TAFHEEM: HIKMAH TERORISME KE ATAS ISLAM

https://e3tidal.com/storage/app/uploads/public/5bb/3e0/54d/thumb_366_1150_500_0_0_crop.jpg


Dalam Sirah Nabawiah, umum mengetahui bahawa pada rentang tahun ke-4 kenabian hingga tahun ke-13 kenabian adalah saat paling getir yang dilalui oleh Baginda SAW dan para Sahabat RA. Tahun ke-4 menandakan bermulanya dakwah yang bersifat terbuka sekaligus mendedahkan para Muslimin kepada ancaman Musyrikin Makkah.

Demografi Muslimin yang merupakan minoriti masyarakat Makkah, ramai pula dalam kalangan hamba (kelas paling bawah) dan miskin adalah pakej yang menatijahkan terorisme berlangsung.

Penyeksaan yang diterima oleh Muslimin (termasuk Baginda SAW), kutukan dan kejian, sekatan sosio-ekonomi serta ancaman bunuh dan pembunuhan adalah beberapa model terorisme yang terjadi.

Di celahan terorisme yang menimpa Muslimin ini, terdapat Musyrikin yang mulia hatinya tampil memberikan pembelaan. Bahkan sebahagian penulis Sirah seperti Al-Salabi menganggap majoriti Musyrikin Makkah merupakan simpatisan kepada Muslimin. Nama yang paling penting dipetik adalah Abu Thalib, pembela Baginda SAW (atas semangat kabilah) sejak hari pertama sehinggalah akhir hayatnya pada tahun ke-9 kenabian.

Tragedi boikot pada tahun ke-7 hingga ke-9 kenabian juga tamat atas pembelaan Hisyam bin Amru Al-Hasyimi, Zuhair Al-Makhzumi, Abu Al-Bukhturi dan Mut'im bin 'Adi. Kesemua mereka adalah tergolong dalam kalangan Musyrikin.

Sebahagian daripada Musyrikin yang membela Islam ini akhirnya memeluk Islam ketika berusaha membelanya. Antaranya kisah Dhomad Al-Azdi seorang pawang yang berusaha mengubati Nabi SAW yang dituduh gila atas niat membantunya, akhirnya beliaulah yang memeluk Islam. Juga kisah unik pengislaman Hamzah bin Abdul Muttalib yang pada awalnya semata-mata ingin membalas kejahatan Abu Jahal yang menyakiti anak saudaranya, Nabi SAW.

Apa yang boleh kita pelajari dari kisah ini?

Terorisme ke atas agama ini akhirnya mencipta ramai simpatisan dan pembelanya. Lupakah kita akhirnya seluruh Tanah Hijaz itu tunduk kepada risalah keamanan dan keadilan yang dibawa oleh Islam, berbanding paksaan dan kezaliman perpuakan yang selama ini memerintah mereka.

Untuk para Muslimin, tidak perlu prejudis dan skeptik kepada kebaikan manusia daripada siapapun ia datang, iktiraflah kebaikan mereka. Dalam masa yang sama, teruskanlah dakwah dan menyebarkan kebaikan.


Penulis:
Ustaz Khubaib Asmadi
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama-sama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY


Share:

Popular Posts

Total Pageviews