HADIS: TIDAK BERJAYA NEGARA DIPIMPIN WANITA - SUATU PENJELASAN


Rasulullah pernah bersabda: “Tidak akan beruntung suatu kaum tatkala menyerahkan urusan kepemimpinannya kepada seorang wanita.”

Adakah dilarang bagi wanita menduduki jawatan utama dalam kerajaan?

Apakah sebab wurud dan konteks hadis Nabi ini?

Kami telah melanjutkan persoalan ini kepada Dr. Ali Muhammad as-Solabi: “Telah timbul pelbagai persoalan tentang seruan Al-Quran dan Hadis Nabi berkenaan kelayakan wanita untuk memegang tampuk kerajaan dan berperanan sebagai sebuah unit sosial yang mempunyai sumbangan, struktur, dan tanggungjawab yang bersaing dengan golongan lelaki, malah ada ketika mengatasi mereka. Soalan ini timbul ekoran satu gambar Kaunselor Jerman, Angela Merkel dan ditulis di bawahnya dengan tujuan menghina dan mengejek hadis Nabi: “Tidak akan beruntung suatu kaum tatkala menyerahkan urusan kepemimpinannya kepada seorang wanita.”

Telah timbul pelbagai spekulasi yang ditimbulkan dengan tujuan mempertikaikan hadis ini yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan yang lain,  mereka yang membacanya diberi pilihan sama ada membenarkan hadis atau menerima pilihan rakyat Jerman yang telah memilih sekali lagi Angela Merkel sebagai kaunselor mereka. Secara sinikal mereka mengatakan bahawa Jerman adalah sebuah negara yang gagal dan kedudukan Angela Merkel hanya layak disandang oleh lelaki sahaja.

Dijawab Dr. Ali Muhammad as-Solabi:

Telah dihuraikan isu yang sering diperdebatkan ini iaitu tentang “peranan wanita dalam menduduki jawatan utama kerajaan” dalam bukunya “Parlimen dalam Negara Muslim Moden”. Telah dibalas hujah mereka yang mengatakan bahawa wanita dilarang memasuki parlimen dan pilihanraya. 

Adapun hadis itu seperti berikut: Daripada Abu Bakrah: “Allah telah memberikan manfaat kepadaku dengan sebab suatu kalimat yang aku dengar daripada Nabi pada saat terjadinya fitnah Perang Jamal. Di mana waktu itu hampir-hampir aku akan bergabung dengan Ashabul Jamal (pasukan yang dipimpin Saidatina ‘Aisyah) dan berperang bersama mereka.” Lalu baginda bersabda: “(Iaitu sebuah hadis) ketika disampaikan kepada Rasulullah bahawa Kerajaan Parsi telah mengangkat puteri Kisra sebagai raja mereka. Baginda pun bersabda: “Tidak akan beruntung suatu kaum tatkala menyerahkan urusan kepemimpinannya kepada seorang wanita’.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasaie).

Hadis di atas berkaitan dengan satu peristiwa sejarah khusus yang disampaikan kepada baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, di mana Parsi dilanda krisis politik dan moral dengan sistem tirani yang korup dan perebutan kuasa yang dahsyat sehingga hampir tercetusnya peperangan.

Kemudian urusan pemerintahan Parsi diserahkan kepada puteri Kisra disebabkan tradisi pemerintahan mereka yang tidak terkait dengan syura (konsensus) dan pandangan umum. Hadis ini merujuk kepada situasi di Parsi dan ulasan tentang sejarah kebangkitan dan kejatuhan Parsi. Hadis ini adalah kenyataan tentang keadaan itu dan bukannya pensyariatan umum. Ini adalah apa yang difahami daripada fiqh (kefahaman) hadis baginda.

Kefahaman sebab wurud hadis adalah perkara yang penting dalam memahami dalil dan tidak menjadikan kefahaman umum dalil sebagai kaedah yang digunapakai. Sekiranya diambil maksud umum hadis, ia bertentangan dengan zahir Al-Quran. Al-Quran telah menceritakan kisah seorang wanita yang memimpin sebuah kaum dengan kepimpinan yang terbaik dan kerajaan mereka adalah kerajaan yang terbaik.

Urusan negara dilakukan secara hikmah dan bijaksana dengan sebaik-baik urusan. Dengan kebijaksanaannya, beliau berjaya mengelak daripada terperangkap dalam kancah peperangan yang akan menggadaikan nyawa dan menghabiskan wang secara sia-sia. Asas kepada pemerintahannya adalah sistem yang tersusun dan syura.

Wanita itu adalah Balqis, Puteri Saba’ yang disebut oleh Allah ta’ala:

“Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.”

Mereka menjawab: “Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.”

Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” (An-Naml: 32-34)

Kemudian Allah menceritakan kisah Puteri Saba’ dalam Surah an-Naml ayat 44 bersama Nabi Sulaiman ketika mana di akhirnya Puteri Saba’ berkata:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam.”

Dengan itu, beliau memimpin kaumnya kearah kebaikan dunia dan akhirat sepertimana yang difahami secara umum kisah ini.

Oleh itu, realiti kehidupan kita pada hari ini, ramai antara wanita yang lebih baik daripada kebanyakan lelaki untuk berkhidmat kepada negaranya. Sesetengah wanita ini dari segi kemampuan politik dan kecekapan pentadbirannya lebih baik daripada kebanyakan pemimpin Arab dan negara Islam pada masa ini.

Sesungguhnya, masyarakat hari ini hidup dalam kerangka sistem moden. Apabila seseorang wanita mempunyai jawatan dalam kerajaan atau pentadbiran, ia tidak bermakna dia memimpin secara peribadi dan mutlak. Bahkan urusan pemerintahan hari ini telah menjadi tanggungjawab bersama dengan bantuan institusi-institusi dan agensi-agensi. Maka wanita itu hanya memikul sebahagian tanggungjawab pemerintahan bersama yang lain.

Dengan ini, dapat kita ketahui bahawa kedudukan Angela Merkel sebagai Kaunselor Jerman atau Theresa May sebagai Perdana Menteri United Kingdom atau pemimpin-pemimpin wanita yang lain bukanlah kekuasaan mutlak terhadap rakyatnya, tetapi ia adalah kekuasaan institusi kerajaan dan kehakiman walaupun ketua negara itu wanita. 

Hakikatnya yang memimpin negara adalah institusi-institusi seperti majlis kabinet dan parlimen, bukannya Kaunselor Jerman yang berkuasa memberi arahan dan larangan. Selain itu, dia juga mengetuai blok parti pemerintah yang boleh dilawan oleh parti-parti lain. Dia mungkin akan menyertai pilihanraya pada masa akan datang dan akan dikalahkan seperti yang berlaku kepada Indira Gandhi di India. Dan sekiranya pandangannya dibantah oleh majoriti, pandangannya sama dengan pandangan orang lain di jalanan yang tidak memberi kesan kepada keputusan kerajaan dan masyarakat.

Penulis: Dr Ali As-Sollabi
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive