GOLONGAN YANG CENDERUNG KE ARAH KEZALIMAN DALAM SURAH HUD - SIRI 1



Allah SWT berfirman di dalam Surah Hud ayat 113:

(وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ )

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Imam Abu al-Sa’ud menyifatkan ayat yang penuh hikmah ini sebagai: “Aku berpandangan, ayat ini merujuk kepada pencegahan dan ancaman daripada segala perkara-perkara yang mungkar”. Sebenarnya, ayat ini menekankan mengenai keperluan untuk berwaspada dan berhenti daripada berhubung atau berinteraksi dengan orang-orang yang zalim dan redha dengan kezaliman tersebut. Kamu akan lihat dan sedari bahawa terdapat beberapa kumpulan masyarakat yang berbeza, di mana perbezaan ini disebabkan oleh faktor tahap keilmuan dan faktor kecenderungan pemikiran (iaitu kumpulan orang-orang yang cenderung ke arah kezaliman).

Sepertimana yang disebut dalam aya di atas, kita akan menyentuh mengenai 5 perkara.

Perkara pertama: Allah SWT berfirman:

(وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا)

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim”.

Larangan (seperti ini) tidak diulang-ulang dalam al-Qur’an, bahkan sebenarnya hanya disebut dalam surah Hud ini (surah yang menceritakan mengenai 7 kaum yang disifatkan sebagai zalim dan kejam – kezaliman dan kekejaman mereka disebut di beberapa tempat dalam al-Qur’an). Larangan untuk cenderung kepada orang-orang yang zalim ini hanya disebut di akhir Surah Hud selepas ditonjolkan lebih awal lagi pelbagai bentuk kezaliman yang dilakukan oleh kaum-kaum tersebut sepanjang memegang kuasa (dalam kepimpinan masyarakat).

Dan yang dimaksudkan dengan تَرْكَنُوا (cenderung) oleh ahli-ahli tafsir ialah tidak boleh menunjukkan kecenderungan ke arah kezaliman, sama ada kecenderungan yang berbentuk perbuatan atau kecenderungan yang berbentuk penerimaan (dalam hati). Kecenderungan yang berbentuk penerimaan (dalam hati) bermaksud; cenderung untuk suka dan redha (dengan kezaliman tersebut). Kecenderungan yang berbentuk perbuatan pula bermaksud; berlapang dada, terlibat dalam menjadikan kezaliman tersebut kelihatan lebih indah dan berkompromi dengan orang-orang yang zalim (masih menziarahi mereka, masih bersahabat dengan mereka, masih berada dalam satu majlis dengan mereka, masih menceritakan perkara-perkara yang baik tentang mereka dan masih bergantung harap pada mereka).

Imam Zamakhsyari ada menyebut, sesungguhnya antara perbuatan yang berbentuk kecenderungan ke arah kezaliman ini adalah dengan berpakaian dengan pakaian (yang sama dengan) orang-orang yang zalim. Dan jika kita lihat perbincangan dalam Kamus Bahasa Arab, kita akan dapat lihat bahawa terdapat dua sifat yang dinisbahkan dengan kecenderungan (kepada kezaliman ini) iaitu keinginan yang kuat dan senyap tanpa bersuara.

Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang zalim adalah:

1) orang-orang melakukan kezaliman melalui perbuatan (iaitu setiap orang yang disifatkan sebagai zalim dan sifat zalim itu benar-benar jelas kelihatan pada dirinya);

2) Atau, orang-orang zalim itu adalah kelompok manusia yang sebahagian besar daripada sifat dirinya kekal dengan sifat yang zalim dan diri mereka memang dikenali dengan sifat zalim yang sangat jelas dikaitkan dengan diri mereka.

Sifat atau Perkara yang bertentangan dengan sifat ركون (kecenderungan ke arah kezaliman) adalah sifat sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Razi di dalam tafsirnya iaitu sifat Enggan (enggan bersama-sama dengan orang yang zalim).

Perkara kedua: Allah SWT berfirman:

“فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (112) وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (113) وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (115)”

Kita boleh simpulkan tiga perkara daripada firman Allah di atas iaitu:

1) Secara umumnya, ayat ini menyebut mengenai larangan daripada melakukan kezaliman (dalam bentuk kata majmuk) dan cegahan daripada cenderung kepada orang-orang zalim (juga dalam bentuk kata majmuk, bukannya kata tunggal).

Pada masa yang sama, suruhan untuk istiqamah (dalam melakukan setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah), mendirikan solat dan juga bersabar juga adalah dalam bentuk kata tunggal. Hal ini adalah kerana, bagi sesiapa yang menyelusuri cara penyampaian mesej dalam al-Qur’an dan melihat kepada kedudukan dan peribadi Rasulullah, sesungguhnya orang tersebut akan melihat larangan tersebut adalah larangan secara langsung dan larangan secara terus daripada melakukan kezaliman dan cenderung dengan orang-orang yang zalim tersebut. Menjadi satu keaiban bagi mana-mana hakim sekiranya perkara ini (melakukan kezaliman dan cenderung dengan orang-orang yang zalim) dilakukan sepanjang dirinya bertugas mengadili dan menjatuhkan hukuman. Bagaimana mungkin mereka memimpin ummah (dengan adil) dalam keadaan sebegini?

2) Kezaliman dan kecenderungan kepada orang-orang yang zalim merupakan tindakan-tindakan yang memberikan keburukan bukan sahaja kepada individu, bahkan juga memberikan keburukan kepada masyarakat dan negara. Keadaan ini kelihatan solah-olah kita mendiamkan diri dengan keadaan tersebut – ini merupakan suatu isu yang besar; lebih-lebih lagi apabila kezaliman tersebut dibuat dalam skala masyarakat yang besar. Sebab itulah larangan dan cegahan tersebut dalam bentuk kata majmuk.

3) Larangan daripada cenderung dengan orang-orang yang zalim telah disebut lebih awal berbanding suruhan untuk mengerjakan solat dan suruhan untuk istiqamah (dengan perintah Allah) yang telah disebut dalam potongan ayat seterusnya. Di mana sahaja keadaan yang ada orang-orang zalim dalam masyarakat, di situ juga akan adanya kelompok manusia yang cenderung dengan orang-orang yang zalim – yang mana keadaan ini menafikan kemungkinan untuk orang-orang seperti ini untuk terus istiqamah dengan perintah Allah dan suruhan untuk mengerjakan solat.

Bersambung...

Penulis : Ukhti Fadwa Helmi
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://islamonline.net/6061
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive