GOLONGAN YANG CENDERUNG KE ARAH KEZALIMAN DALAM SURAH HUD - SIRI 2



Perkara ketiga:

Kecenderungan dengan orang-orang zalim merupakan jalan termudah yang buruk (yang seolah-olah menyokong kezaliman) sama ada melalui perasaan atau perbuatan dari sudut tidak membantu dalam menunjukkan kebencian terhadap kezaliman tersebut, melainkan ianya hanyalah semata-mata senyap tidak bersuara dan bukannya terlibat dalam membantu atau berkeinginan terhadap perkara tersebut. Ayat-ayat yang seterusnya telah menekankan mengenai perkara ini dalam dua tempat:

Tempat pertama yang disebut oleh Allah adalah dalam ayat 116:

(فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ)

“Maka mengapa tidak ada daripada umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa”.

Melalui ayat ini, kita boleh simpulkan bahawa orang-orang yang terkecuali daripada tergolong dalam kalangan orang-orang yang zalim adalah orang-orang yang menentang kerosakan (di muka bumi); namun bilangan mereka ini tidaklah ramai. Orang-orang yang terkecuali ini juga merupakan orang-orang yang menentang kezaliman melalui perbuatan (yang jelas), bukanlah mereka ini orang-orang yang senyap tanpa berkata apa-apa.

Tempat kedua boleh dilihat dalam firman Allah SWT dalam ayat 117:

(وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ)

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan”. Jelas di sini, perkara yang menghalang kezaliman dalam sesuatu ummah (masyarakat) itu daripada menerima balasan buruk adalah apabila ummah tersebut telah melakukan proses pengislahan– mereka bukannya sekadar menjadi masyarakat yang baik, bahkan mereka adalah masyarakat yang melakukan proses memperbaiki atau mengislah.

As-Syahid Sayid Qutb telah menekankan mengenai dua perkara:

1. Ummah yang di dalamnya ada kelompok manusia yang melakukan kezaliman dan kerosakan, tetapi tidak ada yang bangun menentang kezaliman dan kerosakan tersebut atau ada yang menentang tetapi tidak mampu hingga ke tahap menghalang kezaliman tersebut daripada berlaku, maka tunggu sahajalah sunnatullah (ketetapan Allah) – sama ada kehancuran melalui pembasmian, kerosakan ataupun ketakutan.

2. Orang-orang yang berdakwah kepada Allah dan berusaha membersihkan bumi daripada kejahatan - orang-orang ini adalah tonggak kepada masyarakat dan ummah. Ini jelas menunjukkan usaha pejuang-pejuang ini untuk menegakkan ketauhidan Allah (agama Islam). Maka, bagi orang-orang yang duduk tidak berbuat apa-apa dalam semua keadaan, sesungguhnya mereka bukan sahaja tidak melaksanakan tugas dan kewajipan terhadap tuhan dan agama mereka sahaja, bahkan mereka juga mengundang kemurkaan Allah, dihukum, dan mendapat kerugian.

Perkara keempat:

Sesungguhnya, satu-satunya balasan kepada orang-orang yang cenderung ke arah kezaliman adalah :

(فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرون)

“api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”.

Menurut Imam al-Syaukani, فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ “api neraka akan membakar kamu” merujuk kepada “balasan yang akan diperoleh oleh orang-orang yang cenderung ke arah kezaliman kerana perbuatan tersebut. Potongan ayat ini juga mengisyaratkan bahawa orang-orang yang zalim merupakan ahli-ahli neraka, atau mereka itu ibarat api (neraka) – maka, apabila bersahabat dengan api, kita tidak akan dapat mengelakkan diri daripada terkena api tersebut”.

Imam al-Mawardi melihat potongan ayat ini dari satu lagi sudut pandang iaitu: “maka, apabila kamu bertindak untuk berhubung (berinteraksi) dengan kezaliman mereka, perumpamaannya adalah seperti kamu telah bertindak untuk memanggil/mencari api untuk membakar setiap perkara yang berdekatan dengannya (api tersebut). Pada pandanganku, ayat ini mempunyai dua maksud. Pertama, dalam dunia realiti, kamu akan berhadapan dengan kezaliman, dan kamu terlibat sama membantu dalam kezaliman tersebut. Kedua, sesungguhnya orang-orang yang zalim akan menunggu orang-orang yang cenderung ke arah mereka (orang-orang yang zalim) di akhirat nanti. Allah berfirman:

(وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ)

“sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. Potongan ayat ini merupakan dalil yang jelas memberi amaran terhadap perbuatan cenderung ke arah orang-orang yang zalim. Bagi sesiapa yang tergolong dalam kategori orang-orang seperti ini, (maka beringatlah) bahawa mereka sekali-kali tidak akan mendapat pertolongan dan bantuan untuk terselamat daripada Allah – selepas mereka telah redha dan menjadikan orang-orang zalim sebagai pemimpin mereka sewaktu di dunia; dan selepas mereka mengetepikan Allah dan (janji) bantuan daripada-Nya (yang akan diperoleh di akhirat nanti).

Perkara kelima:

Berhubung/berinteraksi dengan orang yang zalim adalah seumpama perbuatan cenderung ke arah mereka (orang-orang yang zalim). Kamu menyangka bahawa menyokong kezaliman dengan senyap tanpa berkata adalah perkara biasa dan kamu bukanlah termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim. Padahal kamu sebenarnya seolah-olah telah bersedia untuk memegang api (neraka) di akhirat nanti. Maka, adakah kamu masih boleh terus berada dalam keadaan azab seperti ini? Sejak bilakah azab Allah itu menyeronokkan? Allah berfirman:

(وَلَئِن مَّسَّتْهُمْ نَفْحَةٌ مِّنْ عَذَابِ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ)

“Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit saja dari azab Tuhan-mu, pastilah mereka berkata: "Aduhai, celakalah kami, bahwasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri". (Al-Ahqaf: 21)

Aku akhiri dengan sebahagian daripada tulisan orang-orang yang telah menasihatkan al-Zuhri ketika mana al-Zuhri terlibat berhubung dan berinteraksi dengan pembesar-pembesar. “Ketahuilah, sesungguhnya perkara yang paling mudah dilakukan adalah dengan melupakan kezaliman yang telah berlaku. Bahkan ini juga merupakan cara termudah untuk tidak perlu menegakkan kebenaran dan meninggalkan kejahatan – walaupun ketika itu kamu sudah biarkan kezaliaman (itu) berakar umbi di bawah dan di sekitar kamu, dan (kezaliaman) itu ibarat jambatan ke arah kehancuran dan kesesatan. Kamu mempunyai syak wasangka dengan ulama’ dan kamu telah dipengaruhi oleh hati orang-orang yang jahil. Mana satukah yang lebih mudah – antara cenderung ke arah kezaliman berbanding berhadapan dengan kesan daripada perbuatan tersebut?

Mana satukah yang lebih banyak (kesannya) – antara memperoleh sesuatu kerana kecenderungan ke arah orang-orang yang zalim berbanding dengan kerosakan terhadap agama yang berlaku disebabkan oleh perbuatan tersebut? Maka, apakah kamu tidak beriman dengan firman Allah

(وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ)

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Penulis : Ukhti Fadwa Helmi
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://islamonline.net/6061
Share:

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive