RINGKASAN KITAB: ‘ALLAL AL-FASI ‘ALIMA WA MUFAKKIRA



1. Maksud tajuk buku ini dalam Bahasa Melayu ialah ‘Allal al-Fasi: Seorang Ulama dan Pemikir.’ Penulis yang kini memegang kedudukan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad) menyiapkan buku ini pada 2011, dengan menamakan Allal al-Fasi sebagai salah seorang tokoh yang menjadi sumber inspirasi beliau dalam medan islah dan keilmuan.

2. Kata beliau, al-Fasi rahimahullah lebih dikenali sebagai tokoh negarawan dan kemerdekaan berbanding sebagai tokoh ulama, sedangkan beliau mempunyai sumbangan yang nyata dalam bidang keilmuan. Maka tujuan beliau menulis buku ini ialah untuk memperkenalkan pembaca dan dunia Islam amnya dengan al-Fasi sebagai seorang ulama umat, dan bukan hanya tokoh kemerdekaan Maghribi.

3. Buku ini bermula dengan menyebut kisah kehidupan beliau dan perjuangan beliau. Penulis menceritakan latar keadaan Maghribi yang berada di bawah penjajahan Perancis. Seterusnya diceritakan kisah kehidupan awal beliau, daripada lahir, bagaimana beliau dibesarkan dalam suasana keilmuan, hingga beliau menghafal seluruh Quran pada usia 7 tahun, dan melanjutkan pelajaran dengan pelbagai cabang ilmu agama menggunakan kitab-kitab turath yang besar. Ketika berusia 15 tahun, beliau menerbitkan syair yang disiarkan di akhbar, dan dipuji kesasteraan bahasanya, beliau mengisytiharkan yang beliau akan berjuang dan berhenti bermain-main lagi.

4. Kemudian diberikan rumusan tentang perjuangan hidup beliau, terutamanya menentang penjajah Perancis dan mengislah pemikiran warga Maghribi hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1973. Diluangkan satu subtopik khas menceritakan pengalaman (dan penderitaan) beliau dibuang negeri ke Gabon selama sepuluh tahun, dan penghijrahan beliau merentas negara-negara Afrika kerana tidak dibenarkan pulang ke Maghribi, hingga jumlah tempoh beliau berada di luar tanah air mencecah 20 tahun. Bahagian ini ditutup dengan beberapa poin pengajaran dari kisah hidup beliau bersama senarai karya yang dikeluarkan sepanjang hayat beliau.

5. Bahagian kedua menceritakan pandangan serta ijtihad-ijtihad beliau. Penulis memilih pandangan beliau dalam isu tanggungjawab para ulama, Maqasid Syariah, Maqasid Keamanan Global menurut syarak, pandangan beliau tentang poligami, keharusan wanita memegang jawatan awam (yang mengandungi tugas kepimpinan), ‘Maqasid Syariah penjajah’ (falsafah perlembagaan dan perundangan Barat—bahagian mana yang perlu ditolak dan yang mana perlu dikaji serta diambil manfaat darinya), persoalan pelaksanaan undang-undang Hudud, dan persoalan hukum mencalonkan diri untuk memegang jawatan (pilihan raya).

6. Bahagian ketiga menceritakan tentang penulisan beliau dalam bidang ilmu Syariah, bermula dengan buku beliau ‘Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarimuha’ dengan memetik dua isu yang dibincangkan buku itu, iaitu kedudukan Maqasid Syariah sebagai sumber hukum-hakam, dan Maqasid Keadilan.

7. Buku kedua yang dibincangkan ialah ‘Difa’ ‘an al-Syariah’, dengan menyebut antara persoalan yang dibangkitkan buku itu, iaitu agama ini adalah Aqidah dan peraturan, pemisahan antara agama dan negara itu tidak diterima oleh Islam, nas-nas yang jelas dan Qat’ie tentang kewajipan menjadikan Syariah sebagai neraca hukum-hakam, kedudukan perundangan sebagai cerminan nilai-nilai suatu masyarakat, dan sifat-sifat istimewa Syariah Islam.

8. Buku ketiga yang dibawakan adalah buku beliau ‘Abu Bakr Bin al-‘Arabi Fi Ahkam al-Quran, iaitu kajian beliau tentang kitab Ahkam al-Quran karangan al-Qadhi Ibn al-Arabi.

9. Buku keempat yang dibawakan beliau adalah ‘Madkhal Fi al-Nazhoriyyat al-Ammah Li Dirasat al-Fiqh al-Islami Wa Muqaranatuhu Bi al-Fiqh al-Ajnabi’ atau maksudnya ‘Pengenalan Kepada Teori Am Kajian Fiqh Islam dan Perbandingannya Dengan Fiqh Asing.’

10. Buku kelima dalam siri itu ialah ‘al-Taqrib: Syarh Mudawwanah al-Ahwal al-Syakhsiyyah’ iaitu syarah tentang undang-undang Fiqh hal ehwal individu Maghribi, yang disediakan Lujnah Fiqh Perundangan Maghribi, yang mana beliau salah seorang dari panel tersebut. Beliau turut menyebut perbincangan transisi dari Arab Jahiliyah kepada Syariah Islam dalam tulisan ini.

11. Buku keenam yang dibawakan ialah buku ‘al-Ghurrah Fi Usul al-Fiqh’.

12. Kemudian beliau membawakan buku yang ditulis oleh al-Fasi rahimahullah tentang isu Ru’yah vs perkiraan astronomi dalam menentukan awal bulan Islam. Penulis terus mengepilkan teks penuh ‘booklet’ setebal 47 muka surat itu di dalam buku ini supaya pembaca boleh membaca sendiri tulisan, pandangan dan gaya persembahan Allal al-Fasi rahimahullah.

13. Bahagian keempat dan terakhir pula memperkenalkan karya tulisan al-Fasi dalam medan pemikiran, bermula dengan buku ‘al-Naqd al-Dzati,’ buku pertama dikarang beliau, bertujuan membangunkan masyarakat Maghribi yang bergelumang dalam kemunduran untuk bangkit membebaskan diri daripada penjajahan dan memiliki nilai kekuatan sendiri sebagai satu umat yang berfikir. Beliau juga menyebut peranan agama dalam membina negara.

14. Seterusnya dibawa buku ‘Hadith al-Maghrib Fi al-Masyriq’ iaitu tentang kedudukan Maghribi dalam dunia Islam dan Arab serta kepentingannya.

15. Kemudian buku ‘Isyrafat ‘Allal al-Fasi al-Fikriyyah’, antaranya mengandungi risalah ‘Badil al-Badil’, suatu kajian ilmiah kepada tulisan Roger Garaudy tentang krisis di sebalik idea Marxisme. (Roger Garoudy memeluk Islam beberapa tahun selepas al-Fasi meninggal dunia.) Risalah lain dalam buku ini ialah ‘La Syuyu’iyyah Wa La Ra’sumaliyyah’ (Bukan Sosialisme dan Bukan Kapitalisme), ‘al-Wasail al-‘Ilmiyyah Li Ba’ts Islami’ (Jalan-jalan Ilmiah Untuk Kebangkitan Islamik), dan ‘Hal al-Islam Fi Hajah Ila Falsafah?’ (Adakah Islam Memerlukan Kepada Falsafah?).

16. Dan akhir sekali adalah buku beliau ‘al-Hurriyyah’, tentang (falsafah) kebebasan.

17. Penulis akhirnya menyimpulkan buku ini dengan beberapa ciri-ciri khusus pemikiran Allal al-Fasi sebagai seorang ulama dan pemikir.

18. Secara peribadinya, saya mengenali al-Fasi rahimahullah sebagai salah seorang penerus utama kepada Madrasah pemikiran Maqasid Ibn Asyur rahimahullah, yang mana Madrasah Maqasidi di Maghribi hari ini lahir hasil pencorakan beliau terhadap penerapan teori Maqasid Syariah ke dalam masyarakat dan isu-isu umat dan kenegaraan, maka beliau adalah tokoh yang perlu dikenali dengan lebih dekat oleh para penuntut Syariah dan islah zaman moden.

19. Mungkin boleh disebut yang impak pemikiran beliau hingga boleh dikatakan, kalaulah bukan kerana gagasan al-Fasi rahimahullah, maka tiadalah Dr Ahmed Raissouni (dan lain-lain tokoh ilmu Maqasid Syariah daripada Maghribi) seperti yang kita kenal beliau pada hari ini.

Wallahu a’lam

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews