Home »
Ringkasan Kitab
,
Usul 101
» RINGKASAN KITAB: MAQASID AL-SHARIAH AL-ISLAMIYYAH WA ‘ALAQATUHA BI AL-ADILLAH AL-SYAR’IYYAH
RINGKASAN KITAB: MAQASID AL-SHARIAH AL-ISLAMIYYAH WA ‘ALAQATUHA BI AL-ADILLAH AL-SYAR’IYYAH
MAQASID AL-SHARIAH AL-ISLAMIYYAH WA ‘ALAQATUHA BI AL-ADILLAH AL-SYAR’IYYAH oleh Muhammad Sa’ad Bin Ahmad al-Yubi
Buku setebal 672 muka surat ini adalah tesis PhD penulis di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pada tahun 1995. Maksud tajuknya ialah Maqasid Shariah Islam Dan Kaitannya Dengan Dalil-dalil Syarak. Bagi saya, buku ini memiliki nilai ilmiahnya yang tersendiri, cuma bagi saya ia masih banyak terikat dengan perbincangan Maqasid Shariah dalam kerangka konvensional ilmu Usul Fiqh.
Walaupun ia agak tebal, ia bacaan yang baik bagi pemula untuk mengenal Maqasid Shariah dan sifat serta perkaitannya yang bertumbuh dari perbincangan Usul Fiqh, kerana ia masih belum pergi jauh mendalam kepada teknikal perbincangan-perbincangan khas ilmu Maqasid Shariah. Bahasanya secara amnya mudah, dan gaya pembentangan ilmiahnya masih tidak asing dari gaya pembentangan ilmu Fiqh dan Usul Fiqh moden.
Kelihatannya ini kajian yang bersifat ‘Ta’sil’, iaitu menjejaki asal-usul suatu konsep ilmiah kepada dalil-dalil Syarak dan perbincangannya bermula dari perbincangan terawal mengenainya. Mungkin itu sebabnya kebanyakan buku ini diperuntukkan untuk membincangkan asas-asas kefahaman Maqasid dengan panjang lebar, biarpun terdapat suatu tambahan ilmiah yang berfaedah dalam 100 halaman terakhir kajiannya (yang menurut guru saya, Dr Adnan Assaf, kalau diterbitkan berasingan tanpa lebih 400 muka yang mendahuluinya itu pun sudah cukup).
Penulis bermula dengan membincangkan definisi Maqasid Shariah Islam, diikuti dengan pembentangan ringkas tentang sejarah perbincangan Maqasid. Walaupun diberi ruangan lebih 30 muka tentang perbincangan Maqasid oleh ulama silam semisal al-Juwayni, al-Ghazali dan al-Syatibi, kelihatannya perbincangan Maqasid pasca-Imam Syatibi (wacana moden) disebut sepintas lalu sahaja, dalam 2 muka surat.
Bab kedua adalah perbincangan menegaskan yang Syarak itu memiliki Maqasid dan cara mengenalpastinya, atau biasa dikenali dengan perbincangan tentang ‘Illah hukum-hakam. Beliau membawakan dalil tentang pembuktian wujudnya ‘Illah dalam Shariah, dan seterusnya, beliau menyebut cara-cara mengenalpasti Maqasid Syarak dan ‘illah, yang kebanyakannya diambil daripada perbincangan teknikal Qias dalam Usul Fiqh.
Bab ketiga membentangkan bahagian-bahagian Maqasid, iaitu lima Dharuriyyat dengan panjang lebar dan terperinci, kemudian barulah bahagian Hajiyyat, Tahsiniyyat, dan pelengkap-pelengkap (al-Mukammilat) kepada tiga tahapan tadi. Terdapat juga perbincangan antara al-Maqasid al-Asliah dan al-Maqasid al-Tabi’ah (Maqasid primer dan sekunder), diikuti perbincangan antara Maqasid ‘Ammah (holistik) dan Maqasid Khassah (spesifik). Tajuk ‘Taysir’ (kemudahan) dan membuang kesulitan turut diselitkan di bawah perbincangan Maqasid ‘Ammah.
Bab keempat membincangkan sifat-sifat khas Maqasid beserta kaedah-kaedahnya (Qawaid al-Maqasid). Antara sifat khas yang disenaraikan ialah sifat rabbani, bertepatan dengan fitrah, teguh tidak berubah, tidak bercanggah tanpa penyelesaian, luas, serta memiliki kayu ukur yang jelas. Qawaid al-Maqasid yang disenaraikan pula kebanyakannya diambil daripada al-Muwafaqat.
Bab kelima barulah menjawab tajuk tesis ini dalam kira-kira seratus muka surat, iaitu kaitan Maqasid Shariah dengan dalil-dalil Syarak. Bagi saya di sinilah nilai utama buku ini. Misalnya Quran, bagaimana a) mengeluarkan Maqasid syarak daripadanya dan b) memastikan penafsirannya bertepatan dengan kehendak Syarak. Dalam Hadis, antaranya perbincangan cara memahami Hadis Ahad yang zahirnya kelihatan berlawanan dengan Maqasid ‘Ammah. Kaitan Maqasid Syarak dengan Ijma’, Masolih Mursalah, Istihsan, Sadd al-Dzara’ie, Qaul Sahabi, Uruf, Istishab, dan Syara’ Man Qablana dibincangkan.
Kesimpulannya, bagi saya buku ini mudah difahami oleh pemula, cuma saiznya agak besar kerana metod pembentangannya yang masih banyak bergantung kepada perbincangan konvensional ilmu Usul Fiqh. Tetapi ia baik untuk memberi suatu gambaran awal bagi mereka yang baru ingin bermula, walaupun di sana ada lagi buku lain yang lebih efisien dari segi panjang perbincangannya. Bagi mereka yang sudah biasa dengan pembacaan di sekitar ilmu Maqasid Shariah, saya kira bab kelima, dan mungkin juga bahagian kedua bab empat, Qawaid Maqasid, adalah nilai utama pada buku ini yang biasanya tidak ditemui pada buku-buku lain yang ditulis sekitar ilmu ini.
Jika tidak bertemu di kedai, boleh muat turun buku ini pada pautan berikut: http://waqfeya.com/book.php?bid=2905
Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah
Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/
Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:
5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY