PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 1



Antara perkara yang diketahui melalui pengkajian sirah adalah Rasulullah S.A.W. tidak menetapkan bagi kaum muslimin pengganti yang akan menguruskan hal ehwal negara selepas kewafatannya, malah baginda tidak menetapkan kaedah bagi menentukan pemimpin muslimin selepas baginda, tetapi baginda menggariskan kaedah-kaedah umum yang perlu dipelihara oleh pemimpin dalam pemerintahan dan digambarkan sendiri oleh baginda dalam perjalanan hidupnya sama ada melalui perbuatan mahupun tutur kata yang merupakan contoh tauladan agung yang perlu dipegang tidak kira oleh pemimpin mahupun orang yang dipimpin. Sesungguhnya Islam membuka ruang ijtihad seluasnya selagi mana ianya memelihara unsur-unsur yg thabit (tetap) dan bertepatan dgn prinsip-prinsip umum Islam tanpa mengabaikan faktor tempat dan zaman, peralihan generasi, perubahan sosial dan ekonomi, dan selainnya yang mempengaruhi sistem politik dan memberi kesan kepadanya.

Oleh itu, baginda Nabi Muhammad meninggalkan urusan memilih pemerintah dan sistem pemerintahan kepada rakyat bagi membuat keputusan mengikut kepentingan mereka sendiri bersesuaian dengan tuntutan masa, tempat, dan keadaan yang berubah-ubah keperluannya, juga tidak terikat kecuali dengan kaedah-kaedah umum perundangan Islam dan prinsip serta akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang pemerintahannya di Madinah, sejak tertubuhnya negara Islam pertama hingga baginda meninggal dunia.

Melihat kepada sisi ini, Islam mengiktiraf kehendak ummah dalam penentuan cara memilih pemimpinnya serta sistem yang mahu diterapkan, selagi mana ianya memelihara Maqasid as-Syariah membuktikan bahawa syariat Islam ini fleksibel dan sesuai dengan kehendak masa dan tempat.

Pertama: Peralihan Kuasa Pemerintahan Kepada Saidina Abu Bakar Secara Aman

Apabila berita kewafatan Rasulullah telah tersebar dalam kalangan sahabat, golongan Ansar telah berkumpul di Saqifah Bani Saadah pada hari tersebut iaitu hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun Kesebelas Hijrah. Perbincangan telah berlaku untuk memilih calon yang paling layak menggantikan Rasulullah sebagai khalifah dan berada di tengah-tengah perkumpulan mereka adalah Ketua kaum Khazraj, Sa’ad bin Ubadah.

Berita perkumpulan ini sampai kepada golongan Muhajirin yang pada masa yang sama turut berkumpul untuk memberi bai'ah kepada Saidina Abu Bakar sebagai khalifah, maka ada antara mereka berkata: “Kita harus bertemu saudara-saudara kita daripada golongan Ansar kerana mereka juga ada hak dalam menentukan khalifah”.

Saidina Umar menurut riwayat telah berkata: "Maka kami bergerak menuju ke tempat perkumpulan Ansar dan dalam perjalanan, kami telah bertemu dengan dua lelaki daripada Ansar. Mereka menceritakan perbincangan yang telah berlaku dan bertanya: “Apa yang kamu inginkan wahai Muhajirin?” Kami menjawab: “Kami mahu bertemu saudara-saudara kami daripada golongan Ansar.

Dua lelaki tadi berkata: “Tidak perlu kamu menemui mereka, selesaikan dahulu perbincangan tentang perkara ini dalam kalangan kamu.’’ Umar menjawab: “Demi Allah kami ingin sampai pada mereka”. Perjalanan diteruskan sehinggalah golongan Muhajirin tiba di Saqifah Bani Saadah.

Setibanya mereka di sana, Saidina Umar melihat kelibat seorang lelaki yang sedang bersandar di belakang perkumpulan Ansar lantas bertanya: “Siapakah beliau?” Golongan Ansar menjawab: “itulah Sa'ad bin Ubadah.” Umar bertanya lagi: “Ada apa dengan beliau?” Golongan Ansar meminta Saidina Umar supaya bertenang dan duduk sebentar mendengar apa yang diperkatakan oleh khatib (pengerusi majlis) ketika itu.

Khatib tadi memulakan ucapannya dengan memuji Allah dan Rasulullah kemudian berkata: “Kita semua adalah Ansorullah (penolong agama Allah) dan Katibah Islam (kumpulan orang Islam) – dan kamu semua wahai Muhajirin adalah sebahagian daripada kami. Datangkanlah calon dalam kalangan kamu kerana sesungguhnya kami tahu calon yang kamu pilih tentunya calon yang terbaik untuk kita semua.

Setelah selesai ucapan khatib tadi, aku ingin bangkit dan berbicara namun mendapat isyarat daripada Saidina Abu Bakar supaya terus diam dan beliau berkata kepadaku: “Bertenanglah wahai Umar”

Aku tidak ingin menimbulkan kemarahannya.” Lalu beliau berucap. Sesungguhnya beliau lebih tenang dan dihormati berbanding aku. Demi Allah, tidak ada satu pun perkataan yang ingin aku katakan melainkan dia mengucapkannya dengan tenang. Ia mengucapkan sama seperti apa yang aku ingin ucapkan atau lebih baik daripada yang inginku katakan. Kemudian beliau diam.

Kata beliau: “Apa yang kamu ucapkan mengenai kebaikan, maka kamulah ahlinya. Sesungguhnya tidak diketahui seseorang yang lebih berhak untuk jawatan ini (khalifah) melainkan kaum Quraisy. Mereka adalah kabilah Arab terbaik dari segi keturunan dan kedudukan. Sesungguhnya aku redha untuk kamu salah seorang daripada mereka berdua, maka berbai'ahlah kamu kepada mana-mana yang kamu sukai.” Lalu beliau memegang tanganku dan tangan Abu Ubaidah Amir bin al-Jarrah yang duduk bersama kami. Aku tidak membenci apa yang dikatakannya, cuma padaku sekiranya aku dibunuh supaya tidak memikul bebanan ini, ianya lebih aku sukai daripada aku menjadi Khalifah sedangkan bersamaku Abu Bakar as-Siddiq.

Bangun seorang Ansar dan berkata: “Daripada kami seorang Amir dan daripada kamu seorang Amir wahai sekalian Quraisy.” Lalu keadaan menjadi kucar-kacir sehingga berlakunya perselisihan. Lalu aku berkata: "Bentangkanlah tanganmu wahai Abu Bakar. Lalu beliau menghulurkan tangannya. Aku membai'ahnya dan diikuti oleh sekalian Muhajirin. Kemudian beliau dibai'ah oleh golongan Ansar.

Dalam riwayat Imam Ahmad: "Lalu, Abu Bakar membacakan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis daripada Nabi Muhammad yang memuji golongan Ansar. Abu Bakar berkata: "Kamu semua mengetahui bahawa Rasulullah pernah bersabda: "Jika manusia melalui sebuah lembah, dan kaum Ansar melalui sebuah lembah, akan aku lalui lembah kaum Ansar."

Dan sesungguhnya, engkau mengetahui wahai Sa'ad bahawa Rasulullah pernah bersabda ketika engkau sedang duduk, "Quraisy adalah pemimpin. Kebaikan manusia mengikut kebaikan mereka. Manakala kejahatan manusia mengikut kejahatan mereka." Kemudian Sa'ad berkata: "Engkau benar. Kami adalah menteri sedang kalian adalah pemimpin."

Bersambung...

Penulis: Sheikh Muhammad Ali as-Salabi

Penterjemah: Siasah Rahmah - SR

Sumber asal: https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233/1347040001995727/?type=3&theater
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive