MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2

Agama Islam akan terus kekal dan berkembang walaupun apabila terurainya simpulan pemerintahan, sama ada terurai kerana kerosakan pemerintahan Islam mahupun kerana ketiadaannya.

ISLAM DAN MANUSIA

Antara hak-hak kemanusiaan dalam Islam adalah mengambil berat tentang peranan akal dan menggunakannya untuk mengkaji dan berfikir.

ISLAM AGAMA RAHMAH

"Bersikap rahmahlah dengan mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh yang dilangit" - Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam

USUL 101: DHAWABIT AL-MASLAHAH FI AL-SYARIAH AL-ISLAMIYYAH

Ia suatu ‘compas setting’ atau ‘tawjih’ yang baik supaya pembaca memiliki prinsip yang kuat sebelum larut dalam kekencangan dan agresifnya perbincangan dalam bidang Maqasid Syariah

E-KITAB: 10 NASIHAT BUAT PENCINTA KEBENARAN



Oleh: 'Allamāh 'Abdul Rahmān bin Yahyā Al-Mu'allimī Al-Yamanī

Penterjemah: Syah Nazrin

Assalamualaikum wbt.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran/kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan."

(At-Tirmizī)

Dalam suasana hari ini yang dianggap sebagai era 'Post Truth' atau Pasca Kebenaran di mana berleluasanya penipuan yang dianggap benar atau penipuan dan kebatilan yang banyak menggantikan kebenaran, berpegang kepada kebenaran itu merupakan satu cabaran. 

Justeru, di ambang Tahun Baru Hijrah 1442H ini, kami berbesar hati menghadiahkan sebuah E-Kitab percuma untuk manfaat kita bersama, para pencinta kebenaran! 

E-Kitab ini mengandungi mutiara-mutiara nasihat yang berharga (yang disusun dalam bentuk sepuluh buah kaedah) bagi memimpin dan memberikan panduan kepada kita untuk terus setia di atas jalan kebenaran, meskipun badai gangguan sering hadir dalam pelbagai bentuk untuk memesongkan kita dari jalan kebenaran.

E-Kitab ini kami sebarkannya sebagai bahan bacaan percuma supaya kita bersama-sama dapat membacanya, menghayatinya, serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. 

E-Kitab ini boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan di bawah: 


E-Kitab ini diharapkan memberi manfaat dan manfaat itu harapnya dapat dikongsikan kepada sahabat-sahabat dan saudara mara kita.

Selamat membaca dan menghayati mesej-mesej yang terkandung dalam E-Kitab ini wahai pencinta kebenaran sekalian!
Share:

POLISI EKONOMI KHALIFAH UMAR DALAM ASPEK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN PENGURUSAN KRISIS


POLISI-POLISI EKONOMI KHALIFAH UMAR DALAM ASPEK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN PENGURUSAN KRISIS

1. Meluaskan Masjid Nabawi hingga termasuk rumah Abbas bin Abdul Muttalib RA, dengan bata, tiang kayu, dan atap pelepah tamar yang disapu plaster supaya hujan tidak menitis masuk. Beliau melarang hiasan berwarna merah atau kuning (warna kebanyakan hiasan di zaman itu) supaya tidak mengganggu khusyuk solat. Lantai tanah masjid itu diturap dengan batu supaya lebih bersih dan selesa.

2. Memindahkan batu Maqam Ibrahim yang dahulunya bersambung dengan Kaabah ke tempatnya hari ini supaya lebih mudah orang bertawaf dan solat.

3. Membeli rumah-rumah di sekeliling Masjidil Haram dan merobohkan rumah-rumah itu supaya Masjidil Haram dapat diluaskan, walaupun ada tuan rumah yang enggan. Beliau tetap membayar harganya kepada mereka yang enggan. Beliau membina tembok rendah di keliling masjid supaya dapat digantung lampu-lampu padanya.

4. Zaman Jahiliah, kelambu Kaabah dibuat dari kulit. Zaman Nabi SAW, baginda menggantinya dengan kain Yaman, dan di zaman Umar RA, beliau menggunakan kain ‘Qibati’, sejenis kain yang halus dari Mesir.

5. Membina masjid-masjid di kota-kota baru, misalnya oleh Sa’d bin Abi Waqqas RA di Kufah, ‘Utbah bin Ghazwan RA di Basra, ‘Amru bin al-‘As di al-Fustat. Masjid menjadi pusat pembelajaran, kehakiman, dan menyampaikan arahan khalifah.

6. Menggunakan sebahagian dari Baitulmal untuk urusan perhubungan antara negeri-negeri Islam, iaitu untuk bilangan unta yang banyak sebagai kenderaan untuk mereka yang tiada kenderaan untuk bergerak antara Jazirah Arab, Syam, dan Iraq.

7. Mengadakan ‘Dar al-Daqiq’ (Rumah 
 Tepung), tempat untuk bahan makanan disimpan yang boleh digunakan para musafir yang terkandas dan tetamu, terutamanya di jalan antara Mekah dan Madinah.

8. Mempertanggungjawabkan negeri-negeri bukan Islam yang membayar Jizyah untuk memelihara keadaan jalan-jalan di negeri mereka demi jaringan komunikasi efektif, misalnya seperti dalam watikah yang disaksikan al-Qa’qa’ bin ‘Amr RA pada 19H di Nahawand.

9. Pada 16 Hijrah dan seterusnya, visi Umar RA adalah pada mengasaskan kota-kota di Iraq, menggali terusan, dan membaiki jambatan-jambatan, antaranya seperti yang direkodkan dalam watikah ‘Iyad bin Ghanam kepada ketua paderi al-Raha.

10. Apabila Umar RA mengetahui yang dahulu Rom pernah ada terusan antara Sungai Nil (Babylon) ke Laut Merah, tetapi sudah terkambus, beliau mengarahkan ‘Amr bin al-‘As menggalinya semula, hingga menjadi laluan antara Hijaz dan Fustat (ibu kota Mesir ketika itu). Ia dinamakan Khalij Amirul Mukminin. Di tebing terusan ini dibina taman-taman, kebun-kebun, dan kawasan perumahan. Ia menjadi laluan mengirim makanan dari Mesir ke dua tanah suci, hingga zaman Umar bin Abdul Aziz RA seabad kemudian. Namun akhirnya ia terkambus apabila gabenor-gabenor selepasnya tidak lagi mengambil berat tentangnya.

11. Di Iraq, satu terusan digali dari al-Khawr ke Basra untuk membawa air dari Sungai Dajlah (Tigris) ke kota Basra. Jambatan dan empangan dibina, hingga memakan banyak bajet kerajaan zaman beliau.

12. Menggalakkan rakyat untuk berhijrah ke negeri-negeri yang baru dibuka, di pusat-pusat perkumpulan para Mujahidin supaya dapat menyebarkan Islam serta membekalkan tenaga manusia dan senjata kepada para Mujahidin. Antara kota-kota terpenting yang diasaskan ketika ini ialah Basrah, Kufah, Mosul, al-Fustat, Giza, dan Sirt. Para tentera disusun berdasarkan kabilah dan divisyen. Beliau menggalakkan mereka untuk turut membawa isteri dan anak-anak untuk menetap di sana, lalu menjadi pusat ketenteraan yang boleh dimobilisasi bila-bila masa.

13. Mengadakan masjid, pasar, dan padang ragut khas (al-Hima) untuk kuda dan unta para Mujahidin di setiap kota yang baru dibuka ini.

14. Memastikan laluan darat antara kota-kota baru ini dengan Madinah itu lancar dan mudah, tanpa dihalang laut atau sungai, kerana beliau risau akan hilangnya pengalaman kaum Arab tentang pengangkutan laut. 

15. Kaum Muslimin menduduki rumah-rumah yang ditinggalkan orang Rom di negeri Syam bila mereka melarikan diri setelah dikalahkan Muslimin. Kerana itu, tiada kota baru yang diasaskan. Kaum Arab pun memang asalnya sudah ramai di Syam, hingga tiap kabilah dapat menemui saudara-mara mereka di sana.

16. Kota-kota baru ini diasaskan hampir ke persempadanan daulah Islam sebagai pos-pos pertahanan dan ketenteraan. Ia juga di tempat yang tidak diduduki orang dengan kawasan padang yang luas, sesuai untuk ternakan dan tunggangan kaum Arab.

17. Kawasan perumahan di kota-kota baru ini disusun mengikut sistem berdasarkan kabilah yang diamalkan angkatan tentera hingga setiap kabilah diperuntukkan satu kawasan perumahan khas.

Komentar saya dari artikel ini, kef ahaman menyeluruh dan futuristik khalifah Umar al-Khattab RA terhadap Shariah dan kepimpinan telah menjadikan beliau seorang yang memiliki wawasan yang cekap terhadap memahami dan memenuhi segala maslahat yang diperlukan negaranya ketika itu, hingga daulah Islam di zaman beliau mampu berdiri setaraf dengan kuasa-kuasa besar ketika itu. Kepimpinan sebeginilah yang didambakan oleh umat Islam hari ini, namun sudah tentu ia tidak akan terjadi tanpa para pendokong yang berkualiti semisal ribuan para sahabat RA yang mengelilingi beliau. 

Tulisan : Ustaz Eirfan, Felo Siasah Rahmah - ringkasan artikel daripada Linkedin, oleh Mufti Fahad Ahmed Qureshi)
Pautan artikel asal: linkedin.com/pulse/economic-policies-caliph-umar-bin-khattab-development-qureshi

======================

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek terjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY

Ikuti website kami: www.siasahrahmah.com

Kami di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/
Share:

KENYATAAN MEDIA SIASAH RAHMAH #8: UTAMAKAN PRINSIP SHURA (RUNDINGAN) DAN NON-PARTISAN DALAM PEMILIHAN KETUA PESURUHJAYA SPRM



1.  Isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baharu iaitu Puan Latheefa Beebi Koya telah menjadi perbincangan hangat sejak tanggal 1 Syawal 1440H.

2.  SPRM merupakan institusi awam yang penting dalam proses reformasi negara, justeru Siasah Rahmah berpandangan lantikan utama seperti Ketua Pesuruhjaya tidak boleh dibuat secara seorang diri tanpa Shura (rundingan) dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan dibuat mengikut proses yang sepatutnya atas semangat reformasi institusi. Pedoman ayat 159 Surah Ali Imran:
(..الْأَمْرِ فِي وَشَاوِرْهُمْ..)
"...dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu..."
3.  Pelantikan beliau tidak bercanggah dengan mana-mana prosedur yang ditetapkan oleh Akta SPRM sedia ada dan telah diperkenan oleh Yang DiPertuan Agong. Pengalaman dan kelayakan beliau juga tidak menjadi isu.

4.   Namun begitu, cara pelantikan beliau yang diputuskan oleh Perdana Menteri tanpa perbincangan dengan Kabinet dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam telah menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan kepada agenda reformasi institusi yang dijanjikan.

5.  Tambahan pula, janji ke-16 Buku Harapan jelas menyatakan bahawa di bawah kerajaan Pakatan Harapan:
"Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen. Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut."
6.  Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM selain dilakukan dengan proses yang betul, perlu juga dilihat bebas dan tidak berpihak terutamanya kepada parti pemerintah.

7.   Teladan Khulafa' Rasyidin Saidina Umar seperti yang disebut oleh Sh. Al-Bahnasawi dalam kitab Al-Khilafah wa Al-Khulafa' Al-Rasyidin bayna al-Syura wa Al-Dimaqratiyah patut dijadikan contoh ketika mana beliau memanggil para sahabat bermesyuarat termasuk anaknya Abdullah, anaknya tidak diberikan sebarang peranan melainkan hanya ahli mesyuarat semata-mata. Selain itu Saidina Umar juga melantik Suhaib ar-Rumi yang merupakan individu bebas bukan calon dalam pemilihan pemimpin untuk menjadi imam supaya tidak dianggap memberi pengiktirafan kepada mana-mana calon yang bertanding.

***********************
Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY

Share:

PANDANGAN ULAMA-ULAMA ISLAM MENGENAI ZIARAH AL-QUDS DI BAWAH PENJAJAHAN ISRAEL

http://cdn2.tstatic.net/wartakota/foto/bank/images/quds_20170725_203647.jpg

Oleh kerana isu ini bersifat Zamani (tergantung kepada zaman), maka ia harus dilihat dalam kerangka zaman. Al-Quds, selepas tahun 1948 lewat peristiwa Nakbah adalah tanah yang berbeza daripada tahun-tahun ia aman di bawah pemerintahan Empayar Kerajaan-kerajaan Islam. Maka di sini dilampirkan sebahagian petikan pandangan oleh para ulama yang mempunyai autoriti daripada segi keilmuan dan keperihatinannya terhadap isu umat.

1. Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud (1978), mantan Syeikhul Azhar menolak untuk menemani Anwar Sadat, Presiden Mesir ketika itu dalam rangka lawatannya ke Palestin yang dijajah.

2. Syeikh Ali Jadul Haq (1996), mantan Syeikhul Azhar dan Mufti Mesir berkata:

"Sesungguhnya barangsiapa dalam kalangan Muslimin yang menziarahi Al-Quds adalah berdosa. Adalah lebih utama bagi seorang Muslim untuk tidak menziarahinya (Al-Quds) sehinggalah ia bebas dari cengkaman Yahudi (Zionis) lalu dipulangkan kepada pemiliknya dengan aman seterusnya kalimah Allah diangkat tinggi dan seruan Solat (azan) dilaungkan. Bagi setiap Muslim, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam membebaskannya."

3. Syeikh Dr. Sayid Tantawi (1999), mantan Syeikhul Azhar berkata:

"Ziarah (Al-Quds) tidak boleh berlaku ketika mana ia dalam penjajahan Zionis, kerana mana-mana ziarah yang dilakukan ketika ini tidak lain merupakan suatu pengiktirafan kepada kedaulatan Zionis lantas menggalakkan lagi kekuasaan mereka."

4. Dr. Ahmad Tayib, Syeikhul Azhar yang terkini berkata:

"Ziarah Al-Quds tidak memberi Maslahah kepada Muslimin, selagi mana ia dilangsungkan dalam tempoh penjajahan Zionis, malah di atas keizinan mereka pula."

5. Dr. Nasr Farid Washil, mantan Mufti Mesir berkata:

"Aku sekali-kali tidak akan menziarahinya (Al-Quds) sehinggalah ia dibebaskan daripada penguasaan Zionis, hal ini kerana sesiapa yang menziarahinya pada hari ini hanya memberi kelebihan kepada penjajah lalu mengiktiraf mereka. Dengan izin Allah, kita semua akan menziarahinya setelah ia dibebaskan. Ia adalah kota yang diamanahkan kepada para Muslimin untuk menjaganya, wajiblah kita mengerah tenaga untuk membebaskannya."

6. Tokoh-tokoh Majma' Al-Buhuts Al-Islamiah seperti Syeikh Fawzi Zifzaf, Dr. Abdul Mu'thi dan Dr. Ahmad Umar Hasyim juga berulang kali dalam meja bulat membincangkan masa depan Al-Quds, tidak pernah berubah pendirian dalam menentang tindakan menziarahi Al-Quds di bawah penjajahan Zionis termasuklah bersepakat menolak tindakan Mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah yang menziarahi Al-Quds pada tahun 2012.

7. Begitu juga Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, bekas Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad), Dr. Muhammad Utsman Syibr, mantan Pensyarah Universiti Jordan yang lahir di Palestin, Syeikh Hamid Al-Bitawi, Khatib Masjid Al-Aqsa juga Pengerusi Rabithah Ulama Palestin, Syeikh 'Ikrimah Sobri, mantan Mufti Palestin dan lain-lain.

Penulis:
Ustaz Khubaib Asmadi
Felo Siasah Rahmah


Ikuti Facebook kami: www.facebook.com/siasahrahmah

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

 ******************

Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:
5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

MENANAMKAN KEMANUSIAAN SEBELUM MENANAMKAN AGAMA - SIRI 2

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhtx__BFZqBZT4OzKvQZ7SSyhB5z161-2IWBjyPREeQgMkXjw1dFp5xpZ6O8mSTXIVIAgk5VJ2sCTgiqKrIpjVTgQo32kTls7_YVRft-q_YmxcjvdaX1__JmfbTNJj2SZl0D0DV1-tvNy4/s400/1+zZ1OMiTFjc-Sp00uHTplag.jpeg


Setiap kali aku melihat para pemuda dan pemudi, sama ada yang berada di luar bandar dalam keadaan tertekan, atau yang tinggal dalam kesibukan hidup di kota-kota, atau ketika aku memberi peringatan di masjid-masjid dan persatuan-persatuan agama, aku melihat bahawa di sana adanya sesuatu yang hilang. Ianya mesti ada, untuk menghubungkan manusia dengan agama, hubungan yang menguntungkan untuk agama dan manusia.

Mungkin kamu akan menghabiskan masa untuk merawat haiwan tunggangan yang cedera, atau menggunakan waktu itu untuk memperbaiki kereta atau kapal terbang yang rosak, tetapi hasil daripada usaha-usaha ini berubah-ubah. Orang yang akan menunggang haiwan itu selepas ia pulih bukanlah orang yang akan menaiki kapal terbang selepas ia dibaiki.

Menyebarkan dakwah agama ini dalam kalangan masyarakat yang malas, lemah, dan sombong, mungkin akan menambah bilangan pendukung agama ini, tetapi hanya penyokong yang malas atau pengikut yang mabuk.

Maka adakah hasil ini akan terjadi, sekiranya dari mula lagi kalian sudah bekerja untuk membebaskan pemikiran yang tertutup, membangunkan potensi yang belum digunakan, menguatkan jiwa yang lemah, dan merawat orang yang mempunyai ‘penyakit’ dan hati yang buta?

Maka selepas itu, apabila kamu membawa seseorang untuk berkhidmat kepada agama, kamu akan datangkan kekuatan untuk agama, iaitu orang yang beramal dengannya, dan tidak ada apa yang dapat menghalang visinya.

Sesungguhnya Rasulullah memfokuskan dakwahnya kepada bangsa Arab terlebih dahulu. Mereka ini walaupun dalam kekufuran yang diwarisi, mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang rendah, mempunyai tubuh yang tidak terkesan dengan penyakit yang berjangkit, dan mempunyai kecergasan badan yang tinggi. Ketika mereka dalam kesesatan, kehebatan mereka digunakan untuk menakutkan para musuh. Ketika Nabi Pembawa Risalah membawa mereka daripada kesesatan kepada pentunjuk, mereka menjadikan al-Haq (kebenaran) itu kukuh. Mereka membawa al-Haq ini mengelilingi seluruh pelusuk bumi, berjuang dengan penuh gagah hinggakan al-Haq ini mampu menggegarkan gunung-ganang di hadapannya.

Masyarakat Islam pada hari ini berada di peringkat membina kekuatan fizikal dan akhlak, membentuk ruang amal dan sistem, dan menghasilkan produk-produk serta mengembangkan bakat-bakat. Peringkat ini merupakan tempoh yang lama, yang perlu kita selesaikan segera supaya kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di hadapan masyarakat Barat yang menolak Islam dan juga masyarakat yang menolak seluruh agama.

Sesungguhnya ketajaman akal, kesedaran pemikiran, dan percambahan pandangan merupakan unsur-unsur yang perlu ada untuk membina iman yang sahih, kerana iman merupakan pengetahuan yang mencapai tahap keyakinan tanpa keraguan. Sekiranya tidak ada kesedaran yang jelas dan kefahaman yang matang, maka keyakinan itu tidak ada nilainya.

Janganlah ada yang menyangka bahawa kita menzalimi orang-orang yang bodoh atau menafikan hak mereka, tetapi hakikatnya idea ini diinspirasikan daripada nas-nas al-Quran. Hanya akal yang bijak yang mampu merungkai rahsia-rahsia penciptaan alam dan memahami tanda-tanda kebesaran Allah di pelbagai tempat dan zaman. Allah berfirman:

“Orang yang takut kepada Allah hanyalah daripada kalangan hamba-hambanya yang ‘alim (yang mengetahui)” (Fatir: 28).

Allah berfirman lagi:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, peredaran siang dan malam terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal” (Ali Imran: 190).

Hanya akal yang bijak yang mampu membezakan antara al-Haq dan al-Batil serta memahami hakikat wahyu yang jauh daripada nafsu dan kesesatan. Allah berfirman:

“Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada tuhanmu itu (wahai Muhammad) adalah al-Haq (perkara yang benar), sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal” (Ar-Ra’d: 19).

Hanya akal yang bijak yang mampu mengambil pengjaran daripada peristiwa lampau, dan mendapat manfaat daripada sejarah kemanusiaan yang panjang dan kisah-kisah orang yang menang atau orang yang kalah, sama ada daripada orang-orang yang memperbaiki atau orang-orang yang merosakkan. Allah berfirman:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal” (Yusuf: 111).

Tidak ada kebijaksaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, atau ketepatan dalam membuat penilaian terhadap seseorang atau sesuatu masalah, atau kefahaman terhadap punca dan hasilnya, melainkan hanya ada pada orang-orang yang mempunyai akal yang bijak, pengetahuan yang luas, dan kelebihan yang hebat. Allah berfirman:

“Allah memberikan hikmah (kebijaksaan) kepada siapa yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang diberikan hikmah maka dia diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang mendapat pengajaran melainkan hanya orang-orang yang berakal” (Al-Baqarah: 269).

Mendidik akal, mengembangkan bakat, dan membuka ruang kemanusiaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Peringkat pembelajaran di sekolah dan pelaksanaannya dalam kehidupan, penelitian pandangan-pandangan yang berbeza, menyatukan apa yang kita tidak ketahui dan apa yang kita ketahui, dan melihat sesuatu dengan cara pandang yang baru dengan penuh berhati-hati dan harmoni bukan dengan pandangan yang jumud dan prejudis, serta menguasai aspek material dan budaya. Kesemua ini merupakan wasilah (metod) pembentukan akal manusia. Ia juga merupakan kaedah bagi akal yang sejahtera untuk mengenal Allah, beriman dengannya, dan mendapat faedah daripada agama ini.

Bersambung…



Siri 1: Menanamkan Kemanusiaan sebelum Menanamkan Agama- Siri 1

Penulis: Shiekh Muhammad Al-Ghazali
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber:
الإنسان أولا .. أو تصحيح الإنسانية قبل غرس تعاليم الدين


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

 

Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

MENANAMKAN KEMANUSIAAN SEBELUM MENANAMKAN AGAMA - SIRI 1


https://cdn-images-1.medium.com/max/1200/1*zZ1OMiTFjc-Sp00uHTplag.jpeg

Apabila wujudnya penghinaan daripada aspek kekuatan fizikal dan adab, maka tidak lagi diharapkan kebaikan padanya dan tidak pula berasa aman daripada keburukan. Seorang manusia yang tidak jelas (hala tuju), pasif, dan lemah tidak akan mendapat manfaat daripada agama dan agama tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Apa faedah kepada Islam, seorang manusia yang memusnahkan hidupnya, mensia-siakan kelebihannya, dan hanya hidup di atas muka bumi ini secebis daripada tanahnya, atau hanya serpihan daripada batu-batunya?

Sesungguhnya Islam tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada manusia ini. Bahkan dia akan memberi mudarat kepada Islam dan melemahkannya, kerana bekas yang kotor tetap akan kotor walaupun di dalamnya ada air yang bersih, bahkan bekas itu akan merosakkan air itu.

Begitu juga sebuah bangsa yang lemah dan malas. Mereka akan merendahkan kedudukan agama yang mereka anuti, dan menjatuhkan nilai Aqidah yang mereka pegang.

Sepertimana sesebuah agama itu tidak akan mendapat manfaat daripada penigkut yang lemah, begitu juga pengikut agama itu tidak mampu mendapat manfaat daripada agama itu, daripada manfaat warisan yang berharga hinggalah manfaat prinsip-prinsip yang bernilai. Seperti orang bodoh yang mencampakkan dirinya ke dalam perpustakaan atau orang yang sakit perut dihidangkan dengan makanan yang melimpah ruah.

Bahkan para pengikut yang bodoh, ramai daripada kalangan mereka yang meletakkan kebodohan mereka walau adanya fakta yang paling kuat. Berbanding bangkit daripada kebodohan dengan menggunakan fakta-fakta itu, mereka menarik fakta itu jatuh bersama kebodohan mereka. Oleh itu, kita mesti mengetahui hakikat ini untuk membetulkan masalah yang menyerabutkan ini.

Sesungguhnya masyarakat Islam memerlukan kesungguhan yang besar untuk meningkatkan taraf kekuatan dan nilai adabnya, sebelum mereka memahami Islam dan memperoleh kemuliaan daripadanya. Ini bermakna, mereka perlu memperbaiki aspek kemanusiaan mereka terlebih dahulu.

Sehingga apabila lahirnya manusia yang mampu berfikir tentang apa yang mereka katakan dan mengetahui kewajipan mereka, akan kami katakan kepadanya:

“Bantulah (agama) Tuhanmu dan dirimu, jika kamu inginkan kehidupan yang mulia pada hari ini dan Hari Akhirat.”

Adapun usaha-usaha orang-orang yang melakukan perubahan, sebelum mereka mengikuti langkah-langkah ini, ia hanyalah ibarat gelombang air yang mengalir di atas padang pasir, mustahil akan tumbuhnya hasil!

Dan agama ini pada hakikatnya tidaklah melainkan untuk melengkapkan jiwa manusiawi dan memperbaiki keupayaannya. Agama ini umpama akal yang menajamkan pemikiran, umpama mata yang memperelok penglihatan, umpama telinga yang memperbaiki pendengaran, dan umpama yang mencantikkan perbuatan.

Dan seseorang yang yakin kepada konsep ini, dia adalah seorang manusia yang matang dalam pemikiran, penelitian, dan membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Seorang manusia yang baik dari sudut produktiviti, pengaruh, dan perilakunya. Jika unsur-unsur ini terganggu dalam dirinya, akan terganggu juga sumber keimanan dalam hati dan jiwanya, dan akan terurai hakikat manusiawinya.

Akan sentiasa ada sekelompok manusia yang hilang iman dan kemanusiaannya, sehinggalah hadirnya al-Quran dalam hidupnya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi Allah, ialah orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun.” (Al-Anfal: 22).

Seseorang itu akan berubah menjadi seperti binatang, apabila akalnya mati dan tidak berfikir, dan apabila hilang kesedaran dirinya. Maka ketika itu dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas pendengarannya, penglihatannya, dan jiwanya, kerana tidak ada lagi baginya melainkan apa yang hanya ada pada haiwan ternakan, iaitu deria yang digunakan hanya untuk keperluan dunia semata-mata.

Contoh orang-orang begini - dengan penuh kemaafan - ialah majoriti masyarakat, yang dibutakan dengan kebodohan, dilemahkan dengan kesakitan, dihina dengan kefakiran, dan majoriti masyarakat yang bangga dengan kemajuan negara Timur, tetapi tidak selangkah maju ke depan, bahkan beberapa langkah terkebelakang. Mereka ibarat tanah, yang melunturkan semangat Islam dan membazirkan kekuatannya sebagai sebuah agama yang produktif.

Penghinaan fizikal dan adab ini, bukanlah daripada agama, bahkan bukan bayangan agama. Ia adalah kecelakaan yang lahir daripada suasana yang penuh dosa. Ia tidak dihubungkan dengan agama melainkan hanya dibuat-buat, dan agama tidak dihubungkan dengannya melainkan hanya dengan bentuk yang rosak dan penipuan yang dicipta.

Untuk kita pastikan kewujudan agama yang benar dengan pengikutnya yang mulia, maka kita mesti bersegera menghapuskan sisa-sisa kefakiran, kebodohan, dan kesakitan, dan bersegara membina generasi yang baik, yang secara fitrahnya akan memperbaiki masyarakat untuk memikul risalah yang berat ini dan menanggung bebanannya.

Bersambung…


Penulis: Shiekh Muhammad Al-Ghazali
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber:
الإنسان أولا .. أو تصحيح الإنسانية قبل غرس تعاليم الدين


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

KENYATAAN MEDIA SIASAH RAHMAH #7: INSIDEN PENGEBOMAN GEREJA DAN HOTEL DI SRI LANKA

https://cdn.cnn.com/cnnnext/dam/assets/190421014601-0421-sri-lanka-church-bombing-03-super-tease.jpg


Siasah Rahmah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas yang telah mengebom gereja dan hotel di Sri Lanka sempena sambutan Easter yang hingga kini telah mengorbankan 290 orang dan mencederakan lebih 500 orang.

Firman Allah S.W.T:

"bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya..." (Al-Maidah: 32).

Ajaran Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadah agama-agama, apatah lagi membunuh mereka yang berada di dalamnya terutama pada hari perayaan mereka.

Siasah Rahmah menyeru agar umat Islam dan bukan Islam bersama-sama menunjukkan solidariti kepada rakyat Sri Lanka khususnya yang beragama Kristian dan menolak sekerasnya perbuatan para pengganas yang terlibat. Semoga mereka di belakang kejadian ini dihadapkan ke muka pengadilan.
 

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/



Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews