MENANAMKAN KEMANUSIAAN SEBELUM MENANAMKAN AGAMA - SIRI 1


https://cdn-images-1.medium.com/max/1200/1*zZ1OMiTFjc-Sp00uHTplag.jpeg

Apabila wujudnya penghinaan daripada aspek kekuatan fizikal dan adab, maka tidak lagi diharapkan kebaikan padanya dan tidak pula berasa aman daripada keburukan. Seorang manusia yang tidak jelas (hala tuju), pasif, dan lemah tidak akan mendapat manfaat daripada agama dan agama tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Apa faedah kepada Islam, seorang manusia yang memusnahkan hidupnya, mensia-siakan kelebihannya, dan hanya hidup di atas muka bumi ini secebis daripada tanahnya, atau hanya serpihan daripada batu-batunya?

Sesungguhnya Islam tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada manusia ini. Bahkan dia akan memberi mudarat kepada Islam dan melemahkannya, kerana bekas yang kotor tetap akan kotor walaupun di dalamnya ada air yang bersih, bahkan bekas itu akan merosakkan air itu.

Begitu juga sebuah bangsa yang lemah dan malas. Mereka akan merendahkan kedudukan agama yang mereka anuti, dan menjatuhkan nilai Aqidah yang mereka pegang.

Sepertimana sesebuah agama itu tidak akan mendapat manfaat daripada penigkut yang lemah, begitu juga pengikut agama itu tidak mampu mendapat manfaat daripada agama itu, daripada manfaat warisan yang berharga hinggalah manfaat prinsip-prinsip yang bernilai. Seperti orang bodoh yang mencampakkan dirinya ke dalam perpustakaan atau orang yang sakit perut dihidangkan dengan makanan yang melimpah ruah.

Bahkan para pengikut yang bodoh, ramai daripada kalangan mereka yang meletakkan kebodohan mereka walau adanya fakta yang paling kuat. Berbanding bangkit daripada kebodohan dengan menggunakan fakta-fakta itu, mereka menarik fakta itu jatuh bersama kebodohan mereka. Oleh itu, kita mesti mengetahui hakikat ini untuk membetulkan masalah yang menyerabutkan ini.

Sesungguhnya masyarakat Islam memerlukan kesungguhan yang besar untuk meningkatkan taraf kekuatan dan nilai adabnya, sebelum mereka memahami Islam dan memperoleh kemuliaan daripadanya. Ini bermakna, mereka perlu memperbaiki aspek kemanusiaan mereka terlebih dahulu.

Sehingga apabila lahirnya manusia yang mampu berfikir tentang apa yang mereka katakan dan mengetahui kewajipan mereka, akan kami katakan kepadanya:

“Bantulah (agama) Tuhanmu dan dirimu, jika kamu inginkan kehidupan yang mulia pada hari ini dan Hari Akhirat.”

Adapun usaha-usaha orang-orang yang melakukan perubahan, sebelum mereka mengikuti langkah-langkah ini, ia hanyalah ibarat gelombang air yang mengalir di atas padang pasir, mustahil akan tumbuhnya hasil!

Dan agama ini pada hakikatnya tidaklah melainkan untuk melengkapkan jiwa manusiawi dan memperbaiki keupayaannya. Agama ini umpama akal yang menajamkan pemikiran, umpama mata yang memperelok penglihatan, umpama telinga yang memperbaiki pendengaran, dan umpama yang mencantikkan perbuatan.

Dan seseorang yang yakin kepada konsep ini, dia adalah seorang manusia yang matang dalam pemikiran, penelitian, dan membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Seorang manusia yang baik dari sudut produktiviti, pengaruh, dan perilakunya. Jika unsur-unsur ini terganggu dalam dirinya, akan terganggu juga sumber keimanan dalam hati dan jiwanya, dan akan terurai hakikat manusiawinya.

Akan sentiasa ada sekelompok manusia yang hilang iman dan kemanusiaannya, sehinggalah hadirnya al-Quran dalam hidupnya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi Allah, ialah orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun.” (Al-Anfal: 22).

Seseorang itu akan berubah menjadi seperti binatang, apabila akalnya mati dan tidak berfikir, dan apabila hilang kesedaran dirinya. Maka ketika itu dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas pendengarannya, penglihatannya, dan jiwanya, kerana tidak ada lagi baginya melainkan apa yang hanya ada pada haiwan ternakan, iaitu deria yang digunakan hanya untuk keperluan dunia semata-mata.

Contoh orang-orang begini - dengan penuh kemaafan - ialah majoriti masyarakat, yang dibutakan dengan kebodohan, dilemahkan dengan kesakitan, dihina dengan kefakiran, dan majoriti masyarakat yang bangga dengan kemajuan negara Timur, tetapi tidak selangkah maju ke depan, bahkan beberapa langkah terkebelakang. Mereka ibarat tanah, yang melunturkan semangat Islam dan membazirkan kekuatannya sebagai sebuah agama yang produktif.

Penghinaan fizikal dan adab ini, bukanlah daripada agama, bahkan bukan bayangan agama. Ia adalah kecelakaan yang lahir daripada suasana yang penuh dosa. Ia tidak dihubungkan dengan agama melainkan hanya dibuat-buat, dan agama tidak dihubungkan dengannya melainkan hanya dengan bentuk yang rosak dan penipuan yang dicipta.

Untuk kita pastikan kewujudan agama yang benar dengan pengikutnya yang mulia, maka kita mesti bersegera menghapuskan sisa-sisa kefakiran, kebodohan, dan kesakitan, dan bersegara membina generasi yang baik, yang secara fitrahnya akan memperbaiki masyarakat untuk memikul risalah yang berat ini dan menanggung bebanannya.

Bersambung…


Penulis: Shiekh Muhammad Al-Ghazali
Penterjemah: Siasah Rahmah
Sumber:
الإنسان أولا .. أو تصحيح الإنسانية قبل غرس تعاليم الدين


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Sumbangan serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan projek-projek kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews