ISLAM DAN MANUSIA - SIRI 1


1. Manusia dalam pandangan Islam adalah manusia yang dimuliakan, seperti firman Allah:

“dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam” (Al-Isra’: 70);dan

manusia adalah makhluk yang dipertanggungjawabkan di atas bumi untuk menjadi khalifah dan membangunkannya seperti mana firman Allah:

"dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat: Aku ingin menjadikan khalifah di atas muka bumi…” (Al-Baqarah: 30).

Oleh kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan dan dijadikan khalifah di muka bumi, Allah menjadikannya sebagai penghulu segala makhluk dan memberikan kelebihan kepada manusia untuk menggunakan semua makhluk yang lain, selari dengan firman Allah:

“Tidakkah kamu melihat bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan di bumi.” (Luqman: 20); dan

“dan Allah memudahkan untuk kamu segala yang ada di langit dan di bumi.” (Al-Jathiyah: 13).

Sesungguhnya Allah telah memberi nikmat kepada manusia dengan hak-hak yang pelbagai untuk membantunya menjaga kemuliaan manusiawi (karamah insaniyah) dan melaksanakan tugasnya. Allah telah memerintahkan manusia untuk menjaga kemuliaan manusiawi dan menjadikannya sebagai salah satu daripada kewajipan asasi, dengan menjadikan kebebasan beragama sebagai asas kemuliaan manusia.

Islam menunjukkan kesungguhannya dalam menjaga hak kebebasan beragama sehingga memerintahkan para muslimin berperang untuk menjaga hak itu, seperti firman Allah:

"dan perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah…” (Al-Anfal: 39).

2. Antara hak-hak kemanusiaan dalam Islam adalah mengambil berat tentang peranan akal dan menggunakannya untuk mengkaji dan berfikir. Islam menganjurkan pembinaan minda ilmiah/berilmu dan saintifik yang terbina melalui rasional dan berfikir tentang alam dan diri. Allah berfirman:

“Tidakkah mereka melihat ciptaan Allah yang ada di langit dan di bumi dan segala sesuatu yang Allah telah ciptakan…” (Al-A’raf: 185); dan

“dan mereka berfikir tentang penciptaan langit dan bumi…” (Ali Imran: 191).

Dan sesiapa yang berkata: “berfikir merupakan kewajipan Islam yang tidak menyebabkan terpesong daripada kebenaran,” ini jugalah apa yang diungkapkan dalam al-Quran:

“Katakanlah: Aku hendak memperingatkan kepada kamu satu perkara sahaja, iaitu agar kamu menghadap Allah dengan ikhlas, sama ada berdua-dua atau berseorang, kemudian agar kamu fikirkan (tentang Muhammad)…” (Saba’: 46).

Arahan untuk berfikir diulang beberapa kali dalam al-Quran:

“Tidakkah kalian berfikir?” (Al-An’aam: 50).

Begitu juga arahan untuk mengkaji dan galakan terhadapnya dalam banyak ayat al-Quran antaranya:

“Katakanlah: Lihatlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.” (Yunus: 101);

“Tidakkah mereka melihat?” (Al-Ghasyiah: 17); dan

“Apakah mereka tidak melihat?” (Qaf: 6).

Islam melarang sifat taklid membuta tuli, bersikap jumud dan hanya mengikut apa yang dibuat orang-orang terdahulu atau arahan daripada orang atasan dan pembesar. Allah berfirman:

“Dan apabila dikatakan kepada kamu: Ikutlah apa yang diturunkan Allah. Mereka berkata: Tidak, bahkan kami mengikuti apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kami. Sedangkan nenek moyang mereka tidak mengetahui apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 170).

Allah juga berfirman: “Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin dan pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami.” (Al-Ahzab: 67)

Islam melarang daripada mengikut sangkaan ketika mana perlunya kepada keyakinan. Firman Allah:

“Dan mereka tidak mempunyai apa-apa ilmu tentang perkara itu melainkan hanya mengikut sangkaan, dan sesungguh sangkaan itu tidak memberi faedah sedikit pun terhadap kebenaran.” (An-Najm: 28).

Islam juga melarang daripada mengikut hawa nafsu dan perasaan yang akan memalingkan kita daripada kebenaran:

“Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, ia akan memalingkan kamu daripada jalan Allah” (Sad: 26); dan

Allah telah mencela orang-orang musyrik kerana perbuatan ini, firmanNya:

“Tidaklah mereka mengikut melainkan hanya sangkaan dan apa yang disukai hawa nafsu, sedangkan demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk daripada tuhan mereka.” (An-Najm: 23).

Islam tidak menerima sebarang dakwaan yang tidak dikemukakan bukti yang menyokong kebenaran dakwaan tersebut, Allah berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Datangkanlah bukti kamu jika kamu daripada orang-orang yang benar.” (Al-Baqarah: 111 & An-Naml: 64).

Seperti mana Islam berpegang kepada bukti dalam penghujahan, begitu juga dalam hal-hal yang bersifat fizikal, ianya memerlukan kepada penyaksian. Firman Allah:

“Apakah mereka menyaksikan penciptaan mereka (malaikat)?” (Az-Zukhruf: 19); dan

memerlukan kepada pengesahan dalam hal berkaitan naqli (dalil-dalil), seperti firman Allah:

“Datangkan kepada aku sebuah kitab sebelum al-Quran, atau peninggalan daripada pengetahuan orang-orang terdahulu, jika kalian merupakan orang-orang yang benar.” (Al-Ahqaf: 4); dan

kepastian wahyu dalam hal-hal keagamaan. Islam memberi ancaman kepada orang-orang yang mengharamkan apa yang dihalalkan Allah daripada perkara-perkara yang baik melalui firmanNya:

“…terangkanlah kepadaku berdasarkan pengetahuan kamu jika kamu orang-orang yang benar.” (Al-An’am: 143).

Begitu juga ancaman terhadap orang-orang yang berkata bahawa kekufuran mereka berlaku kerana kehendak Allah seolah-olah Allah meredhainya, maka dikatakan kepada mereka:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah kamu mempunyai pengetahuan yang dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tidaklah kamu mengikut melainkan hanya sangkaan semata-mata dan kamu hanya mengira.” (Al-An’am: 148).

3. Islam menyeru kepada penguasaan yang tinggi terhadap ilmu, dengan menggunakan teknik-teknik pembelajaran terkini dan terjun ke dalam tabiat dan undang-undang ilmu itu. Islam menganggap bahawa berfikir itu adalah ibadat dan mempelajari setiap ilmu yang diperlukan oleh ummah adalah suatu kewajipan. Sabda Nabi:

 “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim,” dan berpaling daripada bahtera ilmu adalah satu kemungkaran dan dosa.

Islam melihat bahawa kecemerlangan ilmu dalam bidang-bidangnya sama ada secara teori, praktikal, ketamadunan, dan ketenteraan adalah kewajipan agama. Maka setiap cara yang menuju ke arah perlaksaan kewajipan ini, maka hukumnya juga wajib.

Islam tidak melihat adanya percanggahan antara akal yang sejahtera dengan dalil yang sahih. Menurut para ulama’, akal adalah asas kepada dalil. Melalui akal, ia mengesahkan wujudnya Tuhan, ia mengesahkan peristiwa kenabian secara umum, dan kenabian Muhammad secara khusus. Tidak wujud dalam peradaban Islam, percanggahan antara hakikat alam dengan perkara-perkara qati'e (tetap) dalam agama. Tidak ada perbalahan antara keduanya.

Tidak berlaku dalam sejarah ummah pertembungan antara sains dan agama, seperti yang berlaku dalam agama lain. Agama bagi kita adalah sains, dan sains bagi kita adalah agama.

Antara ciri-ciri asas ini:

Islam mengangkat tinggi sumber warisan ilmu dan menjadikannya sebagai panduan. Islam juga membezakan antara sumber ketuhanan yang maksum dan tetap - dengan jumlahnya yang sedikit - dan dengan itu dicari petunjuk dan cahaya daripadanya, dan sumber kemanusiaan yang baharu- dengan jumlahnya yang banyak - maka dijadikannya sebagai panduan dan dipilih daripadanya mana yang sesuai.

Ia ibarat rumah api (yang menjadi petunjuk) dan bukannya halangan yang menyusahkan. Islam membuka sumber-sumber warisan ilmu dan idea kepada dunia dan mencari kebijaksaan (hikmah) daripada mana-mana sumber, dan mengambil manfaat daripada praktis umat-umat terdahulu dan moden, selagi mana tidak bercanggah dengan akidah, shariah, dan nilai-nilainya.

Maka diambil ilmu itu daripada sebaik-baik sumber, tanpa taksub kepada pandangan-pandangan tradisional dan tidak pula menyembah idea-idea kontemporari. Islam tidak memutuskan hubungannya dengan masa silam, tidak mengasingkan dirinya dengan masa kini, dan juga mengambil berat tentang masa hadapan.

Sesungguhnya Islam menyokong eksperimen manusia dan ilmu sains yang telah membuahkan hasilnya dalam pelbagai bidang sama ada teori, instrumen, dan jaminannya, dan juga yang berkaitan dengan pemeliharaan hak-hak manusia dan kebebasannya. Islam mengambilnya tanpa apa-apa keterikatan, kerana hikmah adalah barang yang hilang daripada orang beriman, maka sesiapa yang menjumpainyai dia berhak mendapatkannya.

Falsafah, sistem, dan praktis yang diambil oleh orang-orang Islam mempunyai syarat iaitu mestilah tidak bercanggah dengan dalil yang sahih dan jelas kefahamannya, dan tidak bercanggah dengan prinsip syariat yang tetap.

Bahkan masyarakat Muslim perlu bersungguh-sungguh untuk menjadikan falsafah dan sistem yang diambil daripada luar ini sebahagian daripada sistem Islam sama ada dari sudut semangatnya, nilainya, dan undang-undangnya, serta mengubahnya supaya ia terkeluar daripada identiti asalnya kepada identiti Islam.

Piagam Islam,
Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad)

Penterjemah: Siasah Rahmah


Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY 
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive