MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2

Agama Islam akan terus kekal dan berkembang walaupun apabila terurainya simpulan pemerintahan, sama ada terurai kerana kerosakan pemerintahan Islam mahupun kerana ketiadaannya.

ISLAM DAN MANUSIA

Antara hak-hak kemanusiaan dalam Islam adalah mengambil berat tentang peranan akal dan menggunakannya untuk mengkaji dan berfikir.

ISLAM AGAMA RAHMAH

"Bersikap rahmahlah dengan mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh yang dilangit" - Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam

USUL 101: DHAWABIT AL-MASLAHAH FI AL-SYARIAH AL-ISLAMIYYAH

Ia suatu ‘compas setting’ atau ‘tawjih’ yang baik supaya pembaca memiliki prinsip yang kuat sebelum larut dalam kekencangan dan agresifnya perbincangan dalam bidang Maqasid Syariah

TAFHEEM: POLEMIK SIASAH SYAR'IYYAH vs ISU AQIDAH DALAM KALANGAN ISLAMIS

http://mediad.publicbroadcasting.net/p/shared/npr/styles/x_large/nprshared/201805/515261769.jpg


Antara masalah besar dalam kalangan sebahagian pendokong Islam atau Islamis adalah kegagalan membezakan antara isu Siasah Syar'iyyah dan Aqidah. Aqidah itu adalah prinsip kepercayaan Islam yang suci. Siasah Syar'iyyah adalah ruang Ijtihad dalam mendapatkan kesan yang paling baik untuk dunia dan akhirat.

Sebagai contoh, bila seseorang melarang mencela agama lain, mereka tuduh Aqidahnya terseleweng, mempertahankan kekufuran, dan macam-macam lagi. Padahal ini tajuk Siasah Syar'iyyah untuk menghalang kebencian terhadap Islam oleh orang bukan Islam, dan terbantutnya dakwah, bahkan suruhan Quran!

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (al-An'am: 108)

Contoh lain, ada sesetengah mereka bila ditanya hukum sambut hari jadi, mereka jadikannya isu Aqidah, menyerupai budaya bukan Islam, Bidaah, dan lain-lain. Tapi bila sebut perayaan ulang tahun pemerintah, mereka kata "Harus! Sebab dalam bab ketaatan kepada Ulil Amri."

Dengan orang lain jadi isu Aqidah, bila kena padanya, jadi isu Maslahah dan Siasah Syar'iyyah pula. Dan itulah antara bentuk kurangnya amanah kepada menyampaikan agama.

Contoh lain. Bila orang lain bekerjasama dengan parti sekular, mereka jadikannya isu Aqidah. Silap-silap menghukum kafir. Tapi bila mereka bekerjasama, mereka namakannya Siasah syar'iyyah, Ijtihad dan Maslahah.

Siasah Syar'iyyah itu sangat luas.

Tetapi pada ekstrem yang lain pula, kita menghalang perkara yang memang merosakkan Aqidah walau ditakwil dengan Siasah Syar'iyyah. Sebagai contoh, kalau ada yang mengadakan upacara memohon doa dan hajat dari kubur, dari tok sheikh, dan lain-lain, walaupun dia beri alasan Maslahah, menarik orang kepada agama, dan sebagainya, kita menolak dengan tegas, kerana itu memang tidak syak lagi adalah bab Aqidah.

Wallahu a'lam.

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

TAFHEEM: HIKMAH TERORISME KE ATAS ISLAM

https://e3tidal.com/storage/app/uploads/public/5bb/3e0/54d/thumb_366_1150_500_0_0_crop.jpg


Dalam Sirah Nabawiah, umum mengetahui bahawa pada rentang tahun ke-4 kenabian hingga tahun ke-13 kenabian adalah saat paling getir yang dilalui oleh Baginda SAW dan para Sahabat RA. Tahun ke-4 menandakan bermulanya dakwah yang bersifat terbuka sekaligus mendedahkan para Muslimin kepada ancaman Musyrikin Makkah.

Demografi Muslimin yang merupakan minoriti masyarakat Makkah, ramai pula dalam kalangan hamba (kelas paling bawah) dan miskin adalah pakej yang menatijahkan terorisme berlangsung.

Penyeksaan yang diterima oleh Muslimin (termasuk Baginda SAW), kutukan dan kejian, sekatan sosio-ekonomi serta ancaman bunuh dan pembunuhan adalah beberapa model terorisme yang terjadi.

Di celahan terorisme yang menimpa Muslimin ini, terdapat Musyrikin yang mulia hatinya tampil memberikan pembelaan. Bahkan sebahagian penulis Sirah seperti Al-Salabi menganggap majoriti Musyrikin Makkah merupakan simpatisan kepada Muslimin. Nama yang paling penting dipetik adalah Abu Thalib, pembela Baginda SAW (atas semangat kabilah) sejak hari pertama sehinggalah akhir hayatnya pada tahun ke-9 kenabian.

Tragedi boikot pada tahun ke-7 hingga ke-9 kenabian juga tamat atas pembelaan Hisyam bin Amru Al-Hasyimi, Zuhair Al-Makhzumi, Abu Al-Bukhturi dan Mut'im bin 'Adi. Kesemua mereka adalah tergolong dalam kalangan Musyrikin.

Sebahagian daripada Musyrikin yang membela Islam ini akhirnya memeluk Islam ketika berusaha membelanya. Antaranya kisah Dhomad Al-Azdi seorang pawang yang berusaha mengubati Nabi SAW yang dituduh gila atas niat membantunya, akhirnya beliaulah yang memeluk Islam. Juga kisah unik pengislaman Hamzah bin Abdul Muttalib yang pada awalnya semata-mata ingin membalas kejahatan Abu Jahal yang menyakiti anak saudaranya, Nabi SAW.

Apa yang boleh kita pelajari dari kisah ini?

Terorisme ke atas agama ini akhirnya mencipta ramai simpatisan dan pembelanya. Lupakah kita akhirnya seluruh Tanah Hijaz itu tunduk kepada risalah keamanan dan keadilan yang dibawa oleh Islam, berbanding paksaan dan kezaliman perpuakan yang selama ini memerintah mereka.

Untuk para Muslimin, tidak perlu prejudis dan skeptik kepada kebaikan manusia daripada siapapun ia datang, iktiraflah kebaikan mereka. Dalam masa yang sama, teruskanlah dakwah dan menyebarkan kebaikan.


Penulis:
Ustaz Khubaib Asmadi
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY


Share:

TAFHEEM: DILEMA KONSERVATISME-LIBERALISME DALAM NARATIF ISLAM



Ini tanggapan peribadi dalam merenung pertembungan wacana antara pelbagai pihak di tanah air dalam menilai isu-isu semasa di peringkat nasional. Sebelum itu, saya kembali kepada spektrum yang klasik dalam pemikiran Islam sama ada Konservatisme Islam (ekstrim kanan) atau Liberalisme Islam (ekstrim kiri). Konservatisme Islam beku dan jumud dalam takwilan nas bagi menyatakan pendiriannya dalam isu semasa manakals Liberalisme Islam pula bermudah-mudah dalam takwilan.

Cabaran yang terbesar adalah berada di tengah-tengah spektrum tersebut dengan menghubungkan kesakralan nas dengan dinamika isu semasa, antara autoriti Syarak dengan kebijakan minda dan sains. Kepakaran inilah yang cuba dibentuk oleh ilmu tradisi Usul Fiqh yang mendisiplinkan interaksi akal terhadap nas bagi menghadapi kerencaman isu yang mempunyai faktor zaman, lokasi, psikologi dan sosio-budayanya.

Kaedah Fiqh juga menyebut:

"Hukum atas sesuatu (kes) merupakan cabang (hasil) kepada tasawwurnya (gambaran yang jelas dan terperinci berkenaan kes tersebut)."

Maka mustahil secara mudah memindahkan nas secara bulat-bulat kepada sesuatu kes tanpa penelitian terhadap kes itu sendiri. Begitu juga kaedah Fiqh yang menyatakan:

"Tidak dinafikan berubahnya hukum atas sebab berubahnya zaman (lingkungan kes atau sosio-budayanya)."

Malangnya sekali lagi, berada di tengah-tengah ini adalah suatu kerja berat yang memerlukan kebijakan Usul Fiqh. Di sinilah dilema berlaku.

Apabila diuji dengan asakan bertalu-talu oleh golongan Konservatisme Islam, lebih-lebih lagi pada isu yang kompleks dari kaca mata Islam, golongan yang berhasrat untuk berada di tengah ini akhirnya memilih jalan mudah dengan memeluk Liberalisme Islam. Sama juga sebaliknya, apabila ditekan oleh golongan Liberalisme Islam pada isu kompleks yang sama, golongan pertengahan ada juga yang memilih jalan mudah dengan memeluk Konservatisme Islam.

Perkara ini dilihat berulang-ulang berlaku seperti dalam kes ICERD, LGBT, Negara Islam, ketuanan Melayu-Islam dan lain-lain. Maka akhirnya tiada sesiapa yang berjaya bertahan di tengah-tengah lalu mewujudkan polemik antara dua ekstrim yang tidak berkesudahan.

Jalan keluar dari kemelut ini adalah memandaikan umat dan meramaikan pemikir yang berminda 'hybrid' (gabungan kebijakan Usul Fiqh dan ilmu sosial). Serta yang paling penting, memelihara akhlak (terutamanya lisan) daripada bermudah-mudahan dalam meletakkan label tertentu dengan niat yang jahat pada pihak lawan. Nanti bakal digelar Labelisme pula.


Penulis:
Ustaz Khubaib Asmadi
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

RINGKASAN KITAB: MAQASID AL-SHARIAH AL-ISLAMIYYAH WA ‘ALAQATUHA BI AL-ADILLAH AL-SYAR’IYYAH




MAQASID AL-SHARIAH AL-ISLAMIYYAH WA ‘ALAQATUHA BI AL-ADILLAH AL-SYAR’IYYAH oleh Muhammad Sa’ad Bin Ahmad al-Yubi

Buku setebal 672 muka surat ini adalah tesis PhD penulis di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pada tahun 1995. Maksud tajuknya ialah Maqasid Shariah Islam Dan Kaitannya Dengan Dalil-dalil Syarak. Bagi saya, buku ini memiliki nilai ilmiahnya yang tersendiri, cuma bagi saya ia masih banyak terikat dengan perbincangan Maqasid Shariah dalam kerangka konvensional ilmu Usul Fiqh.

Walaupun ia agak tebal, ia bacaan yang baik bagi pemula untuk mengenal Maqasid Shariah dan sifat serta perkaitannya yang bertumbuh dari perbincangan Usul Fiqh, kerana ia masih belum pergi jauh mendalam kepada teknikal perbincangan-perbincangan khas ilmu Maqasid Shariah. Bahasanya secara amnya mudah, dan gaya pembentangan ilmiahnya masih tidak asing dari gaya pembentangan ilmu Fiqh dan Usul Fiqh moden.

Kelihatannya ini kajian yang bersifat ‘Ta’sil’, iaitu menjejaki asal-usul suatu konsep ilmiah kepada dalil-dalil Syarak dan perbincangannya bermula dari perbincangan terawal mengenainya. Mungkin itu sebabnya kebanyakan buku ini diperuntukkan untuk membincangkan asas-asas kefahaman Maqasid dengan panjang lebar, biarpun terdapat suatu tambahan ilmiah yang berfaedah dalam 100 halaman terakhir kajiannya (yang menurut guru saya, Dr Adnan Assaf, kalau diterbitkan berasingan tanpa lebih 400 muka yang mendahuluinya itu pun sudah cukup).

Penulis bermula dengan membincangkan definisi Maqasid Shariah Islam, diikuti dengan pembentangan ringkas tentang sejarah perbincangan Maqasid. Walaupun diberi ruangan lebih 30 muka tentang perbincangan Maqasid oleh ulama silam semisal al-Juwayni, al-Ghazali dan al-Syatibi, kelihatannya perbincangan Maqasid pasca-Imam Syatibi (wacana moden) disebut sepintas lalu sahaja, dalam 2 muka surat.

Bab kedua adalah perbincangan menegaskan yang Syarak itu memiliki Maqasid dan cara mengenalpastinya, atau biasa dikenali dengan perbincangan tentang ‘Illah hukum-hakam. Beliau membawakan dalil tentang pembuktian wujudnya ‘Illah dalam Shariah, dan seterusnya, beliau menyebut cara-cara mengenalpasti Maqasid Syarak dan ‘illah, yang kebanyakannya diambil daripada perbincangan teknikal Qias dalam Usul Fiqh.

Bab ketiga membentangkan bahagian-bahagian Maqasid, iaitu lima Dharuriyyat dengan panjang lebar dan terperinci, kemudian barulah bahagian Hajiyyat, Tahsiniyyat, dan pelengkap-pelengkap (al-Mukammilat) kepada tiga tahapan tadi. Terdapat juga perbincangan antara al-Maqasid al-Asliah dan al-Maqasid al-Tabi’ah (Maqasid primer dan sekunder), diikuti perbincangan antara Maqasid ‘Ammah (holistik) dan Maqasid Khassah (spesifik). Tajuk ‘Taysir’ (kemudahan) dan membuang kesulitan turut diselitkan di bawah perbincangan Maqasid ‘Ammah.

Bab keempat membincangkan sifat-sifat khas Maqasid beserta kaedah-kaedahnya (Qawaid al-Maqasid). Antara sifat khas yang disenaraikan ialah sifat rabbani, bertepatan dengan fitrah, teguh tidak berubah, tidak bercanggah tanpa penyelesaian, luas, serta memiliki kayu ukur yang jelas. Qawaid al-Maqasid yang disenaraikan pula kebanyakannya diambil daripada al-Muwafaqat.

Bab kelima barulah menjawab tajuk tesis ini dalam kira-kira seratus muka surat, iaitu kaitan Maqasid Shariah dengan dalil-dalil Syarak. Bagi saya di sinilah nilai utama buku ini. Misalnya Quran, bagaimana a) mengeluarkan Maqasid syarak daripadanya dan b) memastikan penafsirannya bertepatan dengan kehendak Syarak. Dalam Hadis, antaranya perbincangan cara memahami Hadis Ahad yang zahirnya kelihatan berlawanan dengan Maqasid ‘Ammah. Kaitan Maqasid Syarak dengan Ijma’, Masolih Mursalah, Istihsan, Sadd al-Dzara’ie, Qaul Sahabi, Uruf, Istishab, dan Syara’ Man Qablana dibincangkan.

Kesimpulannya, bagi saya buku ini mudah difahami oleh pemula, cuma saiznya agak besar kerana metod pembentangannya yang masih banyak bergantung kepada perbincangan konvensional ilmu Usul Fiqh. Tetapi ia baik untuk memberi suatu gambaran awal bagi mereka yang baru ingin bermula, walaupun di sana ada lagi buku lain yang lebih efisien dari segi panjang perbincangannya. Bagi mereka yang sudah biasa dengan pembacaan di sekitar ilmu Maqasid Shariah, saya kira bab kelima, dan mungkin juga bahagian kedua bab empat, Qawaid Maqasid, adalah nilai utama pada buku ini yang biasanya tidak ditemui pada buku-buku lain yang ditulis sekitar ilmu ini.

Jika tidak bertemu di kedai, boleh muat turun buku ini pada pautan berikut: http://waqfeya.com/book.php?bid=2905

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

KENYATAAN MEDIA #6: INSIDEN TEMBAK RAMBANG DUA BUAH MASJID DI CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND



Siasah Rahmah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam pengganas yang telah mengakibatkan lebih 40 orang terkorban.

Firman Allah S.W.T:

"bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya..." (Al-Maidah: 32)

Islam merupakan agama yang menyeru kepada keamanan dan kedamaian serta menolak fahaman radikal dan ekstrim tidak kira atas nama apa sekalipun. Selain itu, Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadah agama-agama, apatah lagi membunuh mereka yang berada di dalamnya.

Siasah Rahmah juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan video insiden itu selaras dengan kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

RINGKASAN KITAB: ‘ALLAL AL-FASI ‘ALIMA WA MUFAKKIRA



1. Maksud tajuk buku ini dalam Bahasa Melayu ialah ‘Allal al-Fasi: Seorang Ulama dan Pemikir.’ Penulis yang kini memegang kedudukan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad) menyiapkan buku ini pada 2011, dengan menamakan Allal al-Fasi sebagai salah seorang tokoh yang menjadi sumber inspirasi beliau dalam medan islah dan keilmuan.

2. Kata beliau, al-Fasi rahimahullah lebih dikenali sebagai tokoh negarawan dan kemerdekaan berbanding sebagai tokoh ulama, sedangkan beliau mempunyai sumbangan yang nyata dalam bidang keilmuan. Maka tujuan beliau menulis buku ini ialah untuk memperkenalkan pembaca dan dunia Islam amnya dengan al-Fasi sebagai seorang ulama umat, dan bukan hanya tokoh kemerdekaan Maghribi.

3. Buku ini bermula dengan menyebut kisah kehidupan beliau dan perjuangan beliau. Penulis menceritakan latar keadaan Maghribi yang berada di bawah penjajahan Perancis. Seterusnya diceritakan kisah kehidupan awal beliau, daripada lahir, bagaimana beliau dibesarkan dalam suasana keilmuan, hingga beliau menghafal seluruh Quran pada usia 7 tahun, dan melanjutkan pelajaran dengan pelbagai cabang ilmu agama menggunakan kitab-kitab turath yang besar. Ketika berusia 15 tahun, beliau menerbitkan syair yang disiarkan di akhbar, dan dipuji kesasteraan bahasanya, beliau mengisytiharkan yang beliau akan berjuang dan berhenti bermain-main lagi.

4. Kemudian diberikan rumusan tentang perjuangan hidup beliau, terutamanya menentang penjajah Perancis dan mengislah pemikiran warga Maghribi hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1973. Diluangkan satu subtopik khas menceritakan pengalaman (dan penderitaan) beliau dibuang negeri ke Gabon selama sepuluh tahun, dan penghijrahan beliau merentas negara-negara Afrika kerana tidak dibenarkan pulang ke Maghribi, hingga jumlah tempoh beliau berada di luar tanah air mencecah 20 tahun. Bahagian ini ditutup dengan beberapa poin pengajaran dari kisah hidup beliau bersama senarai karya yang dikeluarkan sepanjang hayat beliau.

5. Bahagian kedua menceritakan pandangan serta ijtihad-ijtihad beliau. Penulis memilih pandangan beliau dalam isu tanggungjawab para ulama, Maqasid Syariah, Maqasid Keamanan Global menurut syarak, pandangan beliau tentang poligami, keharusan wanita memegang jawatan awam (yang mengandungi tugas kepimpinan), ‘Maqasid Syariah penjajah’ (falsafah perlembagaan dan perundangan Barat—bahagian mana yang perlu ditolak dan yang mana perlu dikaji serta diambil manfaat darinya), persoalan pelaksanaan undang-undang Hudud, dan persoalan hukum mencalonkan diri untuk memegang jawatan (pilihan raya).

6. Bahagian ketiga menceritakan tentang penulisan beliau dalam bidang ilmu Syariah, bermula dengan buku beliau ‘Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarimuha’ dengan memetik dua isu yang dibincangkan buku itu, iaitu kedudukan Maqasid Syariah sebagai sumber hukum-hakam, dan Maqasid Keadilan.

7. Buku kedua yang dibincangkan ialah ‘Difa’ ‘an al-Syariah’, dengan menyebut antara persoalan yang dibangkitkan buku itu, iaitu agama ini adalah Aqidah dan peraturan, pemisahan antara agama dan negara itu tidak diterima oleh Islam, nas-nas yang jelas dan Qat’ie tentang kewajipan menjadikan Syariah sebagai neraca hukum-hakam, kedudukan perundangan sebagai cerminan nilai-nilai suatu masyarakat, dan sifat-sifat istimewa Syariah Islam.

8. Buku ketiga yang dibawakan adalah buku beliau ‘Abu Bakr Bin al-‘Arabi Fi Ahkam al-Quran, iaitu kajian beliau tentang kitab Ahkam al-Quran karangan al-Qadhi Ibn al-Arabi.

9. Buku keempat yang dibawakan beliau adalah ‘Madkhal Fi al-Nazhoriyyat al-Ammah Li Dirasat al-Fiqh al-Islami Wa Muqaranatuhu Bi al-Fiqh al-Ajnabi’ atau maksudnya ‘Pengenalan Kepada Teori Am Kajian Fiqh Islam dan Perbandingannya Dengan Fiqh Asing.’

10. Buku kelima dalam siri itu ialah ‘al-Taqrib: Syarh Mudawwanah al-Ahwal al-Syakhsiyyah’ iaitu syarah tentang undang-undang Fiqh hal ehwal individu Maghribi, yang disediakan Lujnah Fiqh Perundangan Maghribi, yang mana beliau salah seorang dari panel tersebut. Beliau turut menyebut perbincangan transisi dari Arab Jahiliyah kepada Syariah Islam dalam tulisan ini.

11. Buku keenam yang dibawakan ialah buku ‘al-Ghurrah Fi Usul al-Fiqh’.

12. Kemudian beliau membawakan buku yang ditulis oleh al-Fasi rahimahullah tentang isu Ru’yah vs perkiraan astronomi dalam menentukan awal bulan Islam. Penulis terus mengepilkan teks penuh ‘booklet’ setebal 47 muka surat itu di dalam buku ini supaya pembaca boleh membaca sendiri tulisan, pandangan dan gaya persembahan Allal al-Fasi rahimahullah.

13. Bahagian keempat dan terakhir pula memperkenalkan karya tulisan al-Fasi dalam medan pemikiran, bermula dengan buku ‘al-Naqd al-Dzati,’ buku pertama dikarang beliau, bertujuan membangunkan masyarakat Maghribi yang bergelumang dalam kemunduran untuk bangkit membebaskan diri daripada penjajahan dan memiliki nilai kekuatan sendiri sebagai satu umat yang berfikir. Beliau juga menyebut peranan agama dalam membina negara.

14. Seterusnya dibawa buku ‘Hadith al-Maghrib Fi al-Masyriq’ iaitu tentang kedudukan Maghribi dalam dunia Islam dan Arab serta kepentingannya.

15. Kemudian buku ‘Isyrafat ‘Allal al-Fasi al-Fikriyyah’, antaranya mengandungi risalah ‘Badil al-Badil’, suatu kajian ilmiah kepada tulisan Roger Garaudy tentang krisis di sebalik idea Marxisme. (Roger Garoudy memeluk Islam beberapa tahun selepas al-Fasi meninggal dunia.) Risalah lain dalam buku ini ialah ‘La Syuyu’iyyah Wa La Ra’sumaliyyah’ (Bukan Sosialisme dan Bukan Kapitalisme), ‘al-Wasail al-‘Ilmiyyah Li Ba’ts Islami’ (Jalan-jalan Ilmiah Untuk Kebangkitan Islamik), dan ‘Hal al-Islam Fi Hajah Ila Falsafah?’ (Adakah Islam Memerlukan Kepada Falsafah?).

16. Dan akhir sekali adalah buku beliau ‘al-Hurriyyah’, tentang (falsafah) kebebasan.

17. Penulis akhirnya menyimpulkan buku ini dengan beberapa ciri-ciri khusus pemikiran Allal al-Fasi sebagai seorang ulama dan pemikir.

18. Secara peribadinya, saya mengenali al-Fasi rahimahullah sebagai salah seorang penerus utama kepada Madrasah pemikiran Maqasid Ibn Asyur rahimahullah, yang mana Madrasah Maqasidi di Maghribi hari ini lahir hasil pencorakan beliau terhadap penerapan teori Maqasid Syariah ke dalam masyarakat dan isu-isu umat dan kenegaraan, maka beliau adalah tokoh yang perlu dikenali dengan lebih dekat oleh para penuntut Syariah dan islah zaman moden.

19. Mungkin boleh disebut yang impak pemikiran beliau hingga boleh dikatakan, kalaulah bukan kerana gagasan al-Fasi rahimahullah, maka tiadalah Dr Ahmed Raissouni (dan lain-lain tokoh ilmu Maqasid Syariah daripada Maghribi) seperti yang kita kenal beliau pada hari ini.

Wallahu a’lam

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

MASA DEPAN ISLAM DAN ISLAM MODEN - SIRI 1




Masa depan Islam merupakan topik yang hangat dibincangkan oleh semua masyarakat, sama ada pemuda-pemuda Islam mahupun musuh-musuh Islam, bahkan orang-orang yang takut kepada Islam. Semua ternanti-nanti dan tertanya-tanya:

“Apakah masa depan Islam?”

Kerana persoalan-persoalan dan kajian yang pelbagai, dengan jawapan-jawapan yang banyak dan berbeza, yang mana perbezaan bukan semata-mata pada pandangan dan hala tuju, bahkan juga berbeza pada masa dan waktu, ianya menegaskan satu sudut penting tentang permasalahan ini, iaitu “masa depan itu perkara yang ghaib.”
Tidak ada seorang pun mampu menentukan apa yang akan berlaku melainkan hanya berpandukan jangkaan dan evaluasi.

Dan apa yang membantu dalam evaluasi dan jangkaan terhadap hala tuju masa hadapan adalah apa yang disebutkan sebagai Sunnatullah yang tidak berubah, seperti firman Allah:

“Sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu lagi, dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan pada sunnatullah itu.” (Al-Fath: 23).

Antara Sunnatullah ialah apa yang kita tanam hari ini boleh dituai hasilnya pada hari kemudian, dan apa yang ditanam pada hari kemudian boleh dituai hasilnya pada hari yang seterusnya. Kita tidak tahu apa yang kita akan tanam esok atau lusa, tetapi kita tahu apa yang kita akan dapat pada hari esok atau lusa, kerana ianya adalah apa yang kita telah tanam pada hari ini dan akan tanam pada hari esok. Allah berfirman:

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap manusia melihat apa yang dia telah sediakan untuk hari esok (hari akhirat), bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa akan diri mereka sendiri.” (Al-Hasyr: 18-19).

Masa depan Islam merupakan hasil tuaian segala amal-amal yang kita lakukan pada hari ini. Masa depan yang seterusnya merupakan hasil daripada apa yang kita akan lakukan kemudian hari. Bahasa mudahnya, apa yang kita lakukan pada hari ini, akan kita dapat hasilnya pada hari esok, dan apa yang kita akan lakukan pada hari esok, akan kita dapat hasilnya pada hari berikutnya.

Tidak ada seorang pun yang dapat menyangkal bahawa sebahagian besar daripada realiti umat Islam pada hari ini adalah kesan daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam yang menentang Islam, dan sebahagian besar daripada masa depan Islam akan terjadi hasil daripada apa yang dilakukan oleh penentang-penentang Islam pada hari ini. Kita tidak mampu menghalang perancangan dan konspirasi musuh terhadap masa depan Islam, tetapi pertama sekali marilah kita sama-sama sempurnakan hak-hak dan tanggungjawab kita, marilah kita sama-sama laksanakan apa yang mampu kita laksanakan dan apa yang berada di hadapan kita, ianya cukup banyak.

Apa yang kita mampu laksanakan lebih besar daripada yang mampu dilaksanakan musuh-musuh kita. Jika baik prestasinya, ia mampu mengesani gerakan musuh dan mampu menghalang perancangan mereka.

Sesungguhnya Islam itu berkembang dan semakin kuat di muka bumi ini sejak berzaman dahulu, walaupun sentiasa dibelit dengan tipu daya musuh Islam dan pemuda-pemudanya yang lemah, walaupun ditimpa pelbagai huru-hara yang ditimbulkan para pemuda dan musuh Islam, bahkan ditimbulkan oleh sebahagian para pendakwahnya.

Biarkan apa yang dibuat dan akan dibuat oleh orang-orang lain, sama ada baik atau buruk, besar atau kecil, kerana hakikatnya masa depan kita terletak di tangan kita. Maka kita mesti laksanakan hak-hak dan tanggungjawab kita.

Tanggungjawab pertama dalam menyusun masa depan Islam terletak di tangan para muslimin, terutamanya di tangan para ulama dan pendakwah serta pemikir Islam. Mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membentuk masa depan Islam dengan cara membentuk akhlak dan memberi bantuan kepada orang-orang Islam. Mereka dituntut untuk melakukan ijtihad-ijtihad baru, untuk menambah kefahaman dan penguasaan terhadap isu-isu semasa dan tuntutan-tuntutan moden serta hala tuju masa hadapan, agar terhasil ijtihad yang lebih sesuai dan seimbang dengan hukum-hakam Islam dan hikmah pensyariatannya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian orang dengan istilah “Islam Moden”.

Apakah “Islam Moden” itu?

Bersambung...


Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah

Sumber: مستقبل الاسلام وإسلام المستقبل 



Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BASIRAH SIRI 6 - NATIJAH SYAHADAH: IMPAK PEMELUKAN ISLAM DI SISI UNDANG-UNDANG




TAJUK
Natijah Syahadah: Impak Pemelukan Islam di Sisi Undang-Undang

PANEL
Ustaz Azlan Shah Nabees Khan

TARIKH
7 Mac 2019 (Khamis)

MASA
8.30 - 10.30 PM

 TEMPAT 
Harmoni Station, Seri Kembangan
Risalah Harmoni Sdn Bhd
No. 18-G, Jalan Dagang SB 4/1,
Taman Sungai Besi Indah,
43300 Seri Kembangan, Selangor

(https://goo.gl/maps/GtxkeYwY74s)


Semua dijemput hadir
Share:

Popular Posts

Total Pageviews