PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 3





Kedua : Analisa Politik Mengenai Situasi di Saqifah Bani Saadah

2. Risiko perpecahan politik kepada entiti negara Madinah:

Ketika mana golongan Muhajirin mengetahui bahawa golongan Ansar sedang berkumpul di Saqifah Bani Saadah, mereka bimbang risiko berlakunya perpecahan dalam kalangan warga Madinah, merobek kesatuan mereka, dan akhirnya membahayakan entiti negara Madinah itu sendiri.

Boleh sahaja bagi Muhajirin untuk mengadakan perhimpunan sendiri dan membentuk kesatuan sesama mereka tanpa melibatkan golongan Ansar, tetapi dengan kebijaksanaan politik dan fikiran mereka (Muhajirin) juga kebijaksanaan Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah, mereka ingin bersama-sama dengan saudara mereka (dari golongan Ansar) dalam menyelesaikan masalah perlantikan khalifah ini dengan bijak dan proses tadbir urus yang baik.

Ini merupakan keputusan yang bijaksana daripada mereka, Umar ibn al-Khattab berkata: "aku berkata kepada Abu Bakar: Mari kita pergi kepada saudara-saudara kita dari Ansar, dan apabila timbul cadangan untuk membuat keputusan dahulu tanpa melibatkan Ansar, Umar bertegas: "Demi Allah, kita akan pergi kepada mereka dahulu". Ini kerana kepentingan ummah dan negara mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain dan Shura sangat dituntut dalam waktu begini.

Sesungguhnya pemimpin-pemimpin Muhajirin berhadapan dengan situasi ini dengan tindakan yang cerdas, politik yang bijaksana dan pengurusan risiko yang baik. Mereka mendatangi Ansar bagi berbincang dan bernegosiasi. Akhirnya, membawa kepada satu natijah bahawa Muhajirin dan Ansar sebulat suara bersetuju memilih Abu Bakar sebagai pemimpin negara.

Andai mereka (Muhajirin) tidak hadir ke sana maka pastinya akan berlaku salah satu daripada dua perkara sebagaimana yang dinyatakan Umar; "Kami risau jika kami membeza-bezakan sesebuah pihak, sehingga bai'ah yang berlaku selepas kami tidak lagi melantik seseorang daripada mereka (Ansar)."

-Sama ada kami berbai'ah kepada mereka keatas perkara yang tidak kami persetujui

-Atau kami menentang (bai'ah) mereka lantas berlakulah kefasadan

Penulis : Sheikh Muhammad Ali as-Salabi

Penterjemah : Siasah Rahmah - SR

Sumber : https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233.56019.185412838158455/1347053435327717/?type=3
Share:

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive