PEMBINAAN DAULAH SOLEHAH - SIRI 2


Dalil-dalil Wahyu

Pembinaan sebuah Negara Solehah bukanlah satu inovasi baru yang dicipta untuk menjustifikasikan dakyah dan penubuhan gerakan Islam. Sebaliknya ia termaktub di dalam dalil-dalil wahyu, bukti sejarah, dan tabiat dakwah islam yang syumul.

Berdasarkan dalil daripada Quran terdapat dua ayat yang utama. Ayat pertama daripada surah An-Nisa’ ayat 58 dan ayat kedua, ayat 59:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به، إن الله كان سميعا بصيرا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Suruhan di dalam ayat 58 ini khusus kepada para pemimpin supaya mereka menjaga amanah dan memerintah dengan penuh keadilan kerana sesungguhnya hilangnya amanah dan keadilan merupakan petanda kepada kemusnahan ummah dan kehancuran Negara. Rasulullah bersabda:

‘’Ketika hilangnya amanah maka tunggulah saat kehancuran’’ Sahabat bertanya: ‘’apa yang dimaksudkan dengan hilang itu?’’ Rasulullah bersabda lagi: “Apabila diberikan kepimpinan kepada mereka yang tidak sepatutnya maka tunggulah saat kehancuran.’’

يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم، فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya)"

Suruhan dalam ayat 59 pula adalah kepada rakyat mukminin supaya taat kepada para pemimpin dengan syarat pemimpin itu 'di antara kamu' dan ketaatan kepada pemimpin berlaku setelah ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada RasulNya. Allah juga mengarahkan supaya segala pertikaian dan masalah dirujuk kembali kepada Allah dan RasulNya maksudnya kepada Quran dan Sunnah. Suruhan-suruhan ini menunjukkan keperluan sebuah Daulah kepada orang Islam dan suruhan ini tidak mampu dilaksanakan sekiranya tidak wujud sebuah Daulah.

Berdasarkan dua ayat inilah, Sheikhul Islam Ibn Taimiyah menulis kitab:

السياسة الشرعية في إصلاح الراعي والرعية

Sekiranya kita merujuk kepada Sunnah, terdapat satu hadis di mana Rasulullah bersabda: “barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak ada baiah atas lehernya, maka ia mati dalam keadaan jahiliyah.”

Makna hadis ini menunjukkan bahawa tidak boleh memberi kesetiaan kepada pemimpin yang tidak mengikut suruhan Islam. Sekiranya tidak wujud pemimpin yang mengikut suruhan Islam maka kaum muslimin berada dalam keadaan berdosa sehingga wujud kembali sistem pemerintahan berasaskan Islam. Golongan muslimin dikira berdosa kecuali dalam dua keadaan:

Pertama: Ingkar walaupun dengan hati bahawasanya perkara yang berlaku tidak berlandaskan Shariah Islam.

Kedua: Berterusan berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam yang betul.

Selain itu, terdapat puluhan Hadis Sahih tentang urusan khalifah dan pemerintahan, sifat-sifat dan kelayakan mereka, seruan membantu dalam perkara kebaikan, nasihat ke atas mereka dan ketaatan dalam perkara yang kita suka dan tidak suka, sifat sabar kepada pemimpin, batas-batas sabar, tanggungjawab pemimpin dalam melaksanakan perintah Allah dan memelihara hak rakyat, prinsip syura, pelantikan mereka yang layak dan amanah sebagai pemimpin, seruan amar ma’ruf nahi mungkar dan banyak lagi Hadis lain berkaitan urusan Negara dan pemerintahan.

Disebabkan bilangan dalil yang banyak berkaitan urusan Negara dan pemerintahan ini maka lahirlah perbincangan mengenainya yang boleh didapati dalam kitab-kitab Akidah dan Usuluddin, kitab-kitab Fiqh, dan kitab-kitab yang ditulis khas mengenainya seperti kitab Ahkam Sultoniah karangan al-Mawardi, al-Ghiyasi karangan Imam Haramain, As-Siyasah as-Syar’iah karangan Ibn Taimiyah, Tahrir al-Ahkam karangan Ibn Jamaah, al-Kharaj karangan Abi Yusuf, al-Amwal karangan Abi A’bid dan banyak lagi.

Bukti Sejarah

Mengimbau sejarah Islam pada zaman Rasulullah bahawasanya baginda dengan seluruh tenaga dan fikiran serta dipandu dengan wahyu sentiasa berusaha untuk menegakkan Negara Solehah, sebuah Negara untuk memartabatkan misi dakwah dan sebuah Negara yang menaungi rakyatnya berlandaskan Syariah. Oleh itu, Rasulullah sentiasa bersemuka dengan kabilah-kabilah supaya mereka beriman seterusnya menjadi benteng kepada dakwah.

Akhirnya Allah mengirimkan golongan Ansar daripada kabilah Aus dan Khazraj kepada Baginda. Mereka beriman dan Islam disebarkan sehingga akhirnya seramai 73 lelaki dan 2 wanita daripada Aus dan Khazraj datang kepada Rasulullah pada musim Haji untuk memberi baiah (kesetiaan) kepada Baginda dan bersama dengan perjuangan Baginda. Hijrah ke Madinah dilakukan dengan tujuan mendirikan sebuah masyarakat Muslim dan sebuah Negara Solehah yang akan menaunginya.

Madinah menjadi sebuah Negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah, pemimpin umat Islam, Imam mereka, Nabi dan utusan Allah kepada umat. Ketika itu, bernaung dan bergabung di bawah Negara Madinah merupakan satu kewajipan kepada mereka yang memeluk Islam dengan firman Allah:

والذين آمنوا ولم يهاجروا ما لكم من ولا يتهم من شيء حتى يهاجروا

“Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah.” (Al-Anfal:72)

فلا تتخذوا منهم أولياء حتى يهاجروا في سبيل الله

“Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam).” (An-Nisa:89)

Al-Quran memberi amaran keras kepada mereka yang masih bertangguh untuk berhijrah dan kekal dalam Negara Kufur dan Negara Musuh:

إن الذين توفآهم الملائكة ظالمي أنفسهم قالوا فيم كنتم قالوا كنا مستضعفين في الأرض، قالوا ألم تكن أرض الله واسعة فتهاجروا فيها فأولئك مأواهم جهنم، وساءت مصيرا

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". Mereka menjawab: " kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)". Para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali, (An-Nisa:97)

إلا المستضعفين من الرجال والنساء والولدان لا يستطيعون حيلة ولا يهتدون سبيلا

“kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah)” (An-Nisa:98)

فأولئك عسى الله أن يعفو عنهم، وكان الله عفوا غفورا

“mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (An-Nisa:99)

Peristiwa lain adalah apabila Rasullah wafat, perkara pertama yang disibukkan oleh para Sahabat adalah urusan pemilihan pemimpin sehingga perkara itu lebih diutamakan daripada urusan pengkebumian Baginda. Akhirnya, mereka memberi baiah kepada Saidina Abu Bakar. Perkara ini juga berlaku di zaman-zaman seterusnya sehingga menjadi ijma’ dalam kalangan Sahabat dan Tabi’in berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan. Para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi pelantikan seorang pemimpin yang merupakan simbol utama bagi sebuah Negara Islam.

Umat Islam berdasarkan sejarah mereka tidak pernah memisahkan Agama dan Negara kecuali setelah munculnya fahaman sekularisme pada zaman ini. Perkara ini telah diingatkan oleh Rasulullah dalam hadisnya daripada Muaz bin Jabal:

Ingatlah sesungguhnya roda Islam akan selalu berputar, maka berputarlah kalian semua bersama Islam kemanapun Islam berputar. Ingatlah, sesungguhnya Al-Kitab/Al-Quran (agama) dan kekuasaan (negara) akan terpisah, maka (jika hal itu terjadi) janganlah kamu berpisah dari Al-Kitab (Al Quran). Ingatlah sesungguhnya akan datang pada kalian para pemerintah yang memutuskan perkara untuk mereka dan tidak pernah memerhatikan hak kalian. Bila kalian mendurhakai mereka, mereka akan membunuh kalian dan kalau kalian taat pada mereka, mereka akan menyesatkan kalian. Para Sahabat bertanya: Apa yang harus kami lakukan wahai Rasulullah? Nabi menjawab: seperti yang dilakukan pengikut-pengikut Isa bin Maryam, dibelah dengan gergaji dan disalib pada kayu-kayu. Mati mempertahankan ketaatan kepada Allah lebih baik daripada hidup mendurhakai Allah.(HR Thabrani)

Bersambung...

Penulis : Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : https://www.al-qaradawi.net/node/2855
Share:

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive