PROSES ISLAH (REFORMASI) DENGAN ISLAM



Pada abad ke-19, ketika era penjajahan, teori-teori pemodenan barat telah dibawa ke dunia Islam; iaitu falsafah materialisme dan kebendaan, sekularisme, darwinisme, dan pelbagai lagi. Lalu bermulalah teori-teori ini menjadi saingan terhadap sumber rujukan Islam dalam kemajuan dan kemodenan.

Imam Muhammad Abduh (1266 – 1323H, 1849 – 1905M) telah mengasaskan sekolah pemikiran yang menyeru ke arah projek islah dan pembaharuan dengan menjadikan Islam sebagai manhaj dan jalan dalam menuju kemajuan dan kemodenan, sebuah seruan pembaharuan yang mengeluarkan minda Muslim daripada kongkongan tradisi lama dan pemikiran pendatang barat.

Beliau telah mengkritik para Islamis yang ‘berpindah’ dari zaman moden ke zaman warisan lama, dan juga orang-orang yang hanya mengambil nas-nas secara zahir tanpa memahami sebab dan hikmah diturunkan nas-nas tersebut. Beliau menyifatkan mereka sebagai golongan yang tidak punya ilmu dan golongan yang tidak bertamadun.

Imam Muhammad Abduh juga mengkritik ketamadunan barat yang bersifat materialistik, yang mana penduduknya hebat dalam menyingkapi ‘rahsia-rahsia’ kebendaan, tetapi gagal dalam menyingkapi fitrah beragama yang merupakan jalan kebahagiaan manusia.

Beliau juga mengkritik sekularisme, yang memisahkan agama dengan politik, negara, dan undang-undang. Beliau menegaskan bahasa Islam tidak berlepas tangan terhadap urusan kerajaan, bahkan Islam mempertanggungjawabkan kerajaan ke atas amanah harta dan kerja-kerjanya, kerana agama dan syariat Islam adalah pelengkap kepada manusia, keharmonian kepada rumah tangga, dan sistem kepada pemerintahan. Islam menjadi kelebihan buat bangsa-bangsa yang menganutnya berbanding bangsa lain.

Beliau mengatakan bahawa segala hukum-hukum Islam bersifat sivil (bertamadun) dari semua sudut. Pemimpinnya pula dipilih oleh rakyat, merekalah yang menjadi pengawal terhadap tindak tanduk pemimpin mereka. Mereka juga yang akan melucutkan jawatannya sekiranya langkah itu membawa kebaikan kepada ummah. Manakala yang menjadi asas kekuasaan agama, adalah konsep ketuhanan, yang merupakan antara prinsip-prinsip Islam.

Imam Muhammad Abduh menyentuh juga tentang konsep keterbukaan dan kerjasama dengan orang lain, bahawa konsep ini tidaklah bermakna mengenepikan prinsip-prinsip yang tetap, bahkan menjelaskan lagi bahawa kemajuan dan kemodenan tidak dapat dicapai melainkan dengan Islam. Beliau berkata: “Sesungguhnya rakyat Mesir merupakan bangsa yang cerdik. Jelas lahir daripada mereka keperibadian yang lembut dan mudah menerima orang lain. Tetapi mereka menjaga kaedah semula jadi, bahawa benih tidak akan tumbuh melainkan jika benih itu disuburkan dengan unsur-unsur tanah, dan bernafas dengan udaranya, jika tidak, nescaya benih itu akan mati, bukan kerana kualiti tanahnya, bukan juga kerana kualiti benihnya, tetapi kerana kesilapan petani itu sendiri.”

Jiwa-jiwa bangsa Mesir menerima agama sehingga ianya menjadi sesuatu yang semulajadi di dalam jiwa mereka. Maka sesiapa yang menuntut pembaharuan bangsa Mesir bukan melalui jalan agama, ibaratnya dia telah menanam benih yang tidak sesuai dengan tanah itu, lalu ianya tidak tumbuh dan membawa kegagalan.

Sesungguhnya, bagi para pendukung Islah, mereka tidak boleh lari daripada jalan agama ini. Kerana bahawasanya memperjuangkannya melalui jalan adab dan hikmah tanpa disuluh dengan suluhan agama akan membawa kepada pembinaan yang tidak punya bahan-bahan mentah, begitu juga para pekerjanya yang tidak punya apa-apa.

Jika agama itu bertanggungjawab dalam membentuk akhlak, memperbaiki amal, dan membawa jiwa manusia mencapai kebahagian bagi penganut agama ini yang berpegang teguh dengannya dan tidak kepada selainnya, serta dia berada di samping mereka. Bebanan dalam mengembalikan mereka kepada agama lebih mudah tugasnya berbanding mengadakan sesuatu yang baru di luar kebiasaan mereka. Maka mengapa perlu mencari yang lain sebagai pengganti?

Dan contoh yang paling jelas kesan didikan daripada ajaran Muhammad Ali (1184 – 1265H, 1805 – 1849M) yang dapat dilihat sehingga kini. Orang-orang yang mengambil ajarannya tidaklah bertambah apa-apa melainkan keburukan. Walaupun mereka mempunyai sedikit pengetahuan, namun ianya tidak berpijak di atas perkara asas dalam agama lalu tidak membawa apa-apa kesan dalam jiwa mereka.

Begitulah projek pembaharuan ini menyeru ke arah kebangkitan Islam serta mengkritik golongan-golongan jumud yang terkongkong dengan tradisi lama, juga golongan-golongan yang mengikut Barat. Projek ini menegaskan bahawa kemajuan dan kebangkitan sebenar hanya akan berlaku dengan pembaharuan (kefahaman) terhadap Islam.

Penulis : Dr Muhammad Imarah
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber: Kitab Al-Islah bi Al-Islam karangan Dr Muhammad Imarah
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive