PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 7



Kedua : Analisa Politik Mengenai Situasi di Saqifah Bani Saadah

7. Kezuhudan Umar dan Abu Bakar dalam urusan pemerintahan (Khalifah)

Setelah Abu Bakar selesai berucap di Saqifah Bani Saadah, beliau mencadangkan Umar dan Abu Ubaidah sebagai calon khalifah, tetapi Umar menolaknya lalu mengatakan: ” Demi Allah! aku lebih suka dibawa ke hadapan lalu dipenggal leherku walaupun tanpa kesalahan, daripada diangkat sebagai pemimpin suatu kaum sedangkan terdapat di dalamnya Abu Bakar”.

Dengan begitu yakin akan kelayakan Abu Bakar sebagai khalifah, Saidina Umar memegang tangan Abu Bakar lalu mengatakan: Bukalah tanganmu wahai Abu Bakar, maka Abu Bakar membuka tangannya, kemudian Umar berkata: Aku berbai'ah kepadanya, demikian juga golongan Muhajirin dan Ansar. Dalam sebuah riwayat menyebutkan: Umar berkata: Wahai sekalian Ansar, tidakkah kamu tahu bahawa Rasulullah telah menyuruh Abu Bakar untuk mengimamkan manusia (dalam solat). Maka siapa di antara kamu yang merasakan dirinya lebih baik mendahului Abu Bakar? Berkata golongan Ansar: Kami berlindung kepada Allah daripada mendahului Abu Bakar.

Ini merupakan tindakan penting yang dibuat Saidina Umar, Rasulullah mengambil serius perkara ini di mana ketika baginda dalam keadaan sakit, baginda menegaskan kepada Abu Bakar untuk mengimamkan solat. Ini merupakan isyarat bahawa Abu Bakarlah yang paling layak untuk menjadi khalifah, dan kata-kata Umar sangat beradab, tawadhu' dan tajarrud. Terserlah kezuhudan Abu Bakar dalam kepimpinannya ketika menyampaikan ucapan setelah pelantikannya sebagai khalifah, beliau berkata:

"Demi Allah aku tidak sesekali menginginkan kepimpinan siang atau malam dan tidak teringin padanya. Aku juga tidak pernah memohon kepada Allah meminta jawatan sama ada terang-terangan atau sendirian, malahan aku amat takut dengan ujian kepimpinan. Kepimpinan ini bukanlah suatu yang merehatkan, tetapi aku telah diberikan satu tugas yang besar, yang tidak mampu aku laksanakannya melainkan dengan kehendak Allah, dan aku benar-benar mengharapkan mereka yang lebih berkemampuan untuk berada ditempatku."

Dikatakan juga, Abu Bakar berkata: Aku berharap ketika di Saqifah Bani Saadah, dapatku serahkan urusan ini (kepimpinan) kepada salah satu daripada dua orang, Abu Ubaidah ataupun Umar dan cukuplah aku sebagai penolong, Abu Bakar beberapa kali menyatakan keengganan beliau dilantik sebagai khalifah dan mahu meletak jawatan, beliau berkata: Wahai sekalian manusia, ini adalah urusan kamu, terserah kepada kamu siapa sahaja yang kamu sukai (sebagai pemimpin) dan aku akan menunaikannya (melantiknya sebagai pemimpin), dan aku adalah salah seorang daripada kamu. Maka mereka menjawab: Kami dengan sepenuh hati memilih engkau (Abu Bakar), yang sentiasa berduaan bersama Rasulullah di setiap ketika.

Abu Bakar menuntut para muslimin membebaskan jiwa mereka daripada sebarang bentuk perasaan tidak puas hati terhadap pelantikannya dan beliau meminta mereka berjanji setia melalui soalannya:

Wahai sekalian manusia, barangsiapa yg menyesal berbai'ah denganku ketika dia berdiri di atas kedua kakinya? Lalu Saidina Ali bangun sambil memegang pedang, beliau meletakkan sebelah kaki di anak tangga mimbar dan sebelah lagi di atas batu kemudian berkata Demi Allah, kami tidak akan menjatuhkan kamu atau menuntut kamu berundur. Rasulullah telah mengutamakan engkau, maka tiada siapa yang tidak menngutamakan kau.

Bukan Abu Bakar sahaja yang bersikap zuhud terhadap urusan khilafah dan tanggungjawab pemerintahan, bahkan itu merupakan ruh zaman itu (semua orang bersikap zuhud dalam urusan kepimpinan).

8. Semua pihak menginginkan kesatuan bagi umat Islam

Daripada kisah yang telah disampaikan ini, boleh kita katakan: Segala negosiasi yang berlaku di Saqifah Bani Saadah bukanlah suatu bentuk perpecahan, malahan ia menunjukkan keprihatinan Ansar terhadap masa depan dakwah islam, dan kesediaan mereka untuk berkorban di atas jalannya. Mereka tidak tenang selagimana tidak menyahut seruan bai'ah terhadap Abu Bakar yang (sebelumnya) telah menerima baiah itu. Oleh itu, pegangan para sahabat bertentangan dengan apa yang cuba dibawa oleh golongan yang mendakwa berlakunya pergaduhan besar antara Muhajirin dan Ansar.

Golongan ini tidak patuh kepada disiplin ilmu dan kajian objektif, malahan kajian mereka bercanggah sama sekali dengan ruh zaman serta harapan dan aspirasi para sahabat yang terdiri daripada Muhajiran, Ansar dan selainnya. Jika benar perhimpunan di Saqifah Bani Saidah membawa kepada perpecahan antara Muhajirin dan Ansar seperti dakwaan mereka, bagaimana mereka boleh menerima keputusan perlantikan tersebut sedangkan Madinah itu adalah tanah mereka dan mereka merupakan majoriti. Dan bagaimana mereka boleh bernaung di bawah pemerintahan Abu Bakar dan menjadi tentera-tentera yang dihantar ke Timur dan Barat sebagai pejuang bagi menegakkan kalimah Allah sekiranya (dikatakan) mereka tidak bersungguh dalam membantu Abu Bakar.

Jelas sekali, pandangan yang lebih tepat adalah Ansar juga bersungguh-sungguh mahu mempertahankan politik negara dan melindunginya daripada ancaman golongan murtad, serta tiada seorang pun daripada Ansar yang menolak bai'ah terhadap Abu Bakar. Bahawasanya ukhuwah antara Muhajirin dan Ansar mengatasi segala perkara-perkara remeh yang membawa kepada perpecahan antara mereka sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Penulis : Sheikh Muhammad Ali as-Salabi
Penterjemah : Siasah Rahmah - SR
Sumber : https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233.56019.185412838158455/1347053435327717/?type=3
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive