HENTIKAN JUSTIFIKASI DASAR KERAJAAN DENGAN LABEL ISLAM - Kenyataan Media #5 SIASAH RAHMAH




Minggu ini kecoh dengan kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus yang menyifatkan pelaksanaan AES sebagai satu tindakan Islamik dan selari dengan salah satu Maqasid Shariah iaitu penjagaan nyawa.

AES atau nama penuhnya Sistem Penguatkuasaan Automatik mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012. Kerajaan telah melantik dua syarikat swasta, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd bagi menguruskan sistem ini dengan kontrak selama 5 tahun.

Pada Ogos 2018, kontrak tersebut tamat dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan menyambung semula kontrak dua syarikat tersebut dan sistem ini akan diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, segala saman sejak 2012 telah dihapuskan.

Langkah menamatkan kontrak dua syarikat swasta itu kemudian diberikan kepada JPJ adalah satu langkah yang baik namun masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Antaranya:

1. Kadar saman RM300 membebankan rakyat kebanyakan.

2. Pemotongan mata demerit di bawah sistem Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sebagai hukuman kedua bagi kesalahan yang sama melanggar prinsip ‘double jeopardy’ iaitu dua hukuman bagi satu kesalahan.

3. Kadar had laju yang tidak dikemaskini berdasarkan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 dan had laju yang tidak seragam menjadikan pengguna mangsa kepada pelaksanaan AES.

4. Sistem lampu isyarat yang tidak seragam yang membawa kepada rekod kesalahan palsu.

Semua isu ini adalah isu yang pernah dibangkitkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Berdasarkan perkara berikut, penggunaan label Islamik dan justifikasi berdasarkan Maqasid Shariah dilihat sangat tidak sesuai.

Siasah Rahmah ingin menasihatkan bahawa sesuatu pendirian atau tindakan politik dan kerajaan tidak perlu dinisbahkan atau dipakaikan nama 'Islam' kerana jika tindakan itu salah atau silap, ia secara tidak langsung akan mencemarkan nama Islam itu sendiri. Penjagaan imej Islam itu sendiri adalah salah satu daripada Maqasid Shariah.

Cukuplah sekadar menyenaraikan penambahbaikan sistem baru dan kelemahan sistem lama bagi menjustifikasikan tindakan masing-masing.

Siasah Rahmah menyeru semua pihak agar mengambil jalan tengah antara mereka yang berlebihan dalam menggunakan agama sebagai justifikasi dan mereka yang meninggalkan terus justifikasi agama.

Siasah Rahmah juga berharap agar penjagaan nama Islam dan Shariah bergerak seiring dengan penjagaan nama kita sebagai seorang Muslim. Jauhilah fitnah, makian, cercaan, dan adu domba dalam memberikan kritikan dan pandangan.
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive