MASA DEPAN ISLAM DAN ISLAM MODEN - SIRI 1




Masa depan Islam merupakan topik yang hangat dibincangkan oleh semua masyarakat, sama ada pemuda-pemuda Islam mahupun musuh-musuh Islam, bahkan orang-orang yang takut kepada Islam. Semua ternanti-nanti dan tertanya-tanya:

“Apakah masa depan Islam?”

Kerana persoalan-persoalan dan kajian yang pelbagai, dengan jawapan-jawapan yang banyak dan berbeza, yang mana perbezaan bukan semata-mata pada pandangan dan hala tuju, bahkan juga berbeza pada masa dan waktu, ianya menegaskan satu sudut penting tentang permasalahan ini, iaitu “masa depan itu perkara yang ghaib.”
Tidak ada seorang pun mampu menentukan apa yang akan berlaku melainkan hanya berpandukan jangkaan dan evaluasi.

Dan apa yang membantu dalam evaluasi dan jangkaan terhadap hala tuju masa hadapan adalah apa yang disebutkan sebagai Sunnatullah yang tidak berubah, seperti firman Allah:

“Sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu lagi, dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan pada sunnatullah itu.” (Al-Fath: 23).

Antara Sunnatullah ialah apa yang kita tanam hari ini boleh dituai hasilnya pada hari kemudian, dan apa yang ditanam pada hari kemudian boleh dituai hasilnya pada hari yang seterusnya. Kita tidak tahu apa yang kita akan tanam esok atau lusa, tetapi kita tahu apa yang kita akan dapat pada hari esok atau lusa, kerana ianya adalah apa yang kita telah tanam pada hari ini dan akan tanam pada hari esok. Allah berfirman:

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap manusia melihat apa yang dia telah sediakan untuk hari esok (hari akhirat), bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa akan diri mereka sendiri.” (Al-Hasyr: 18-19).

Masa depan Islam merupakan hasil tuaian segala amal-amal yang kita lakukan pada hari ini. Masa depan yang seterusnya merupakan hasil daripada apa yang kita akan lakukan kemudian hari. Bahasa mudahnya, apa yang kita lakukan pada hari ini, akan kita dapat hasilnya pada hari esok, dan apa yang kita akan lakukan pada hari esok, akan kita dapat hasilnya pada hari berikutnya.

Tidak ada seorang pun yang dapat menyangkal bahawa sebahagian besar daripada realiti umat Islam pada hari ini adalah kesan daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam yang menentang Islam, dan sebahagian besar daripada masa depan Islam akan terjadi hasil daripada apa yang dilakukan oleh penentang-penentang Islam pada hari ini. Kita tidak mampu menghalang perancangan dan konspirasi musuh terhadap masa depan Islam, tetapi pertama sekali marilah kita sama-sama sempurnakan hak-hak dan tanggungjawab kita, marilah kita sama-sama laksanakan apa yang mampu kita laksanakan dan apa yang berada di hadapan kita, ianya cukup banyak.

Apa yang kita mampu laksanakan lebih besar daripada yang mampu dilaksanakan musuh-musuh kita. Jika baik prestasinya, ia mampu mengesani gerakan musuh dan mampu menghalang perancangan mereka.

Sesungguhnya Islam itu berkembang dan semakin kuat di muka bumi ini sejak berzaman dahulu, walaupun sentiasa dibelit dengan tipu daya musuh Islam dan pemuda-pemudanya yang lemah, walaupun ditimpa pelbagai huru-hara yang ditimbulkan para pemuda dan musuh Islam, bahkan ditimbulkan oleh sebahagian para pendakwahnya.

Biarkan apa yang dibuat dan akan dibuat oleh orang-orang lain, sama ada baik atau buruk, besar atau kecil, kerana hakikatnya masa depan kita terletak di tangan kita. Maka kita mesti laksanakan hak-hak dan tanggungjawab kita.

Tanggungjawab pertama dalam menyusun masa depan Islam terletak di tangan para muslimin, terutamanya di tangan para ulama dan pendakwah serta pemikir Islam. Mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membentuk masa depan Islam dengan cara membentuk akhlak dan memberi bantuan kepada orang-orang Islam. Mereka dituntut untuk melakukan ijtihad-ijtihad baru, untuk menambah kefahaman dan penguasaan terhadap isu-isu semasa dan tuntutan-tuntutan moden serta hala tuju masa hadapan, agar terhasil ijtihad yang lebih sesuai dan seimbang dengan hukum-hakam Islam dan hikmah pensyariatannya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian orang dengan istilah “Islam Moden”.

Apakah “Islam Moden” itu?

Bersambung...


Penulis: Dr Ahmad Ar-Raisouni
Penterjemah: Siasah Rahmah

Sumber: مستقبل الاسلام وإسلام المستقبل 



Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews