Home »
siasah shar'iyyah
» MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 1
MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 1
Banyak daripada gerakan Islam, para ulama’ dan pendakwah yang berbicara tentang isu keberadaan Islam, perlaksanaan, dan nasib serta masa depannya dalam konteks negara yang beriltizam dengan Islam dan menegakkan panji-panji Islam. Ramai juga yang berpendapat bahawa perlaksanaan Islam yang sebenar dan masa depannya yang sebenar hanya akan menjadi kenyataan apabila dibangunkan Negara Islam atau Khilafah Islamiyyah.
Tiada keraguan bahawa Negara Islam atau pemerintahan Islam adalah salah satu daripada ikatan-ikatan Islam dan merupakan kubu yang memelihara kehidupan Islami dan masyarakat Islam. Oleh itu, amal-amal untuk menegakkannya dan bersungguh-sungguh serta berkorban untuknya merupakan amal yang disyariatkan. Namun, apabila menegakkan Negara Islam menjadi misi yang paling utama dan tujuan yang ingin dicapai dengan segera, atau menjadi keutamaan yang paling tinggi dan matlamat yang terakhir, maka di sini perlunya kepada kesabaran dan penelitian, supaya kita meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memberikannya ruang dan perhatian yang selayaknya.
Kita dapat melihat sebahagian daripada gerakan-gerakan Islam telah menjadikan penegakan Khilafah sebagai syiar mereka, titik temu matlamat-matlamat mereka, dan permulaan bagi pergerakan mereka. Mereka menyangka bahawa umat Islam tidak memiliki keperluan lain melainkan mengembalikan Khilafah yang dirampas, memerhatikan wajah Khilafah itu dan menikmati kemegahannya.
Ada pula dalam kalangan mereka yang berpegang dengan syiar “Negara Islam yang paling utama”, lalu mereka terjun ke medan-medan yang luas dan memberikan sepenuh perhatian padanya semata-mata untuk menegakkan Negara Islam dengan segera, dan mereka menggembleng seluruh tenaga dan kemampuan mereka sama ada dari sudut material mahupun moral.
Ada pula yang tidak menjadikan Khilafah dan Negara Islam segala-galanya atau tidak meletakkannya sebagai perkara yang paling utama, tetapi mereka menjadikannya sebagai salah satu usul atau prinsip mereka yang paling utama, lalu menjadi asas dalam perbincangan mereka, pandangan-pandangan mereka, dan hala tuju mereka. Khilafah dan Negara Islam di sisi mereka adalah umpama “أعز ما يطلب” (sesuatu yang paling mulia yang diimpikan), meminjam istilah yang digunakan al-Mahdi ibn Tumart yang merupakan salah satu daripada judul bukunya.
Suka untuk aku menjelaskan di sini beberapa perkara yang akan membantu memberi kefahaman kepada konsep negara dan kedudukannya di sisi Islam, tanpa terkurang mahupun terlebih, menurut pandanganku.
Tiada dalam Syariat Allah, nas-nas yang secara jelas tentang perintah dan kewajipan untuk menegakkan negara. Begitu juga nas-nas tentang galakan dan ancaman yang berkaitan dengannya sepertimana yang kita jumpa dalam kewajipan-kewajipan lain. Namun hakikatnya, penetapan kewajipan menegakkan negara dan melantik Khalifah adalah dalam bab Ijtihad dan Istinbat, dalam bab Maslahah dan Qiyas, dan kesinambungan daripada realiti atau suasana yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
Dalam semua keadaan, kewajipan menegakkan negara dan Khilafah adalah dalam bab Wasilah (metod) dan bukan Maqasid (tujuan). Penegakan negara itu termasuk dalam kaedah “sesuatu yang menyebabkan kewajipan tidak menjadi sempurna melainkan dengannya, maka ia adalah Wajib” (ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب), bermakna kewajipan ini bukanlah daripada kategori Wajib Lizatihi (perkara yang memang wajib pada asalnya) tetapi daripada kategori Wajib Lighairihi (perkara yang bukan wajib pada asalnya, tetapi menjadi wajib untuk menyempurnakan kewajipan yang lain).
Adalah diketahui bahawa Wajib Lighairihi lebih rendah taraf dan kepentingannya daripada Wajib Lizatihi. Ini memberi dua maksud; yang pertama: Usaha untuk melaksanakan Wajib Lighairihi tidak perlu sebanyak Wajib Lizatihi, dan ia tidak boleh memberi mudarat kepada Wajib Lizatihi atau menghapuskannya.
Kedua: Sesuatu yang bergantung kepada wujudnya negara untuk boleh dilaksanakan, sekiranya ia boleh dilaksanakan tanpa adanya negara maka gugurlah sebahagian kewajipan Wasilah ini.
Dalam banyak kes, sesebuah negara yang terbina itu akan membawa kepada penegakan agama-agama bersamanya, termasuklah yang menyeleweng dan yang mewujudkan permusuhan, tambahan daripada yang neutral atau yang menyokong (kerajaan).
Maka dalam keadaan ini, kepentingan Negara Islam dan keperluannya akan berkurang mengikut kadar yang dibenarkan oleh sesebuah negara yang sudah wujud itu untuk memberi peluang dan ruang menegakkan agama (Islam) dan hukum hakamnya dalam kehidupan peribadi Muslim dan masyarakat.
Kemudian, negara yang kita katakan sebagai Wasilah ini, hakikatnya adalah gabungan Wasilah yang pelbagai dan ia boleh dipisah dan diceraikan, atau istilah usulnya, “قابلة للتبعيض” (boleh dibahagikan), yang mana ianya boleh tercapai sebahagian tanpa sebahagian yang lain. Boleh jadi juga sebahagiannya boleh dicapai dan sebahagian yang lain tidak boleh dicapai. Atau sebahagiannya adalah sesuatu yang baik dan disyariatkan, manakalah yang lainnya menyeleweng dan ditolak. Ini bermakna, apa yang boleh dicapai dan diterima Syara’, atau yang mungkin tercapai dan membawa kebaikan, maka ianya adalah sebahagian daripada konsep Negara Islam yang wajib berpegang padanya dan diberi perhatian.
Tetapi kesilapan besar dan bahaya yang berlaku dalam sebahagian gerakan Islam adalah memberi fokus kepada Wasilah dan lari daripada Hadaf (matlamat), dan mengabaikan Hadaf untuk menjaga Wasilah. Maka ramai yang menghabiskan hidup mereka dalam kebodohan dan mengerah sepenuh tenaga dalam kehidupan mereka dengan sia-sia untuk menegakkan Negara Islam, tanpa memberi apa-apa kesan untuk perjuangan menegakkan negara.
Apa yang lebih pahit dan menyedihkan adalah cubaan ke arah menegakkan negara ini telah sampai ke tahap yang mustahil dan terhalang. Dengan bahasa lainnya, tuntutan menegakkan Negara Islam telah mencapai peringkat yang mana jalan-jalan menuju ke arahnya telah terhalang dan terbuka pula jalan-jalan kehancuran. Dengan itu, desakan dan pertembungan terus berlaku. Hakikatnya, penegakan Negara Islam tertakluk kepada syarat-syarat dan faktor-faktor sejarah, sosial, dan politik. Ia tidak boleh diabaikan atau dilanggar semata-mata kerana keinginan yang tinggi atau arahan, dan bukan semata-mata ingin beramal dan berkorban, walaupun penuh dengan keikhlasan dan kejujuran.
Sejak dahulu lagi, Ibn ‘Athoillah al-Iskandari berkata:
“Tidak terlepas dari kebodohan, orang yang hendak mengadakan sesuatu pada waktu yang Allah tidak mengadakannya pada saat itu.”
Maka sesiapa yang ingin mengejar untuk melaksanakan sesuatu perkara tanpa melihat adakah Allah telah menyediakan sebab-sebab dan syarat-syaratnya, maka itu menunjukkan kebodohannya tentang sistem alam dan hukum sosial (Sunnah Ijtima’iyyah).
Memang benar bahawa amal, usaha, dan kejayaan manusia itu merupakan sebahagian daripada sebab dan syarat serta menjadi penggerak kepada hukum alam dengan izin Allah, tetapi ianya masih lagi tertakluk kepada pengaruh faktor-faktor lain yang tidak boleh diabaikan atau diketepikan daripada perhitungan dan perancangan. Walapun kita menganggap penegakan Negara Islam adalah ritual dan kewajipan agama Lizatihi, tetapi ianya mestilah dibuat dengan berhati-hati dan secara berperingkat, “kerana orang yang hilang kekuatannya itu tidak mampu meneruskan perjalanannya dan tidak mampu menjaga tunggangannya.”
Maka perkara ini belum lagi mencapai peringkat yang sesuai dan tidak mempunyai syarat-syaratnya.
Aku ingin menambah lagi bahawa sesungguhnya peluang yang ada untuk gerakan Islam dan para pendakwah adalah sangat luas untuk merealisasikan banyak matlamat-matlamat dan hukum-hakam agama serta untuk memperbaiki masyarakatnya, tanpa perlu menegakkan sebuah Negara Islam atau memperoleh kekuasaan. Ini boleh dibuat dengan cara beramal dan bekerja dalam saf-saf ummah dan pembinaan ummah serta melalui pendekatan “menegakkan ummah berbanding menegakkan negara.”
Bersambung...
Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: مستقبل الإسلام بين الشعوب والحكـام
Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/
Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:
5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY