Home »
Prinsip Asas Islam
» ISLAM AGAMA RAHMAH - SIRI 2
ISLAM AGAMA RAHMAH - SIRI 2
Rasulullah mendidik umatnya dengan penuh RAHMAH dan baginda mengaitkan iman dengan sifat RAHMAH. Sabda Baginda:
(من لا يرحم لا يُرحم)
Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi
(ارحموا من في الأرض يرحمكم من في السماء)
Bersikap rahmahlah dengan mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh yang dilangit.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لن تؤمن حتى تراحموا ، قالوا : كلنا رحيم ؟ قال : إنه ليس برحمة أحدكم صاحبه ، و لكنها رحمة
العامة ، أي رحمة جميع خلق الله تعالى
Rasulullah bersabda: Selamanya kamu belum dikatakan beriman sampai kamu memiliki sifat kasih sayang. Sahabat berkata: sesama kamikah sifat kasih sayang itu? Rasulullah bersabda: Sifat kasih sayang itu bukan hanya sesama sahabatnya saja, namun kasih sayang itu adalah kasih sayang untuk seluruh ummah iaitu kepada seluruh makhluk ciptaan Allah”.
(رحمة العامة)
'Rahmah Ammah' itu merangkumi manusia yang berbuat baik kepada kamu, juga mereka yang berbuat jahat kepadamu. Beginilah cara Rasulullah mendidik para sahabatnya yang mulia.
Pada suatu hari datang Al-Aqra’ bin Haabes kepada Rasulullah dan dia melihat baginda Rasulullah mencium Hasan dan Husain, kemudian berkata Al-Aqra’: adakah kamu mencium cucu-cucumu wahai Rasulullah? Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun daripada mereka yang pernah kucium.
Lalu Rasulullah mengatakan: “Aku tidak mampu berbuat apa-apa jikalau Allah mencabut rasa RAHMAH/sayang daripada hatimu”. Barangsiapa yang dicabut dari hatinya perasaan RAHMAH, maka dia tidak akan memperoleh kerahmatan daripada Allah.
Selepas menelusuri beberapa sorotan daripada Al-Quran dan Sirah Nabawiyyah yang menggambarkan betapa RAHMAHnya agama ini, kita beralih pula kepada ummah yang dimunculkan oleh Allah dengan kehendakNya:
(كنتم خير أمة أخرجت للناس)
“kamu ummah terbaik yang dilahirkan buat seluruh manusia”
Ummah ini bukanlah ummah yang tumbuh tanpa pemeliharaan tetapi ianya merupakan ummah yang Allah munculkan dan dibentuk selama 23 tahun oleh Rasulullah sendiri yang Allah sifatkan sebagai pemilik sebaik-baik akhlak. Ummah ini muncul bukan sekadar untuk berkhidmah kepada sesama mereka sahaja, malahan kepada seluruh ummah manusia dan menjadi contoh RAHMAH dan kasih sayang sama ada melalui hati, lisan ataupun perbuatan.
RAHMAH yang dimaksudkan Islam bukanlah sekadar perasaan kasih sayang di dalam hati, tetapi RAHMAH ini memenuhi hati dan terlihat dengan lisan dan perbuatan. Akhirnya, terhasilah satu tubuh badan yang penuh dengan sifat RAHMAH memberi khidmat kepada ummah ini, punca kepada segala kebaikan dan keberkatan.
( ليس الإيمان بالتمني ولا بالتحلي ولكن ما وقر في القلب وصدقه العمل)
''Iman itu bukanlah mimpi dan angan-angan, melainkan keyakinan di dalam hati,dan diamalkan dalam perbuatan.''
RAHMAH merupakan sifat yang praktikal yang tumbuh daripada hati, dan bagi setiap perkara itu terdapat asalnya, maka asal kepada sifat RAHMAH adalah daripada dalam hati kemudiannya dizahirkan dengan lisan dan berbuah amal.
Allah menjadikan kepada ummah ini ukhuwwah sebagai asas hubungan sesama mereka:
(إنما المؤمنون إخوة)
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara”
Maka saudara yang sebenar ialah mereka yang bersusah payah bersama kamu demi Iman, ukhuwah ini terbina atas sifat RAHMAH Rasulullah kepada kita, kemudian sifat RAHMAH terhadap diri sendiri dan seterusnya RAHMAH Allah keatas kita.
Oleh itu, Al-Quran diturunkan untuk mentarbiyah ummah ini. Ummah yang tumbuh dari kawasan padang pasir dan persekitaran yang kering, maka sudah tentu tarbiyah dan didikan yang diperlukan bagi membentuk sifat RAHMAH dalam diri mereka adalah lebih intensif.
Sesungguhnya tarbiyah ini telah berhasil, ketika mana Abu Dzar Al-Ghiffari memanggil Saidina Bilal dengan gelaran "ابن السوداء" kerana menganggapnya sesuatu perkara yang biasa, baginya tiada beza yang berkulit putih mahupun hitam, semuanya datang daripada Allah, akan tetapi Islam melarangnya kerana ianya mampu menyakiti hati yang mendengarnya.
Setelah Abu Dzar menyedari bahawa perbuatannya itu salah,beliau meletakkan pipinya di atas tanah untuk menghukum dirinya dan bersumpah bahawa tidak akan menaikkan pipi dari tanah sehingga Bilal memijaknya dengan kaki, tetapi Bilal tidak melakukannya, tetapi memaafkannya dan menciumnya dan berjabat tangan.
Bersambung...
Penulis : Sheikh Dr Ali Muhyeddin Al-Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia)
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://www.qaradaghi.com/Details.aspx?ID=3354