Home »
siasah shar'iyyah
» MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2
MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - SIRI 2
Siri 1: MASA DEPAN ISLAM: ANTARA RAKYAT DAN PEMERINTAH - Siri 1
Sambungan...
Penjelasannya adalah seperti berikut:
"PEMBINAAN UMMAH YANG PALING UTAMA"
Daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW berkata:
“Akan terurai ikatan Islam satu demi satu. Setiap satu simpulan terurai maka manusia akan bergantung pada simpulan berikutnya. Simpulan yang pertama akan terurai adalah pemerintahan dan yang paling akhir adalah solat.”
Banyak gerakan yang membina ummah yang menukilkan Hadis ini untuk menunjukkan kepentingan Negara Islam dan keutamaannya serta keperluan yang mendesak untuk mengembalikannya, kerana Hadis ini mengatakan bahawa pemerintahan merupakan salah satu simpulan-simpulan Islam.
Tetapi Hadis ini sebenarnya mengandungi dua hakikat yang tidak diambil perhatian oleh orang-orang yang menukilkan Hadis ini, iaitu:
1. Pemerintahan merupakan simpulan yang paling longgar antara simpulan-simpulan Islam, kerana uraian yang pertama akan berlaku ke atas simpulan yang paling longgar dan paling lemah berbanding yang lain. Sedang bahagian yang kuat dan kukuh mampu bertahan terhadap faktor-faktor yang menghancurkan, sehingga yang terakhir akan tinggal lalu terurai.
Maksud daripada Hadis ini adalah yang paling lemah kebergantungan Islam kepadanya untuk wujud dan kekal ialah pemerintahan, dan yang paling kuat dan kukuh untuk Islam bergantung ialah solat.
2. Agama Islam akan terus kekal dan berkembang walaupun apabila terurainya simpulan pemerintahan, sama ada terurai kerana kerosakan pemerintahan Islam mahupun kerana ketiadaannya. Sudah diketahui bahawa Allah Ta'ala menurunkan agama ini “ليظهره على الدين كله” (untuk ditinggikan atas segala agama lain) dan akan kekal sehingga hari kiamat.
Jika sekiranya terurainya simpulan pemerintahan pada waktu awal dalam sejarah Islam, ini bermakna bahawa Islam akan hidup dan kekal untuk tempoh yang lama tanpa bergantung kepada simpulan yang telah terurai itu (pemerintahan).
Bukti dan perincian terhadap kefahaman ini boleh dilihat dalam sejarah Islam sejak abad pertama hinggalah sekarang. Sesungguhnya Islam semakin berkembang dan kukuh serta sesuai sepanjang zaman dan di setiap tempat, walaupun dengan ketiadaan pemerintahan.
Orang-orang Islam sentiasa menjaga Izzah dan kekuatan mereka, memelihara keturunan mereka, membangunkan tamadun mereka, dan mengembangkan ilmu-ilmu mereka. Bahkan mereka sentiasa meluaskan pengaruh mereka dan menyebarkan agama di seluruh dunia, walaupun berlakunya kerosakan, fasad, dan Wahan (cintakan dunia) dalam negara, pemimpin, dan pemerintahan mereka.
Apa yang dimaksudkan dengan perkara ini?
Ini bermaksud bahawa simpulan terakhir dalam Islam adalah yang paling penting dan berkuasa lebih daripada simpulan pemerintahan dan akan terus kekal. Ini juga bermaksud bahawa ummah ini mampu terus kuat dan teguh serta efisien walaupun dengan adanya kecelaruan, kerosakan, dan kecacatan dalam pemerintahan mereka. Ini juga bermaksud bahawa negara bukanlah segala-galanya dan bukan juga perkara yang paling penting. Apabila menegakkan negara menjadi segala-galanya dan perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia dan pemikiran mereka, maka ketika itu ia merupakan waktu paling bahaya untuk manusia; kemampuan mereka, tindakan mereka, dan efisensi mereka.
Adapun apabila manusia mula melihat bahawa negara itu ibarat satu ruang yang terhad dan tanggungjawab yang terhad, dan ianya tidak mungkin akan mengambil peranan ummah atau menghapuskan tugas-tugasnya, maka ketika ini manusia mula bebas daripada simpulan negara dan mentuhankan negara, lalu mula bergerak untuk menunaikan tanggungjawab, memperbaiki urusan mereka, dan membina masyarakat mereka serta mendukung risalah mereka, walau dalam keadaan apa pun kedudukan negara mereka dan tahap kerjasama mereka, atau dalam keadaan lemah, atau dalam kerosakan.
Sangat jelas bahawa para Muslimin dan Ulama telah hidup dalam tempoh yang lama dan zaman yang berbeza dengan berpandukan asas ini. Kerana itu, Islam terus bertambah kuat dan semakin kuat, dan berkembang hari demi hari, dan masyarakat Islam berterusan dalam kesatuan, kemajuan, dan berkhidmat kepada manusia walaupun dihimpit dengan kerosakan dan aib yang menimpa institusi pentadbiran dan para pemerintah mereka. Aku tidak menafikan kesan buruk daripada kerosakan ini atau memandang remeh padanya.
Inilah yang mesti kita lakukan, iaitu memberikan perhatian kepada ummah dan menggembleng tenaga mereka serta mengembangkan mekanisme amal mereka, sebelum kita memberikan perhatian kepada negara dan institusinya, agar syiar kita menjadi: “Pembinaan ummah dan penggemblengannya yang paling utama” (بناء الأمة وتفعيلها أولا).
Kita perlu ingat bahawa ummah ini yang jumlahnya lebih daripada ribuan juta, dengan puluhan juta tinggal di negara dan tamadun barat, dan ummah ini yang memiliki jutaan Ulama, orang kaya, para pemikir dan inovasi, dan para pendakwah serta orang-orang yang beramal. Begitu juga jutaan orang yang bersedia untuk bekerja dan berkorban serta berjihad untuk agama dan ummah serta bangsa manusia seluruhnya. Semua kekuatan ini tidak terhitung melainkan hanya Allah Ta’ala yang menghitungnya.
Kekuatan dan kemampuan ini hanya perlu kepada amal dan panduan, ia perlu kepada orang yang membuka jalan petunjuknya sama ada dalam dakwah, pendidikan, media, pertembungan politik, pemikiran, amal kebajikan dan pembangunan.
Ujian yang paling besar bagi para Ulama dan pemimpin gerakan Islam yang perlu mereka kuasai dan berjaya adalah menggerakkan kemampuan dan kekuatan ummah dalam setiap aliran serta mewujudkan budaya aktivisme dalam kalangan masyarakat madani (sivil).
Bersambung...
Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber: مستقبل الإسلام بين الشعوب والحكـام
Ikuti kami di Facebook : Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/
Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:
5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY