Hari ini, umat kita mempunyai banyak
kelebihan, tetapi Islam seolah-olahnya tidak ada kesan dan makna lagi dalam
kehidupan majoriti penganutnya. Mereka solat tetapi solat tidak mencegahnya
daripada perbuatan yang keji. Mereka membayar zakat tetapi dalam masa yang sama
mencari fatwa-fatwa untuk mengelak daripada membayarnya dan ingin memperdayakan
Allah, sedangkan Allah ta’ala telah berfirman: “dan orang-orang yang pada harta
mereka itu, ada hak-hak (asnaf) yang diketahui.” (Al-Ma’arij: 24), bagaimana
mungkin untuk mengelak daripada sistem zakat yang utuh ini? Sekiranya orang-orang
Arab yang miskin yang tinggal di padang pasir itu mempunyai lima ekor unta,
maka wajib ke atasnya zakat menurut ijma’ ulama’, dan untuk 40 ekor kambing
juga perlu mengeluarkan zakat. Islam bukanlah begini. Demi Allah, kamu tidak
akan dapat menyembunyikan daripada Allah sedikit pun, dan mustahil untuk kita
menghalalkan sesuatu yang diharamkan dan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan dengan
cara tipu daya dan helah. Allah telah melaknat bangsa Yahudi kerana mereka cuba
memperdayakan Allah dengan tipu helah.
Saudaraku yang mulia,
Aku telah mengkaji abad kelima dan
ketujuh hijrah ketika mana era penjajahan tentera salib, dan aku tidak
mendapati adanya suasana musibah seperti suasana yang kita lalui pada hari ini,
kerana musuh-musuh pada zaman dahulu adalah berbentuk musuh luaran, sedangkan
pada hari ini masalahnya adalah dalaman.
Hari ini kita membaca ayat-ayat
al-Quran bertemakan Rahmah, seperti mana yang dibaca oleh orang-orang
terdahulu. Tetapi adakah hati kita berasa kasihan akan saudara-saudara kita
di kem-kem pelarian yang kelaparan dan
mati kerana kesejukan yang melampau serta ditimpa salji yang lebat yang mungkin
tidak pernah disaksikan sejak 30 tahun yang lalu.
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam
bersabda: “Tiada daripada
penduduk sesuatu tempat yang kematian orang sekelilingnya kerana lapar kecuali
mereka akan terlepas daripada perlindungan Allah dan RasulNya”
Maka bagaimana kita akan dihisab di hadapan Allah dan apakah
jawapan kita terhadap setiap peristiwa yang berlaku di Syria dan Palestin, dan
saudara-saudara kita di Gaza yang berada dalam keadaan yang doif dan begitu
juga di al-Quds, dan bandar Ramadi di Iraq yang telah hancur bandar mereka. Kemasukan
Daesh ke bandar-bandar ahli sunnah satu persatu untuk menghancurkannya,
kemudian keluar untuk meneruskan misi memusnahkan bandar-bandar ini dengan
menggunakan tentera militan mereka. Dan apa yang akan terjadi kepada Mosul setelah
habisnya kemusnahan ini, sedangkan sudah 4 juta orang terkorban?
Wilayah Kurdistan adalah tempat perpindahan bagi pelarian ini,
tetapi di sana mempunyai masalah kelewatan membayar gaji sehingga menyebabkan
ramai yang mati dalam keadaan miskin. Dan sesungguhnya, kemiskinan sangat
berleluasa dalam negara umat Islam seperti di penduduk Yaman yang mati kerana
kelaparan. Aku menyeru kalian untuk membantu mereka ini. Aku tidak bermaksud
ingin menyeru kalian memberikan seluruh harta kalian seperti mana yang
dilakukan oleh Abu Bakar, tetapi kita mesti menggembleng tenaga dan usaha
sehingga apabila kita ditanya di hadapan Tuhan semesta alam, kita mempunyai
jawapan.
Rahmah bukan semata-mata perkataan yang dituturkan, tetapi ia
adalah perasaan hakiki di dalam hati yang mampu mengalirkan air mata, yang menggerakkan
lidah untuk menuturkan kata-kata yang benar dan menggerakkan anggota tubuh
untuk melindungi dan merealisasikan nilai rahmah, serta menggerakkan manusia
bagi membantu saudara-saudaranya dengan harta mereka.
Tidak mungkin aku mampu berbicara tentang keadaan di kem-kem
pelarian di Syria, Iraq, dan Palestin. Kalian telah menyaksikan jenayah-jenayah
yang telah merobek nilai kemanusiaan di Madaya (Syria). Semoga Allah menghancurkan
rejim yang telah membunuh rakyatnya. Semoga Allah menghancurkan militan-militan
bigotri yang hina ini yang telah mengepung
penduduk yang tidak bersalah. Semoga Allah menghancurkan setiap individu yang
menyumbang dan membantu mereka yang zalim. Allah taala berfirman: “Dan
janganlah kamu cenderung ke arah orang-orang yang berbuat zalim, kerana dengan
itu kalian akan dibakar api neraka.” (Hud: 113)
Di mana kemanusiaan? Di mana suara hati ummah Islamiyyah? Di mana Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu? Di mana Liga Arab? Di mana Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC)? Setiap daripada kalangan mereka hanya sibuk dengan pergaduhan dalaman
dan perebutan puak-puak yang hanya akan menguntungkan musuh-musuh. Dan setiap
individu dipertanggungjawabkan di hadapan Allah mengikut kemampuannya. Oleh
itu, aku menasihati kalian untuk membawa nilai rahmah sehingga Allah merahmati
kita semua, kerana siapa yang tidak bersikap rahmah tidak akan dirahmati.
Sekiranya Nabi sallallahu alaihi wasallam berasa risau melihat anak burung
pipit diambil, maka bagaimana pula dengan kalian apabila melihat mereka dan
anak-anak kecil yang seolah-olahnya hidup di dalam kubur? Maka harapanku, agar
setiap orang berfikir bagaimana untuk merealisasikan nilai rahmah yang Allah
telah jadikannya sebahagian daripada syarat keimanan kita.