KEZALIMAN: JENIS, KESAN, DAN LANGKAH PENCEGAHANNYA - SIRI 1




Apabila kita mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dan membacanya secara teliti, kita akan mendapati satu kalimah yang diulang-ulang. Kalimah ini menentukan jatuh bangun sesebuah ummah, malah kalimah ini bilangannya lebih banyak daripada kalimah solat dan puasa.

Allah menjadikan kalimah ini sebagai punca segala kejahatan dan dosa sehingga Allah mengaitkannya dengan kekufuran dan syirik. Kalimah itu adalah KEZALIMAN. Kalimah ini diulang sebanyak lebih daripada 300 kali dalam pelbagai jenis dan bentuk.

JENIS-JENIS KEZALIMAN

Pertama: Kezaliman terhadap Allah (Syirik)

Manusia itu menzalimi dirinya apabila dia mensyirikkan Allah dengan menyembah selainNya. Ini merupakan sebesar-besar & seburuk-buruk kezaliman. Firman Allah:

{ إن الشرك لظلم عظيم }

(Sesungguhnya syirik itu merupakan kezaliman yang besar).

Terdapat dua jenis kezaliman yg terkandung dalam amalan syirik:

1- Kezaliman manusia terhadap Tuhannya, iaitu mengambil sekutu bagi Allah yang tidak berhak dimuliakan kerana Allah sahajalah yang berhak disembah oleh manusia.

2- Kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri. Allah telah menciptakan manusia dengan penuh kemuliaan dan meletakkan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk lain. Maka manusia menzalimi diri mereka apabila mereka merendahkan diri, tunduk atau sujud kepada makhluk yg lebih rendah kemuliaannya dan kelebihannya berbanding diri mereka sendiri.

Kedua: Kezaliman terhadap harta

1- Memakan harta manusia dengan cara yang batil dan merampas hak mereka. Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan buruh dan hamba di mana mereka tiada peluang untuk membela diri dan tiada cara untuk memperjuangkan hak mereka.

2- Tidak jujur dalam perniagaan, menipu dalam harga dan timbangan.

Ketiga: Kezaliman terhadap maruah

1- Tidak menghormati maruah orang lain dan bersikap keras terhadap isteri

2- Tidak mengaku nasab dan melakukan qazaf kepada mereka yang suci

Keempat: Kezaliman terhadap kuasa

Bersikap zalim terhadap pangkat dan kedudukan iaitu mengambil kesempatan atas kedudukan dan kemuliaan seseorang sebagai jalan untuk mendapatkan jawatan yang tidak berhak utk dimilikinya. Ataupun menggunakan kedudukannya untuk menjadikan perkara yang benar sebagai salah dan perkara yang salah sebagai benar.

Maka setiap perkara yang tiada keadilan padanya, atau sesuatu yang melampaui batas atau sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan adalah zalim meskipun perkara itu kecil.

Kezaliman adalah perkara yang telah Allah haramkan pada dirinya sendiri lalu menjadikannya haram dalam kalangan hambaNya seperti mana yang terkandung dalam Hadis Qudsi yang sahih:

{يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا }

"Wahai hambaku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diriKu dan Aku jadikannya haram diantara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi"

Al-Quran juga telah mengharamkan semua bentuk kezaliman, maka kezaliman tidak boleh dilakukan terhadap mana-mana manusia tanpa mengira agama dan kepercayaan, haiwan mahupun alam.

Sesiapa yang melakukan kezaliman maka mereka berhak mendapat balasan daripada Allah seperti mana yang telah disebutkan dalam banyak hadis di mana Allah akan menjadi musuh mereka yang zalim pada hari kiamat.

Maka sesiapa yang telah bermusuh dengan Allah maka dia telah berhadapan dengan sebenar-benar musuh.

Penulis : Sheikh Dr Ali Muhyeddin Al-Qaradaghi
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://www.qaradaghi.com/Details.aspx?ID=3603
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive