USUL 101: DHAWABIT AL-MASLAHAH FI AL-SYARIAH AL-ISLAMIYYAH




1. Jika ditolak daftar kandungan dan rujukan, kandungan buku ini adalah kira-kira 421 muka surat, dan ia adalah tesis PhD yang bermutu tinggi ulama kontemporari yang paling dikenali dari Syria, Dr Muhammad al-Buti, di Universiti al-Azhar pada 1965. Ia diulang cetak berkali-kali dalam dunia Islam, yang mana cetakan yang saya baca, daripada Darul Fikr sahaja tahun 2014, adalah cetakan kesembilan, dan diulang semak oleh penulis sendiri beberapa kali sepanjang puluhan tahun sejak penerbitannya itu. Maksud tajuknya dalam Bahasa Melayu ialah ‘Kayu Ukur (Penerimaan) Maslahah Dalam Shariah Islam”.

2. Penulis menyebut dalam mukaddimah beliau betapa beliau menulis tesis ini untuk mendepani mereka yang bermudah-mudah mencuaikan Shariah atas alasan Maslahah, tanpa diikat kayu ukur yang diterima Syara', yang menurut beliau adalah medan peperangan baru untuk merosakkan Islam.

3. Dalam pendahuluan, beliau menyebut definisi Maslahah dan bahawa mendapatkan manfaat itu adalah fitrah universal yang tidak dinafikan.

4. Kemudian beliau membawakan khilaf dalam menentukan kayu ukur Maslahah dalam ilmu falsafah, dan ciri-ciri terpenting Maslahah dalam sistem perundangan ciptaan manusia:

a) Hanya memandang Maslahah duniawi,
b) hanya memandang Maslahah material, dan
c) mengira agama sebagai cabang kepada Maslahah, dilahirkan oleh Maslahah

Beliau tidak hanya berbicara kosong, tetapi turut membawakan kalam para ahli falsafah dan perundangan Barat serta khilaf antara mereka, seperti Epicurus, Gustav Le Bon, dan Bentham. Kemudian beliau membawakan perbincangan ciri-ciri terpenting Maslahah dalam Shariah Islam:

a) Memandang Maslahah dunia dan akhirat,
b) memandang Maslahah jasad, akal, dan roh, dan
c) mengira agama sebagai asas kepada segala Maslahah.

5. Dalam bab pertama beliau menyebut kaitan Shariah Islam dengan Maslahah. Betapa Shariah Islam menjaga Maslahah, dan dibawakan dalil terhadap hal itu. Beliau membincangkan dua kekeliruan sekitar hal itu, iaitu:

a) pandangan mazhab Asya’irah yang Tuhan tidak wajib melakukan sesuatu kerana Maslahah, dan
b) dalil-dalil yang menyebut ganjaran pahala itu setaraf dengan tahap kesusahan yang dilalui, dan elemen kesusahan itu seolah bertentangan dengan Maslahah.

6. Bab kedua adalah bab terbesar, merangkumi hampir separuh buku ini, iaitu kayu ukur Maslahah menurut shariah. Kayu ukur pertama ialah masuknya Maslahah itu di bawah Maqasid Syara'. Saya lihat beliau membawa perbincangan sekitar lima Maqasid holistik Shariah – menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

7. Kayu ukur kedua ialah tidak menyanggahi al-Quran. Dibawakan dalil untuk kayu ukur ini, penerangan tentang apakah maksud ‘menyanggahi’ di situ (Qat’ie Dilalah vs Zhanni Dilalah), dan dibawa satu perbincangan besar menolak dakwaan bahawa Saidina Umar RA menyanggahi al-Quran dalam Ijtihad beliau.

8. Kayu ukur ketiga ialah tidak menyanggahi Sunnah. Dibincangkan, bahawa Sunnah yang wajib diikuti itu termasuklah Hadis yang Sahih tetapi jalur riwayatnya tidak Mutawatir. Kemudian disebutkan kepentingan membezakan antara Sunnah yang lahir dari Rasulullah SAW kerana ingin menetapkan hukum agama, dan dengan perkara berkaitan kepimpinan (Ijtihad duniawi). Seperti sebelumnya, beliau memperuntukkan satu bahagian menolak dakwaan yang para Sahabat dan Salafussoleh (termasuk para imam mazhab) berfatwa menyanggahi Sunnah yang Thabit.

9. Kayu ukur keempat ialah tidak menyanggahi Ijmak. Kelihatannya penulis banyak memperuntukkan bab ini untuk menolak dakwaan al-Tufi yang maslahah itu diutamakan berbanding Nas dan Ijmak.

10. Kayu ukur kelima ialah tidak menyanggahi Qias. Saya kira ini antara bahagian paling teknikal buku ini, di mana tampak betapa Qias itu padanya kayu ukur yang terperinci dan hierarkinya yang tersendiri (bukan semua Qias sama taraf). Ia perbincangan Usul Fiqh aras tinggi. Kemudian baru disebut dalil di sebalik kayu ukur ini, persoalan Istihsan, dan dakwaan yang Imam Syafie menolak istihsan.

11. Kayu ukur keenam ialah tidak menjejaskan Maslahah yang lebih penting atau setaraf dengannya. Dalam garis ukur ini dibawakan persoalan Dharuriyyat lawan Hajiyyat lawan Tahsiniyyat, turutan antara lima Maqasid holistik Shariah, mengutamakan Maslahah yang lebih meluas di kalangan manusia, dan mengutamakan Maslahah yang lebih pasti berbanding yang kurang pasti, kesemuanya dengan diiringi hujah dan dalil. Dibawakan beberapa contoh penerapan garis ukur ini. Kemudian turut dibincangkan bawah topik ini persoalan ‘Sadd al-Dzara’ie’ yang menjadi khilaf di kalangan fuqaha.

12. Bab kedua ini ditutup dengan perbincangan beberapa Qawaid Fiqh, iaitu ‘kesusahan membawa keringanan’, ‘berubahnya hukum-hakam dengan berubahnya zaman’, dan suatu perbincangan panjang tentang persoalan ‘helah’ di sisi Syara'.

13. Bab ketiga buku ini membawa tajuk Masolih Mursalah. Membincangkan definisi Masolih Mursalah sahaja mengambil 23 halaman kerana khilaf ulama pada topik ini, sama ada pada gambaran mengenainya mahupun istilah dan instrumen yang digunakan, hingga dalam topik seterusnya, tajuk ini disebut sebagai Istislah, topik pandangan ulama dari zaman para sahabat RA hingga zaman para imam mazhab terhadap Istislah. Beliau seterusnya cuba merungkai sebab berbolak-balik dan bercanggahnya pandangan para ulama tentang topik ini, hingga akhirnya disimpulkan yang sebenarnya Masolih Mursalah itu disepakati para ulama walau mereka kelihatan berbeza dalam gambaran, istilah dan instrumen yang diguna pakai merujuk kepadanya.

Seperti buku Siyasah al-Syar’iyyah Dr Yusuf al-Qaradhawi, saya akan mencadangkan buku ini kepada mereka yang ingin menguasai perbincangan Siyasah Syar’iyyah dan seterusnya, ‘by extension’, perbincangan Maqasid Syariah. Ia suatu ‘compas setting’ atau ‘Tawjih’ yang baik supaya pembaca memiliki prinsip yang kuat sebelum larut dalam kekencangan dan agresifnya perbincangan dalam bidang Maqasid Syariah. Cuma saya kira ia lebih teknikal dan khusus perbincangannya berbanding buku Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY 


Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive