ISLAM DAN MANUSIA - SIRI 2



Sambungan...

4. Antara hak manusia dalam Islam adalah menjaga kesihatan badan, emosi, dan akal. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya badanmu mempunyai hak ke atas kamu.”

Dan antara hak badan ke atas pemiliknya ialah pemilik badan perlu makan apabila lapar, berehat apabila penat, membersihkan diri apabila kotor, memperkuat dirinya apabila lemah, dan mengambil ubat tatkala sakit. Allah tidak akan mendatangkan penyakit melainkan adanya penawar. Allah akan mengajarkannya kepada siapa yang belajar dan mengekalkan seseorang dalam kejahilan bagi siapa yang ingin kekal dalam kejahilan.

Islam menetapkan sunnatullah dalam hal-hal penyakit dan mewajibkan manusia untuk mengambil penyembuh daripada serum dan vaksin. Islam juga mewajibkan penjagaan daripada penyakit-penyakit biasa dan yang berjangkit, mewajibkan kuarantin ketika berlaku epidemik demi menjaga kesihatan masyarakat awam.

Islam mewajibkan penjagaan kesihatan secara menyeluruh, terutama terhadap ibu-ibu dan kanak-kanak. Islam menetapkan hak setiap pekerja untuk mendapatkan rehat yang cukup, hak setiap pesakit untuk mendapatkan rawatan, dan menjaga hak-hak orang-orang tua dan orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang memerlukan bantuan khas.

Islam menjaga aspek kesihatan dengan menetapkan hukum-hukum Shariah, panduan-panduan keagamaan dan etika, yang perlu dilaksanakan oleh para doktor Muslim dan semua yang terlibat secara langsung dalam hal-hal berkaitan perubatan.

Islam menggalakkan pendidikan jasmani dan menjadikannya sebagai wahana (wasilah) dan bukan tujuan (ghayah). Ia mampu menjadikan tubuh badan supaya menjadi fleksibel, kuat, dan gagah. Mukmin yang kuat lebih Allah cintai berbanding mukmin yang lemah.

Islam menyeru ke arah bekalan makanan yang cukup dan baik kepada semua manusia, terutama kepada golongan yang miskin yang dianggap sebagai golongan yang wajib diberi makan dan mengabaikan mereka adalah salah satu daripada tanda-tanda pendustaan terhadap agama seperti firman Allah: “

Tahukah engkau akan orang-orang yang mendustakan agama? Mereka ialah orang-orang yang menindas anak yatim. Dan tidak menggalakkan pemberian makanan kepada orang-orang miskin.” (Al-Ma’un: 1-3).

Islam merupakan agama yang memerangi perbuatan zina, kelakuan seksual, dan semua jalan yang menuju ke arahnya, seperti mengambil minuman yang memabukkan, dadah, dan rokok serta semua racun yang memudaratkan tubuh, jiwa, dan akal.

Islam meletakkan prinsip: “Tidak mudarat dan tidak memudaratkan.” Maka, tidak boleh bagi seorang Muslim menimpakan ke atas dirinya mudarat, sama ada secara mengejut atau berperingkat. Allah berfirman:

“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 29).

Muslim juga tidak dibenarkan untuk memudaratkan dirinya dengan lapar yang berpanjangan secara sengaja mahupun kenyang secara berlebihan. Dalam Shariah Islam, mengambil makanan yang harus diikat dengan syarat iaitu tidak berlebih-lebihan seperti firman Allah:

“Makan dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf: 31).

5. Islam melalui seruan keagamaan, kempen, dan perundangan sentiasa menyeru ke arah penjagaan alam sekitar dalam segenap aspeknya dan melarang merosakkannya dalam apa jua bentuknya, sama ada dengan memusnahkannya mahupun mengabaikannya. Islam menganggap ianya termasuk dalam merosakkan bumi yang telah dilarang oleh semua kitab-kitab samawi dan ditegaskan lagi oleh al-Quran:

“Dan janganlah kalian merosakkan bumi selepas Allah telah menyediakan segala kebaikan padanya.” (Al-A’raf: 56).

Allah berfirman lagi:

“Dan Allah tidak suka perbuatan fasad (merosakkan).” (Al-Baqarah: 205).

Penjagaan alam sekitar dalam Islam berdiri di atas beberapa paksi, antaranya:

• Penghutanan semula dan penghijauan. Hadis Nabi cukup untuk mengingatkan kita tentang perkara ini:

“Jika datangnya hari Kiamat sedangkan ditangan kamu ada benih dan mampu ditanam sebelum tibanya kiamat, maka hendaklah kamu menanamnya.”

Hadis lain menyebutkan: “Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman lalu hasilnya dimakan oleh burung atau manusia atau haiwan liar, melainkan baginya pahala sedekah.”

• Pembangunan dan pelaburan, firman Allah:

“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menyuruh kamu membangunkannya.” (Hud: 61).

Ayat ini memerintahkan manusia agar membangunkan bumi. Pembangunan merupakan antara Maqasid hamba iaitu sebahagian daripada ibadah.

• Kebersihan dan penyucian. Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang sentiasa membersihkan diri.” (Al-Baqarah: 222).

Kerana itu, Islam menjadikan kebersihan – zahir dan batin – sebagai syarat sah solat. Islam juga menyeru ke arah kebersihan diri, rumah, jalan raya, masjid, dan lain-lain.

• Penjagaan sumber-sumber alam. Islam menganggapnya sebahagian daripada nikmat-nikmat Allah kepada manusia dan mereka wajib menjaganya serta berterima kasih kepada Allah. Jika mereka menjaganya dan bersyukur, maka mereka berhak mendapatkan pelbagai lagi nikmat-nikmat lain. Allah berfirman:

"Jika kamu bersyukur, maka pasti Aku akan menambahkannya (nikmat).” (Ibrahim: 7).

Sumber-sumber alam ini termasuklah: Kepelbagaian haiwan, kekayaan tumbuh-tumbuhan, sumber air daripada lautan dan sungai, kekayaan hasil mineral, dan lain-lain nikmat. Maka tidak seharusnya sumber-sumber ini dibazirkan, disia-siakan, atau dicerobohi. Kerana pencerobohan itu melibatkan harta seluruh manusia dan pencerobohan ke atas hak mereka untuk memperolehinya.

Hadis-hadis memberi amaran terhadap perbuatan membunuh burung tanpa sebab, menebang pokok Sidr, membiarkan kulit mayat haiwan tanpa dibersihkan dan dimanfaatkan, dan meninggalkan makanan yang terjatuh ke tanah, maka bersihkanlah ia dan makanlah serta jangan biarkan ia dimakan oleh syaitan.

• Berlaku Ihsan terhadap alam sekitar. Allah telah menetapkan sifat Ihsan kepada semua perkara dan Dia memerintahkan untuk berlaku adil dan Ihsan. Berlaku ihsan terhadap alam sekitar meliputi semua perkara yang ada padanya seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bumi dan tanah, air yang daripadanya dijadikan semua kehidupan, udara yang digunakan untuk bernafas, dan seluruh kehidupan yang ada. Sesiapa yang berlaku Ihsan dengan sebaik-baiknya, maka dia akan menjadi orang yang Allah cintai seperti firman Allah:

“Dan berlaku ihsanlah, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.” (Al-Baqarah: 195).

• Memelihara alam sekitar daripada dihancurkan, sama ada kehancuran itu disebabkan keganasan, atau marah, atau mensia-siakannya, atau mengabaikannya. Hadis Nabi:

“Sesiapa yang menebang pokok Sidr, maka Allah akan mengadapkan kepalanya ke api neraka.”

• Menjaga keseimbangan alam sekitar. Allah telah menciptakan alam ini dengan kadarnya dan menetapkan kadar bagi setiap sesuatu. Tidak ada satu pun di alam ini melainkan adanya kadar dan Mizannya. Allah berfirman:

“Dan tidak ada suatu pun melainkan di sisi Kami lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.” (Al-Hijr: 21).

Di sana adanya Mizan alam yang diketahui oleh orang-orang yang berilmu, Mizan yang tidak akan senget, tetapi perbuatan manusia yang melampau akan menjadikan Mizan itu senget. Allah berfirman:

“Dan dijadikan langit itu tinggi serta diadakan padanya Mizan (neraca dan aturan). Supaya kamu tidak melampaui batas dalam neraca itu. Dan tegakkanlah neraca itu dengan adil dan jangan kamu mengurangi neraca itu.” (Ar-Rahman: 7-9). 

Akan berlaku kehilangan sumber-sumber alam apabila ia digunakan bukan pada tempatnya, atau penyelewengan dan pembaziran dalam menggunakannya.

Akhir sekali, akan berlaku ketidakseimbangan alam sekitar, yang kini telah menjadi ancaman kepada alam sekiranya sebahagian manusia berterusan menyalahgunakan sumber-sumber alam ini.

Piagam Islam,
Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Ittihad)

Penterjemah: Siasah Rahmah


Islam dan Kemanusiaan Siri 1

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/


Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY 
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive