RINGKASAN KITAB: AL-SIYASAH AL-SYAR’IYYAH FI DHOUI NUSUS AL-SYARIAH WA MAQASIDIHA




1. Buku setebal 329 muka surat ini antara bacaan malar hijau bagi penuntut Shariah, terutamanya mereka yang ingin memandang ke arah Siasah beradunan Islam, tulisan seorang tokoh yang sudah masyhur dan ma'ruf dalam dunia Islam, iaitu Dr al-Qaradhawi, mantan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad). Maksud tajuknya dalam Bahasa Melayu ialah ‘Siasah Syar’iyyah di Bawah Suluhan Nas-nas Shariah dan Maqasidnya.’ Buku ini adalah salah satu tulisan beliau daripada siri yang menghuraikan salah satu usul daripada usul 20, iaitu usul ke-5, yang menyentuh tajuk Masolih Mursalah, ditulis pada tahun 1998.

2. Dalam muqaddimah, beliau menyebut bahawa Siyasah Syar’iyyah itu berdiri di atas 5 asas iaitu

a) Fiqh Maqasid
b) Fiqh Waqi’
c) Fiqh Muwazanat
d) Fiqh al-Awlawiyyat
e) Fiqh Taghyir.

Ertinya memahami Maqasid Shariah, realiti, pertimbangan Maslahah-Mafsadah, penentuan prioriti, dan kaedah membuat perubahan.

3. Beliau bermula dengan menyebut kesyumulan Fiqh Islam dan bagaimana ia mengandungi Siyasah Syar’iyyah sebagai salah satu juzuknya. Dibawakan persoalan adakah kerajaan yang Islamik itu bab cabang atau prinsip, dan tentang topik Hakimiyyah. Beliau menyebut kurangnya tulisan tentang sistem pemerintahan dalam kalangan ulama Islam, dengan membawa beberapa contoh tulisan dalam bidang itu sama ada oleh ulama silam atau kontemporari. Kemudian barulah beliau membincangkan mafhum istilah ‘Siyasah Syar’iyyah’ itu, asal-usulnya di zaman Nabi dan Khulafa al-Rasyidin, dan perbincangan ulama mengenainya, khususnya Ibn Qayyim.

4. Kemudian perbincangan dibawa berpandukan usul ke-5 tadi dan kandungannya. Siapakah pemerintah yang perlu ditaati dan berhak memakai Masolih Mursalah itu, dan bagaimana pelaksanaannya.

5. Perbincangan panjang seterusnya dibuka dalam menentukan kadar Syara' mengambil kira Ijtihad daripada akal rasional, bersama dakwaan sesetengah orang yang mengambil pandangan akal (‘al-Ra`y’) itu dicela oleh para Salaf, para sahabat yang terawalnya. Kemudian dibincangkan medan yang mana pandangan akal itu boleh dan perlu digunakan.

6. Kemudian dibawakan perbincangan tentang Masolih Mursalah, keabsahannya, pandangan para ulama mengenainya, dan kesimpulan terhadap penggunaannya.

7. Persoalan yang dibawakan seterusnya ialah tentang Syura dan kedudukan pemimpin dalam Syura tersebut. Antara persoalan utamanya, adakah pemimpin perlu tunduk kepada Syura (Mulzim) atau beliau berhak mengeluarkan keputusan bertentangan dengannya (Mu’lim)?

8. Kemudian dibuka satu subtopik tentang berubahnya pandangan pemerintah apabila suasana berubah. Dalam bahagian ini banyak dibawa contoh dari Khulafa al-Rasyidin serta perbincangan ulama mengenainya.

9. Seterusnya dibawakan bab pertembungan Nas dengan Maslahah, antaranya dengan contoh dakwaan al-Tufi yang masyhur itu dibawakan dan dikritik. Kalimah ‘Qat’iy’ dan ‘Zhanniy’ menjadi kata kunci di sini.

10. Kerana seringkali nama Umar al-Khattab RA dijadikan hujah orang tentang menolak Nas demi Maslahah, penulis membawakan satu perbincangan panjang dalam hal ini, 50 muka surat. Antara contoh utama yang diperbincangkan ialah:

a) Umar RA berhenti memberi zakat kepada golongan ‘Muallafat Qulubuhum’;
b) beliau tidak membahagikan tanah negeri-negeri jajahan yang baru dibuka kepada para askar mengikut ayat Ghanimah;
c) beliau menghentikan Hudud curi waktu kebuluran;
d) menghalang orang Islam berkahwin dengan Ahli Kitab;
e) mengira tiga talak dilafazkan serentak menjadi tiga talak, bukannya satu;
f) menambah hukuman sebat peminum arak;
g) menggugurkan panggilan ‘Jizyah’ kepada cukai Kristian Bani Taghlib;dan h) menggunakan autoriti kerajaan untuk meletakkan harga. Kesemuanya persoalan yang kelihatan bercanggah dengan Nas Quran atau Hadis, lalu dibawa perbincangan dan penerangan apakah sebenarnya ia bercanggah.

11. Beliau pun menghuraikan lima asas kepada Fiqh Siyasah Syar’iyyah yang disebutkan dalam muqaddimah.

12. Dalam subtopik Fiqh Maqasid, 60 muka diperuntukkan, dengan menyebut tiga golongan, iaitu golongan yang memahami Nas tanpa memandang kepada Maqasid, golongan yang mengambil ‘Maqasid’ dan membuang Nas, serta golongan Wasatiyyah yang adil dan seimbang antara keduanya. Saya lihat ia perbincangan yang hampir serupa dengan pendahuluan buku beliau ‘Dirasah Fi Maqasid al-Syariah.’

13. Kemudian beliau menerangkan empat asas yang lain, iaitu:
b) Fiqh Waqi’
c) Fiqh Muwazanat
d) Fiqh al-Awlawiyyat
e) Fiqh Taghyir

14. Saya kira ia bacaan yang mudah difahami bagi pemula yang baru masuk ke dalam perbincangan Siyasah Syar’iyyah dan seterusnya, ‘by extension’, perbincangan Maqasid Syariah. Ia suatu ‘compass setting’ atau ‘tawjih’ yang baik supaya pembaca memiliki prinsip yang kuat sebelum larut dalam kekencangan dan agresifnya perbincangan dalam bidang Maqasid Syariah.

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive