TAFHEEM: DILEMA KONSERVATISME-LIBERALISME DALAM NARATIF ISLAM
Ini tanggapan peribadi dalam merenung pertembungan wacana antara pelbagai pihak di tanah air dalam menilai isu-isu semasa di peringkat nasional. Sebelum itu, saya kembali kepada spektrum yang klasik dalam pemikiran Islam sama ada Konservatisme Islam (ekstrim kanan) atau Liberalisme Islam (ekstrim kiri). Konservatisme Islam beku dan jumud dalam takwilan nas bagi menyatakan pendiriannya dalam isu semasa manakals Liberalisme Islam pula bermudah-mudah dalam takwilan.
Cabaran yang terbesar adalah berada di tengah-tengah spektrum tersebut dengan menghubungkan kesakralan nas dengan dinamika isu semasa, antara autoriti Syarak dengan kebijakan minda dan sains. Kepakaran inilah yang cuba dibentuk oleh ilmu tradisi Usul Fiqh yang mendisiplinkan interaksi akal terhadap nas bagi menghadapi kerencaman isu yang mempunyai faktor zaman, lokasi, psikologi dan sosio-budayanya.
Kaedah Fiqh juga menyebut:
"Hukum atas sesuatu (kes) merupakan cabang (hasil) kepada tasawwurnya (gambaran yang jelas dan terperinci berkenaan kes tersebut)."
Maka mustahil secara mudah memindahkan nas secara bulat-bulat kepada sesuatu kes tanpa penelitian terhadap kes itu sendiri. Begitu juga kaedah Fiqh yang menyatakan:
"Tidak dinafikan berubahnya hukum atas sebab berubahnya zaman (lingkungan kes atau sosio-budayanya)."
Malangnya sekali lagi, berada di tengah-tengah ini adalah suatu kerja berat yang memerlukan kebijakan Usul Fiqh. Di sinilah dilema berlaku.
Apabila diuji dengan asakan bertalu-talu oleh golongan Konservatisme Islam, lebih-lebih lagi pada isu yang kompleks dari kaca mata Islam, golongan yang berhasrat untuk berada di tengah ini akhirnya memilih jalan mudah dengan memeluk Liberalisme Islam. Sama juga sebaliknya, apabila ditekan oleh golongan Liberalisme Islam pada isu kompleks yang sama, golongan pertengahan ada juga yang memilih jalan mudah dengan memeluk Konservatisme Islam.
Perkara ini dilihat berulang-ulang berlaku seperti dalam kes ICERD, LGBT, Negara Islam, ketuanan Melayu-Islam dan lain-lain. Maka akhirnya tiada sesiapa yang berjaya bertahan di tengah-tengah lalu mewujudkan polemik antara dua ekstrim yang tidak berkesudahan.
Jalan keluar dari kemelut ini adalah memandaikan umat dan meramaikan pemikir yang berminda 'hybrid' (gabungan kebijakan Usul Fiqh dan ilmu sosial). Serta yang paling penting, memelihara akhlak (terutamanya lisan) daripada bermudah-mudahan dalam meletakkan label tertentu dengan niat yang jahat pada pihak lawan. Nanti bakal digelar Labelisme pula.
Penulis:
Ustaz Khubaib Asmadi
Felo Siasah Rahmah
Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR
Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah
Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/
Serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:
5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY