MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2

Agama Islam akan terus kekal dan berkembang walaupun apabila terurainya simpulan pemerintahan, sama ada terurai kerana kerosakan pemerintahan Islam mahupun kerana ketiadaannya.

ISLAM DAN MANUSIA

Antara hak-hak kemanusiaan dalam Islam adalah mengambil berat tentang peranan akal dan menggunakannya untuk mengkaji dan berfikir.

ISLAM AGAMA RAHMAH

"Bersikap rahmahlah dengan mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh yang dilangit" - Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam

USUL 101: DHAWABIT AL-MASLAHAH FI AL-SYARIAH AL-ISLAMIYYAH

Ia suatu ‘compas setting’ atau ‘tawjih’ yang baik supaya pembaca memiliki prinsip yang kuat sebelum larut dalam kekencangan dan agresifnya perbincangan dalam bidang Maqasid Syariah

MENANAMKAN KEMANUSIAAN SEBELUM MENANAMKAN AGAMA - SIRI 1


https://cdn-images-1.medium.com/max/1200/1*zZ1OMiTFjc-Sp00uHTplag.jpeg

Apabila wujudnya penghinaan daripada aspek kekuatan fizikal dan adab, maka tidak lagi diharapkan kebaikan padanya dan tidak pula berasa aman daripada keburukan. Seorang manusia yang tidak jelas (hala tuju), pasif, dan lemah tidak akan mendapat manfaat daripada agama dan agama tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Apa faedah kepada Islam, seorang manusia yang memusnahkan hidupnya, mensia-siakan kelebihannya, dan hanya hidup di atas muka bumi ini secebis daripada tanahnya, atau hanya serpihan daripada batu-batunya?

Sesungguhnya Islam tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada manusia ini. Bahkan dia akan memberi mudarat kepada Islam dan melemahkannya, kerana bekas yang kotor tetap akan kotor walaupun di dalamnya ada air yang bersih, bahkan bekas itu akan merosakkan air itu.

Begitu juga sebuah bangsa yang lemah dan malas. Mereka akan merendahkan kedudukan agama yang mereka anuti, dan menjatuhkan nilai Aqidah yang mereka pegang.

Sepertimana sesebuah agama itu tidak akan mendapat manfaat daripada penigkut yang lemah, begitu juga pengikut agama itu tidak mampu mendapat manfaat daripada agama itu, daripada manfaat warisan yang berharga hinggalah manfaat prinsip-prinsip yang bernilai. Seperti orang bodoh yang mencampakkan dirinya ke dalam perpustakaan atau orang yang sakit perut dihidangkan dengan makanan yang melimpah ruah.

Bahkan para pengikut yang bodoh, ramai daripada kalangan mereka yang meletakkan kebodohan mereka walau adanya fakta yang paling kuat. Berbanding bangkit daripada kebodohan dengan menggunakan fakta-fakta itu, mereka menarik fakta itu jatuh bersama kebodohan mereka. Oleh itu, kita mesti mengetahui hakikat ini untuk membetulkan masalah yang menyerabutkan ini.

Sesungguhnya masyarakat Islam memerlukan kesungguhan yang besar untuk meningkatkan taraf kekuatan dan nilai adabnya, sebelum mereka memahami Islam dan memperoleh kemuliaan daripadanya. Ini bermakna, mereka perlu memperbaiki aspek kemanusiaan mereka terlebih dahulu.

Sehingga apabila lahirnya manusia yang mampu berfikir tentang apa yang mereka katakan dan mengetahui kewajipan mereka, akan kami katakan kepadanya:

“Bantulah (agama) Tuhanmu dan dirimu, jika kamu inginkan kehidupan yang mulia pada hari ini dan Hari Akhirat.”

Adapun usaha-usaha orang-orang yang melakukan perubahan, sebelum mereka mengikuti langkah-langkah ini, ia hanyalah ibarat gelombang air yang mengalir di atas padang pasir, mustahil akan tumbuhnya hasil!

Dan agama ini pada hakikatnya tidaklah melainkan untuk melengkapkan jiwa manusiawi dan memperbaiki keupayaannya. Agama ini umpama akal yang menajamkan pemikiran, umpama mata yang memperelok penglihatan, umpama telinga yang memperbaiki pendengaran, dan umpama yang mencantikkan perbuatan.

Dan seseorang yang yakin kepada konsep ini, dia adalah seorang manusia yang matang dalam pemikiran, penelitian, dan membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Seorang manusia yang baik dari sudut produktiviti, pengaruh, dan perilakunya. Jika unsur-unsur ini terganggu dalam dirinya, akan terganggu juga sumber keimanan dalam hati dan jiwanya, dan akan terurai hakikat manusiawinya.

Akan sentiasa ada sekelompok manusia yang hilang iman dan kemanusiaannya, sehinggalah hadirnya al-Quran dalam hidupnya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi Allah, ialah orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun.” (Al-Anfal: 22).

Seseorang itu akan berubah menjadi seperti binatang, apabila akalnya mati dan tidak berfikir, dan apabila hilang kesedaran dirinya. Maka ketika itu dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas pendengarannya, penglihatannya, dan jiwanya, kerana tidak ada lagi baginya melainkan apa yang hanya ada pada haiwan ternakan, iaitu deria yang digunakan hanya untuk keperluan dunia semata-mata.

Contoh orang-orang begini - dengan penuh kemaafan - ialah majoriti masyarakat, yang dibutakan dengan kebodohan, dilemahkan dengan kesakitan, dihina dengan kefakiran, dan majoriti masyarakat yang bangga dengan kemajuan negara Timur, tetapi tidak selangkah maju ke depan, bahkan beberapa langkah terkebelakang. Mereka ibarat tanah, yang melunturkan semangat Islam dan membazirkan kekuatannya sebagai sebuah agama yang produktif.

Penghinaan fizikal dan adab ini, bukanlah daripada agama, bahkan bukan bayangan agama. Ia adalah kecelakaan yang lahir daripada suasana yang penuh dosa. Ia tidak dihubungkan dengan agama melainkan hanya dibuat-buat, dan agama tidak dihubungkan dengannya melainkan hanya dengan bentuk yang rosak dan penipuan yang dicipta.

Untuk kita pastikan kewujudan agama yang benar dengan pengikutnya yang mulia, maka kita mesti bersegera menghapuskan sisa-sisa kefakiran, kebodohan, dan kesakitan, dan bersegara membina generasi yang baik, yang secara fitrahnya akan memperbaiki masyarakat untuk memikul risalah yang berat ini dan menanggung bebanannya.

Bersambung…


Penulis: Shiekh Muhammad Al-Ghazali
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber:
الإنسان أولا .. أو تصحيح الإنسانية قبل غرس تعاليم الدين


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

KENYATAAN MEDIA SIASAH RAHMAH #7: INSIDEN PENGEBOMAN GEREJA DAN HOTEL DI SRI LANKA

https://cdn.cnn.com/cnnnext/dam/assets/190421014601-0421-sri-lanka-church-bombing-03-super-tease.jpg


Siasah Rahmah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas yang telah mengebom gereja dan hotel di Sri Lanka sempena sambutan Easter yang hingga kini telah mengorbankan 290 orang dan mencederakan lebih 500 orang.

Firman Allah S.W.T:

"bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya..." (Al-Maidah: 32).

Ajaran Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadah agama-agama, apatah lagi membunuh mereka yang berada di dalamnya terutama pada hari perayaan mereka.

Siasah Rahmah menyeru agar umat Islam dan bukan Islam bersama-sama menunjukkan solidariti kepada rakyat Sri Lanka khususnya yang beragama Kristian dan menolak sekerasnya perbuatan para pengganas yang terlibat. Semoga mereka di belakang kejadian ini dihadapkan ke muka pengadilan.
 

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/



Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

EMPAT NILAI ASAS DALAM SIASAH


https://i.ytimg.com/vi/RvIO_zqP-Lo/maxresdefault.jpg
 
Shariah Islam tidak berbicara mengenai sistem politik secara terperinci sepertimana dalam urusan ibadat, urus niaga, ekonomi, dan warisan. Tetapi Islam datang dengan asas-asas dan nilai umum yang didapati dalam setiap sistem politik, dan bekerja untuk melindungi dan memelihara nilai tersebut. Manakala perincian dan butirannya ditinggalkan kepada ijtihad manusia untuk membangunkan sistem yang mencapai dan melindungi nilai-nilai tersebut.

Terdapat empat nilai asasi yang menjadi tuntutan Shariah untuk direalisasikan dalam apa jua sistem politik, iaitu: KEADILAN, SYURA, KESAKSAMAAN dan KEBEBASAN.

Jika kita mahu untuk mewujudkan sebuah tadbir urus Islam yang benar dan jauh daripada sekadar slogan dan retorik, perlu kita lihat kepada sistem politik yang sedia ada, tidak kira apapun nama sistem ini. Jika wujud empat nilai ini dalam sistem tersebut, kita boleh menganggapnya sebagai sistem politik Islam yang benar. Sekiranya tidak wujud empat nilai ini, maka tidak boleh dianggap ia sebuah sistem yang Islami dan terpimpin.


KEADILAN

Allah berfirman:

إنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Allah menuntut kita melaksanakan keadilan dalam banyak ayat-ayat al-Quran dan mengharamkan kezaliman dan menjadikannya sebagai dosa besar. Namun, persoalan bagaimana merealisasikan keadilan dan bagaimana ianya boleh dicapai, al-Quran tidak memberikan penjelasan yang terperinci mengenainya melainkan garis panduan umum bagi mencapainya. 

Sepertimana misalannya urusan kehakiman, sama ada ia perlu satu lapisan atau dua lapisan atau tiga lapisaan? Semua terpulang kepada ijtihad manusia, akal manusia dan kajian manusia untuk mencapai keadilan. Apa yang penting ialah keadilan dapat dicapai tanpa mengira nama dan slogan. Jika contohnya diperkenalkan institusi kehakiman dengan nama badan kehakiman Islam atau undang-undang Islam, tetapi institusi ini dipenuhi dengan kezaliman! Adakah ini menyahut perintah Allah untuk mencapai keadilan! 

Inilah yang dimaksudkan Ibn Taimiyyah apabila mengatakan:” Allah mengangkat negeri kafir jika mereka melaksanakan keadilan dan menjatuhkan negeri orang beriman jika mereka berlaku zalim.”


SYURA

Syura atau rundingan merupakan nilai politik yang paling penting dalam Islam. Allah memerintahkan dalam dua ayat dari Al-Quran:

وأمرهم شورى بينهم

"dan Allah mengarahkan mereka untuk melakukan syura antara mereka,"

 وشاروهم في الأمر

“Dan mereka bersyura dalam sesuatu perkara”

Dan Allah menamakan satu surah khas dengan nama “Syura”. Tetapi apakah perincian konsep syura tersebut? Bagaimana bentuknya dan bagaimana cara melaksanakannya?

Jika kita cari dalam buku Siasah Syar’iyyah, kita tidak akan dapati melainkan panduan umum walaupun pentingnya prinsip ini dalam sistem pemerintahan islam. Tetapi perinciannya dibiarkan untuk usaha, fikiran dan percubaan manusia, bagi mencapai sistem yang terbaik untuk merealisasikan nilai ini. Sama ada hanya satu majlis dan salah satu daripada Syura atau dwidewan tidak ada yang salah demikian. Tidak kisah apa jua nama yang ingin diberikan kepada institusi ini (parlimen atau dewan rakyat) yang penting prinsip Syura dapat dicapai melalui institusi ini.


KESAKSAMAAN

Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa manusia adalah umat yang satu, dan mereka adalah sama dari sudut hak dan kewajipan, dan tidak ada keutamaan lelaki ke atas wanita atau putih ke atas hitam dan tiada kelebihan Arab berbanding bukan Arab serta Raja ke atas hamba.
Sesungguhnya perlakuan Rasulullah melambangkan gambaran terbaik kesamarataan antara manusia. Tetapi bagaimana kita boleh mencapai kesaksamaan dan apakah perinciannya? Ini juga ditinggalkan untuk percubaan dan usaha manusia. Adakah kesaksamaan dicapai dalam pengasingan kuasa? Apakah perlunya mewujudkan keseragaman dalam masyarakat untuk mencapai kesamarataan? Semua ini terpulang kepada manusia, apa yang penting adalah terlaksananya nilai ini di kalangan mereka.


KEBEBASAN

Ini adalah nilai yang menumpahkan banyak darah demi mencapainya. Islam datang untuk menunjukkan bahawa setiap manusia dilahirkan bebas merdeka dan tidak mungkin wujudnya perhambaan. Malah para fuqaha mengangkat kebebasan sebagai salah satu daripada Maqasid Shariah dan Islam menetapkan bahawa tiada paksaan dalam berfikir dan mempunyai kepercayaan, Allah berfirman:

 "Tiada paksaan dalam agama" 

Tetapi butiran kebebasan dan bagaimana boleh dicapai adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan pengalaman manusia. Adakah ianya dicapai melalui pembentukan institusi yang mengenakan sekatan ke atas orang-orang yang memperhambakan manusia dan menyekat kebebasan manusia? Pintu terbuka untuk menubuhkan institusi bagi mencapai nilai kebebasan ini dan melindungnya, yang penting ialah nilai ini wujud dalam sistem politik yang diperjuangkan.

Shariah Islam tidak bercakap secara terperinci mengenai banyak perkara dalam politik Islam, tetapi Islam menggariskan bahawa empat nilai politik yang jika dapat dipraktikkan dalam pemerintahan, kita boleh mengiktiraf sistem ini sebagai sistem Islam dan apabila terhapusnya nilai-nilai ini, maka ia bukanlah daripada sistem Islam. 

Institusi-institusi Islam disarankan berusaha ke arah mewujudkan indeks dan panduan bagi nilai-nilai ini supaya dapat diukur sejauh mana perlaksanaanya dalam masyarakat untuk mencapai kemajuan. Keadilan, perundingan, kesaksamaan dan kebebasan ini jika terlaksana dalam mana-mana masyarakat maka ianya adalah tanda pembangunan dan kemajuannya, dan jika hilangnya nilai-nilai ini dalam sesebuah masyarakat, maka ia adalah petanda awal kepada kemunduran dan kehancurannya.


Penulis: Dr Muhammad Nur Hamdan
Terjemahan :Siasah Rahmah - SR
Sumber: http://blogs.aljazeera.net/…/%D8%A7%D9%84%D9%82%D9%8A%D9%85…



Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/



Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)

SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY


Share:

MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 3

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhJorg3bWvnllZUxSBtFmI9pSS6W3m4FSQnFKEKtH7VD9LK-Sp8j7638ims1BR6CX3N6biHYSp_50n0LJa_rkxhf6znuJwM7yA1S57nyeGLvLJTmxsCwz9QdolOQ_WH4gHq7yHSbOJRRlc/s400/Rel-01-1-750x400.jpg



Akhir sekali: Kejayaan kita tidak bergantung kepada kegagalan orang lain.

Ramai dalam kalangan penulis, pemikir, dan pendakwah Muslim yang apabila berbicara tentang masa depan Islam, mereka dengan pantas akan berbicara tentang menghadapi perancangan dan cabaran luar serta konspirasi musuh. Apabila berbicara tentang risalah dan tamadun Islam serta keperluan manusia kepada Islam, mereka dengan pantas akan mengaitkannya dengan krisis Barat dan kerosakan di sana. Mereka berbicara tentang kegagalan Barat dan inisiatif untuk meruntuhkannya serta keperluan untuk menghancurkannya, seoalah-olah tidak ada masa depan bagi Islam dan tidak ada tempat untuk risalah dan tamadun ini berkembang melainkan di atas runtuhan ketamadunan Barat, dan seolah-olah tidak ada tempat bagi para Muslimin melainkan dengan kegagalan Barat dan hilang kekuatan mereka (Barat).

Dan seolah-olah kita hanya perlu menunggu saat itu atau beramal untuk tujuan itu, supaya kita dapat mengambil tempat dan membawa risalah kita serta membina masa depan kita.

Tidak semestinya begini. Bahkan sebahagian daripada idea ini tidak benar. Maslahah (kebaikan) yang diperolehi manusia, termasuklah Muslim, adalah hasil daripada tamadun Barat dan penambahbaikan serta perkembangan mereka. Dari satu sudut, hal ini tidak akan berlaku melainkan hasil perbincangan dan penemuan kajian mereka serta kejayaan mereka.

Dari sudut yang lain pula, kebaikan yang diperolehi manusia adalah hasil daripada kejayaan dan kemodenan Islam, sama ada dari sudut Aqidah, Akhlak, nilai, dan Syariat. Dengan menampilkan contoh dan kejayaan yang hebat kepada Muslim, serta menjadi aspirasi kepada bukan Muslim.

Sesungguhnya para Muslimin wajib beriman dengan masa depan Islam dan kedudukannya, peranan dan risalahnya, serta potensi kejayaan dan keberkesanannya, tanpa bergantung kepada kejayaan orang lain atau kegagalan mereka, kekuatan atau kelemahan, kemenangan atau kekalahan mereka. Atau dengan ayat lainnya:

Sesungguhnya bagi Islam itu padanya ada kedudukan, kekuatan, dan masa depan sendiri walaupun dengan kekuatan Barat dan kehebatannya, walaupun dengan kekalnya tamadun Barat dan pengaruh mereka.

Bangsa Jepun telah bangkit dan berjaya dalam apa yang mereka inginkan, walaupun pernah ditawan - ketenteraan dan politik serta dijajah oleh Amerika. Begitu juga bangsa Jerman, Korea Selatan, dan Taiwan.

Benar, di sana adanya perbezaan yang hakiki, tetapi dalam masa yang sama ada juga potensi yang hakiki untuk kemajuan Islam dan kemenangannya. Sepertimana di sana adanya potensi yang hakiki bagi amal-amal yang dilaksanakan untuk kebangkitan para Muslimin dan kemajuan serta ketamadunan mereka. Dan sesungguhnya kemunculan al-Haq (kebenaran) dan kejayaannya tidak bergantung kepada hilangnya al-Batil (kebatilan) dan kejatuhannya. Bahkan, kemunculan al-Haq dan kejayaan serta kestabilannya adalah tanda awal kepada kejatuhan al-Batil dan kehilangannya. Allah Ta’ala berfirman:

“Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya, kemudian banjir itu membawa buih yang mengembang. Dan dari apa yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakasan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia tak berharga, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal perbandingan” (Ar-Ra’d: 17).

Allah berfirman lagi:

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (al-Haq), dan hilanglah yang salah (al-Batil); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap. Dan Kami turunkan dari ayat Al-Qur'an itu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman; dan tidak menambahkan bagi orang yang zalim kecuali kerugian.” (Al-Isra’: 81-82).


-TAMAT-

Siri 1: Masa Depan Islam: Antara Rakyat dan Pemerintah - Siri1
Siri 2: Masa Depan Islam: Antara Rakyat dan Pemerintah - Siri 2



Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: مستقبل الإسلام بين الشعوب والحكـام


Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/



Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)

SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2


https://www.nesemat.com/wp-content/uploads/2018/10/Rel-01-1-750x400.jpg


Siri 1: MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - Siri 1


Sambungan...


Penjelasannya adalah seperti berikut:

"PEMBINAAN UMMAH YANG PALING UTAMA"

Daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW berkata:

“Akan terurai ikatan Islam satu demi satu. Setiap satu simpulan terurai maka manusia akan bergantung pada simpulan berikutnya. Simpulan yang pertama akan terurai adalah pemerintahan dan yang paling akhir adalah solat.”

Banyak gerakan yang membina ummah yang menukilkan Hadis ini untuk menunjukkan kepentingan Negara Islam dan keutamaannya serta keperluan yang mendesak untuk mengembalikannya, kerana Hadis ini mengatakan bahawa pemerintahan merupakan salah satu simpulan-simpulan Islam.

Tetapi Hadis ini sebenarnya mengandungi dua hakikat yang tidak diambil perhatian oleh orang-orang yang menukilkan Hadis ini, iaitu:

1. Pemerintahan merupakan simpulan yang paling longgar antara simpulan-simpulan Islam, kerana uraian yang pertama akan berlaku ke atas simpulan yang paling longgar dan paling lemah berbanding yang lain. Sedang bahagian yang kuat dan kukuh mampu bertahan terhadap faktor-faktor yang menghancurkan, sehingga yang terakhir akan tinggal lalu terurai.

Maksud daripada Hadis ini adalah yang paling lemah kebergantungan Islam kepadanya untuk wujud dan kekal ialah pemerintahan, dan yang paling kuat dan kukuh untuk Islam bergantung ialah solat.

2. Agama Islam akan terus kekal dan berkembang walaupun apabila terurainya simpulan pemerintahan, sama ada terurai kerana kerosakan pemerintahan Islam mahupun kerana ketiadaannya. Sudah diketahui bahawa Allah Ta'ala menurunkan agama ini “ليظهره على الدين كله” (untuk ditinggikan atas segala agama lain) dan akan kekal sehingga hari kiamat.

Jika sekiranya terurainya simpulan pemerintahan pada waktu awal dalam sejarah Islam, ini bermakna bahawa Islam akan hidup dan kekal untuk tempoh yang lama tanpa bergantung kepada simpulan yang telah terurai itu (pemerintahan).

Bukti dan perincian terhadap kefahaman ini boleh dilihat dalam sejarah Islam sejak abad pertama hinggalah sekarang. Sesungguhnya Islam semakin berkembang dan kukuh serta sesuai sepanjang zaman dan di setiap tempat, walaupun dengan ketiadaan pemerintahan.

Orang-orang Islam sentiasa menjaga Izzah dan kekuatan mereka, memelihara keturunan mereka, membangunkan tamadun mereka, dan mengembangkan ilmu-ilmu mereka. Bahkan mereka sentiasa meluaskan pengaruh mereka dan menyebarkan agama di seluruh dunia, walaupun berlakunya kerosakan, fasad, dan Wahan (cintakan dunia) dalam negara, pemimpin, dan pemerintahan mereka.

Apa yang dimaksudkan dengan perkara ini?

Ini bermaksud bahawa simpulan terakhir dalam Islam adalah yang paling penting dan berkuasa lebih daripada simpulan pemerintahan dan akan terus kekal. Ini juga bermaksud bahawa ummah ini mampu terus kuat dan teguh serta efisien walaupun dengan adanya kecelaruan, kerosakan, dan kecacatan dalam pemerintahan mereka. Ini juga bermaksud bahawa negara bukanlah segala-galanya dan bukan juga perkara yang paling penting. Apabila menegakkan negara menjadi segala-galanya dan perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia dan pemikiran mereka, maka ketika itu ia merupakan waktu paling bahaya untuk manusia; kemampuan mereka, tindakan mereka, dan efisensi mereka.

Adapun apabila manusia mula melihat bahawa negara itu ibarat satu ruang yang terhad dan tanggungjawab yang terhad, dan ianya tidak mungkin akan mengambil peranan ummah atau menghapuskan tugas-tugasnya, maka ketika ini manusia mula bebas daripada simpulan negara dan mentuhankan negara, lalu mula bergerak untuk menunaikan tanggungjawab, memperbaiki urusan mereka, dan membina masyarakat mereka serta mendukung risalah mereka, walau dalam keadaan apa pun kedudukan negara mereka dan tahap kerjasama mereka, atau dalam keadaan lemah, atau dalam kerosakan.

Sangat jelas bahawa para Muslimin dan Ulama telah hidup dalam tempoh yang lama dan zaman yang berbeza dengan berpandukan asas ini. Kerana itu, Islam terus bertambah kuat dan semakin kuat, dan berkembang hari demi hari, dan masyarakat Islam berterusan dalam kesatuan, kemajuan, dan berkhidmat kepada manusia walaupun dihimpit dengan kerosakan dan aib yang menimpa institusi pentadbiran dan para pemerintah mereka. Aku tidak menafikan kesan buruk daripada kerosakan ini atau memandang remeh padanya.

Inilah yang mesti kita lakukan, iaitu memberikan perhatian kepada ummah dan menggembleng tenaga mereka serta mengembangkan mekanisme amal mereka, sebelum kita memberikan perhatian kepada negara dan institusinya, agar syiar kita menjadi: “Pembinaan ummah dan penggemblengannya yang paling utama” (بناء الأمة وتفعيلها أولا).

Kita perlu ingat bahawa ummah ini yang jumlahnya lebih daripada ribuan juta, dengan puluhan juta tinggal di negara dan tamadun barat, dan ummah ini yang memiliki jutaan Ulama, orang kaya, para pemikir dan inovasi, dan para pendakwah serta orang-orang yang beramal. Begitu juga jutaan orang yang bersedia untuk bekerja dan berkorban serta berjihad untuk agama dan ummah serta bangsa manusia seluruhnya. Semua kekuatan ini tidak terhitung melainkan hanya Allah Ta’ala yang menghitungnya.

Kekuatan dan kemampuan ini hanya perlu kepada amal dan panduan, ia perlu kepada orang yang membuka jalan petunjuknya sama ada dalam dakwah, pendidikan, media, pertembungan politik, pemikiran, amal kebajikan dan pembangunan.

Ujian yang paling besar bagi para Ulama dan pemimpin gerakan Islam yang perlu mereka kuasai dan berjaya adalah menggerakkan kemampuan dan kekuatan ummah dalam setiap aliran serta mewujudkan budaya aktivisme dalam kalangan masyarakat madani (sivil).


Bersambung...


Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: مستقبل الإسلام بين الشعوب والحكـام

Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 1

https://www.nesemat.com/wp-content/uploads/2018/10/Rel-01-1-750x400.jpg


Banyak daripada gerakan Islam, para ulama’ dan pendakwah yang berbicara tentang isu keberadaan Islam, perlaksanaan, dan nasib serta masa depannya dalam konteks negara yang beriltizam dengan Islam dan menegakkan panji-panji Islam.  Ramai juga yang berpendapat bahawa perlaksanaan Islam yang sebenar dan masa depannya yang sebenar hanya akan menjadi kenyataan apabila dibangunkan Negara Islam atau Khilafah Islamiyyah.

Tiada keraguan bahawa Negara Islam atau pemerintahan Islam adalah salah satu daripada ikatan-ikatan Islam dan merupakan kubu yang memelihara kehidupan Islami dan masyarakat Islam. Oleh itu, amal-amal untuk menegakkannya dan bersungguh-sungguh serta berkorban untuknya merupakan amal yang disyariatkan. Namun, apabila menegakkan Negara Islam menjadi misi yang paling utama dan tujuan yang ingin dicapai dengan segera, atau menjadi keutamaan yang paling tinggi dan matlamat yang terakhir, maka di sini perlunya kepada kesabaran dan penelitian, supaya kita meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memberikannya ruang dan perhatian yang selayaknya.

Kita dapat melihat sebahagian daripada gerakan-gerakan Islam telah menjadikan penegakan Khilafah sebagai syiar mereka, titik temu matlamat-matlamat mereka, dan permulaan bagi pergerakan mereka. Mereka menyangka bahawa umat Islam tidak memiliki keperluan lain melainkan mengembalikan Khilafah yang dirampas, memerhatikan wajah Khilafah itu dan menikmati kemegahannya.

Ada pula dalam kalangan mereka yang berpegang dengan syiar “Negara Islam yang paling utama”, lalu mereka terjun ke medan-medan yang luas dan memberikan sepenuh perhatian padanya semata-mata untuk menegakkan Negara Islam dengan segera, dan mereka menggembleng seluruh tenaga dan kemampuan mereka sama ada dari sudut material mahupun moral.

Ada pula yang tidak menjadikan Khilafah dan Negara Islam segala-galanya atau tidak meletakkannya sebagai perkara yang paling utama, tetapi mereka menjadikannya sebagai salah satu usul atau prinsip mereka yang paling utama, lalu menjadi asas dalam perbincangan mereka, pandangan-pandangan mereka, dan hala tuju mereka. Khilafah dan Negara Islam di sisi mereka adalah umpama “أعز ما يطلب” (sesuatu yang paling mulia yang diimpikan), meminjam istilah yang digunakan al-Mahdi ibn Tumart yang merupakan salah satu daripada judul bukunya.

Suka untuk aku menjelaskan di sini beberapa perkara yang akan membantu memberi kefahaman kepada konsep negara dan kedudukannya di sisi Islam, tanpa terkurang mahupun terlebih, menurut pandanganku.

Tiada dalam Syariat Allah, nas-nas yang secara jelas tentang perintah dan kewajipan untuk menegakkan negara. Begitu juga nas-nas tentang galakan dan ancaman yang berkaitan dengannya sepertimana yang kita jumpa dalam kewajipan-kewajipan lain. Namun hakikatnya, penetapan kewajipan menegakkan negara dan melantik Khalifah adalah dalam bab Ijtihad dan Istinbat, dalam bab Maslahah dan Qiyas, dan kesinambungan daripada realiti atau suasana yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Dalam semua keadaan, kewajipan menegakkan negara dan Khilafah adalah dalam bab Wasilah (metod) dan bukan Maqasid (tujuan). Penegakan negara itu termasuk dalam kaedah “sesuatu yang menyebabkan kewajipan tidak menjadi sempurna melainkan dengannya, maka ia adalah Wajib” (ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب), bermakna kewajipan ini bukanlah daripada kategori Wajib Lizatihi (perkara yang memang wajib pada asalnya) tetapi daripada kategori Wajib Lighairihi (perkara yang bukan wajib pada asalnya, tetapi menjadi wajib untuk menyempurnakan kewajipan yang lain).

Adalah diketahui bahawa Wajib Lighairihi lebih rendah taraf dan kepentingannya daripada Wajib Lizatihi. Ini memberi dua maksud; yang pertama: Usaha untuk melaksanakan Wajib Lighairihi tidak perlu sebanyak Wajib Lizatihi, dan ia tidak boleh memberi mudarat kepada Wajib Lizatihi atau menghapuskannya.

Kedua: Sesuatu yang bergantung kepada wujudnya negara untuk boleh dilaksanakan, sekiranya ia boleh dilaksanakan tanpa adanya negara maka gugurlah sebahagian kewajipan Wasilah ini.

Dalam banyak kes, sesebuah negara yang terbina itu akan membawa kepada penegakan agama-agama bersamanya, termasuklah yang menyeleweng dan yang mewujudkan permusuhan, tambahan daripada yang neutral atau yang menyokong (kerajaan).

Maka dalam keadaan ini, kepentingan Negara Islam dan keperluannya akan berkurang mengikut kadar yang dibenarkan oleh sesebuah negara yang sudah wujud itu untuk memberi peluang dan ruang menegakkan agama (Islam) dan hukum hakamnya dalam kehidupan peribadi Muslim dan masyarakat.

Kemudian, negara yang kita katakan sebagai Wasilah ini, hakikatnya adalah gabungan Wasilah yang pelbagai dan ia boleh dipisah dan diceraikan, atau istilah usulnya, “قابلة للتبعيض” (boleh dibahagikan), yang mana ianya boleh tercapai sebahagian tanpa sebahagian yang lain. Boleh jadi juga sebahagiannya boleh dicapai dan sebahagian yang lain tidak boleh dicapai. Atau sebahagiannya adalah sesuatu yang baik dan disyariatkan, manakalah yang lainnya menyeleweng dan ditolak. Ini bermakna, apa yang boleh dicapai dan diterima Syara’, atau yang mungkin tercapai dan membawa kebaikan, maka ianya adalah sebahagian daripada konsep Negara Islam yang wajib berpegang padanya dan diberi perhatian.

Tetapi kesilapan besar dan bahaya yang berlaku dalam sebahagian gerakan Islam adalah memberi fokus kepada Wasilah dan lari daripada Hadaf (matlamat), dan mengabaikan Hadaf untuk menjaga Wasilah. Maka ramai yang menghabiskan hidup mereka dalam kebodohan dan mengerah sepenuh tenaga dalam kehidupan mereka dengan sia-sia untuk menegakkan Negara Islam, tanpa memberi apa-apa kesan untuk perjuangan menegakkan negara.

Apa yang lebih pahit dan menyedihkan adalah cubaan ke arah menegakkan negara ini telah sampai ke tahap yang mustahil dan terhalang. Dengan bahasa lainnya, tuntutan menegakkan Negara Islam telah mencapai peringkat yang mana jalan-jalan menuju ke arahnya telah terhalang dan terbuka pula jalan-jalan kehancuran. Dengan itu, desakan dan pertembungan terus berlaku. Hakikatnya, penegakan Negara Islam tertakluk kepada syarat-syarat dan faktor-faktor sejarah, sosial, dan politik. Ia tidak boleh diabaikan atau dilanggar semata-mata kerana keinginan yang tinggi atau arahan, dan bukan semata-mata ingin beramal dan berkorban, walaupun penuh dengan keikhlasan dan kejujuran.

Sejak dahulu lagi, Ibn ‘Athoillah al-Iskandari berkata:

“Tidak terlepas dari kebodohan, orang yang hendak mengadakan sesuatu pada waktu yang Allah tidak mengadakannya pada saat itu.”

Maka sesiapa yang ingin mengejar untuk melaksanakan sesuatu perkara tanpa melihat adakah Allah telah menyediakan sebab-sebab dan syarat-syaratnya, maka itu menunjukkan kebodohannya tentang sistem alam dan hukum sosial (Sunnah Ijtima’iyyah). 

Memang benar bahawa amal, usaha, dan kejayaan manusia itu merupakan sebahagian daripada sebab dan syarat serta menjadi penggerak kepada hukum alam dengan izin Allah, tetapi ianya masih lagi tertakluk kepada pengaruh faktor-faktor lain yang tidak boleh diabaikan atau diketepikan daripada perhitungan dan perancangan. Walapun kita menganggap penegakan Negara Islam adalah ritual dan kewajipan agama Lizatihi, tetapi ianya mestilah dibuat dengan berhati-hati dan secara berperingkat, “kerana orang yang hilang kekuatannya itu tidak mampu meneruskan perjalanannya dan tidak mampu menjaga tunggangannya.”

Maka perkara ini belum lagi mencapai peringkat yang sesuai dan tidak mempunyai syarat-syaratnya.

Aku ingin menambah lagi bahawa sesungguhnya peluang yang ada untuk gerakan Islam dan para pendakwah adalah sangat luas untuk merealisasikan banyak matlamat-matlamat dan hukum-hakam agama serta untuk memperbaiki masyarakatnya, tanpa perlu menegakkan sebuah Negara Islam atau memperoleh kekuasaan. Ini boleh dibuat dengan cara beramal dan bekerja dalam saf-saf ummah dan pembinaan ummah serta melalui pendekatan “menegakkan ummah berbanding menegakkan negara.”

Bersambung...

Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: مستقبل الإسلام بين الشعوب والحكـام

Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

Popular Posts

Total Pageviews