diukur sejauh mana perlaksanaanya dalam masyarakat untuk mencapai kemajuan. Keadilan, perundingan, kesaksamaan dan kebebasan ini jika terlaksana dalam mana-mana masyarakat maka ianya adalah tanda pembangunan dan kemajuannya, dan jika hilangnya nilai-nilai ini dalam sesebuah masyarakat, maka ia adalah petanda awal kepada kemunduran dan kehancurannya.


Penulis: Dr Muhammad Nur Hamdan
Terjemahan :Siasah Rahmah - SR
Sumber: http://blogs.aljazeera.net/…/%D8%A7%D9%84%D9%82%D9%8A%D9%85…



Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/



Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)

SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY


Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews