PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 5



Kedua : Analisa Politik Mengenai Situasi di Saqifah Bani Saadah

4. Kisah Saidina Abu Bakar Berurusan dengan Para Sahabat dan Kemampuannya Meyakinkan Hati Mereka.

Abu Bakar mampu menyentuh jiwa-jiwa Ansar dan meyakinkan mereka tentang apa yang dirasakannya benar, untuk mengelakkan berlakunya fitnah ke atas kaum muslimin. Maka beliau memuji Ansar dengan menjelaskan kelebihan-kelebihan mereka seperti yang tercatat dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pujian kepada orang yang berbeza pendapat merupakan suatu kaedah dan pendekatan islami untuk memberi kesedaran, meredakan kemarahan, dan menghilangkan sifat ego dan pentingkan diri sendiri supaya bersedia untuk menerima kebenaran setelah dijelaskan.

Banyak contoh daripada kisah Rasulullah yang melakukan hal yang sama. Kemudian, Abu Bakar menyambung, walaupun mereka merupakan kaum yang sangat banyak kelebihan tetapi tidak bermakna mereka lebih berhak untuk menggalas tugasan khalifah, kerana Rasulullah telah menyebutkan bahawa Muhajirin daripada Quraisy lebih diutamakan untuk memegang tanggungjawab ini.

Ibn al-‘Arabi al-Maliki telah menyebutkan bahawa Abu Bakar berpendapat bahawa khalifah mestilah daripada Quraisy berdasarkan wasiat Rasulullah tentang Ansar dengan kebaikan, supaya Quraisy menerima kelebihan mereka dan menjauhkan daripada keburukan mereka. Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya Allah telah berkata menamakan kami dengan gelaran ‘as-siddiqin’ (orang-orang yang benar) dan menamakan kamu dengan gelaran ‘al-muflihin’ (orang-orang yang berjaya) berdasarkan Surah al-Hasyr ayat 8-9:

“(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Dan Allah telah memerintahkan kepada kalian untuk bersama dengan kami seperti firman-Nya dalam Surah at-Taubah ayat 119:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan bersama-samalah kamu dengan orang-orang yang benar.”

Abu Bakar juga memberikan pendapat dan dalil-dalil yang kuat menyebabkan kaum Ansar sedar dan percaya kepada beliau.

Abu Bakar menjelaskan bahawa keahlian sesuatu kaum untuk dicalonkan sebagai khalifah mestilah daripada golongan yang diiktiraf bangsa Arab untuk memimpin dan menguruskan urusan mereka supaya tidak berlaku fitnah. Dan memang jelas, bahawa bangsa Arab tidak mengiktiraf siapa-siapa melainkan kaum Muslimin daripada Quraisy kerana Rasulullah daripada mereka. Di samping itu, bangsa Arab menyanjung tinggi dan memuliakan kaum Quraisy. Abu Bakar juga menenangkan kaum Ansar dengan mengatakan bahawa mereka akan menjadi menteri-menteri tertentu dan tentera-tentera yang ikhlas, sepertimana di zaman Rasulullah. Dengan itu, bersatulah barisan-barisan kaum Muslimin.

5. Persaingan antara Calon-Calon Khalifah

Abu Bakar telah mencalonkan dua orang iaitu Umar Al-Khattab dan Abu Ubaidah Al-Jarrah. Ini kerana, Umar merupakan salah seorang daripada perawi-perawi hadis Nabi Rasulullah manakala Abu Ubaidah merupakan sahabat yang disebutkan dengan kata-kata baginda: “Bagi setiap umat itu ada Amin (orang yang paling dipercayai), dan Amin bagi umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.”

Selepas itu, muncul calon baru daripada Ansar iaitu Al-Habbab ibn Al-Munzir yang telah mencalonkan diri sendiri serta mendakwa bahawa beliau merupakan orang yang dikenali sebagai ‘orang yang banyak memberi pandangan’. Maka beliau membuat kempen di hadapan semua sahabat, bahawa beliau merupakan orang yang banyak memberikan idea dan pandangan, yang suka memberi, dan seorang yang mulia. Beliau berkata: “Akulah orang yang layak memikul tanggungjawab yang berat ini.” Beliau juga telah mengemukakan pendapat baru dengan berkata: “daripada kami seorang ketua dan daripada kalian seorang ketua.” Tetapi idea ini ditolak kerana bertentangan dengan asas politik Islam yang telah jelas sejak mula lagi, iaitu hanya ada seorang pemimpin sahaja dalam sistem pemerintahan.

Lalu Umar menerangkan bahawa melantik dua orang sebagai pemimpin, seolahnya meletakkan satu kuasa untuk melawan satu kuasa yang lain, yang mana akan membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan. Umar berkata lagi: “Mustahil untuk melantik dua orang pemimpin dalam satu masa. Mana mungkin dua pedang disimpan dalam satu sarung.” Selepas perbincangan, pelbagai sudut pandang disatukan dan akhirnya tampuk kepimpinan diberikan kepada orang yang layak.

Penulis : Sheikh Muhammad Ali as-Salabi

Penterjemah : Siasah Rahmah - SR

Sumber : https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233.56019.185412838158455/1347053435327717/?type=3
Share:

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive