PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 6



Kedua : Analisa Politik Mengenai Situasi di Saqifah Bani Saadah

6. Pencalonan Saidina Abu Bakar untuk memimpin negara.

Umar al-Khattab ingin mencalonkan seseorang yang tidak diragui oleh para sahabat. Seseorang yang mempunyai pelbagai kelebihan dan kesempurnaan serta tidak pernah berkira. Lalu Umar mencadangkan Abu Bakar as-Siddiq dan berkata kepadanya: "Hulurkan tanganmu, kami akan berbai'ah kepadamu." Maka apabila Umar dan Abu Ubaidah hendak berbai'ah kepada Abu Bakar, mereka dipintas oleh seorang sahabat daripada Ansar iaitu Basyir bin Sa'ad al-Khazraji yang terlebih dahulu memberikan bai'ah kepada Abu Bakar dengan penuh kemuliaan.

Kemudian Abu Bakar dibai'ah oleh para sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar, lalu diberikan kuasa kepada Abu Bakar. Bai'ah ini mewakili bai'ah ahli syura dalam kalangan ummah. Selepas mereka berbai'ah kepada Abu Bakar sebagai ketua negara, Umar yang merupakan seorang yang penuh hikmah dan pakar politik merasakan tidak cukup sekadar bai'ah mereka. Maka dikumpulkan semua rakyat pada keesokan harinya dan mengumumkan pelantikan Abu Bakar sebagai ketua negara. Lalu semua rakyat berbai'ah kepada beliau melainkan sebahagian kecil yang mempunyai keuzuran, yang boleh dikira dengan jari. Mereka itu kemudiannya berbai'ah kepada Abu Bakar.

Abu Bakar merupakan seorang yang mempunyai pelbagai ciri yang tidak ada pada orang lain, seluruh ummah bersatu melantiknya, dan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sebelum ini, para sahabat dalam kalangan Muhajirin dan Ansar berada di bawah pemerintahan Rasulullah yang mempunyai ciri-ciri yang sangat hebat, seorang yang dimuliakan Allah dengan ciri-ciri tersebut. Maka sesiapa pun tidak mampu memiliki nilai dan kemuliaan tersebut melainkan Rasulullah.

Walau bagaimanapun, mereka menerima Abu Bakar sebagai ketua mereka, kerana mereka mengetahui kelebihan Abu Bakar berbanding sahabat-sahabat yang lain. Beliau dikenali dengan pelbagai sifat, kepakaran, dan akhlak yang melayakkan dirinya menjadi pemimpin negara.

Antaranya ialah:

1. Beliau merupakan orang yang istimewa kerana mendapat thiqah (kepercayaan) Rasulullah sejak beliau menganut Islam. Beliau mendapat kepercayaan baginda dalam melaksanakan tugas-tugas penting. Baginda juga memilih beliau sebagai peneman ketika saat-saat getir, dalam keadaan di mana hanya orang yang dipercayai sepenuhnya sahaja yang dipilih.

2. Beliau mempunyai kelebihan istimewa dalam memahami Islam dengan teliti. Juga, beliau sentiasa bersama Rasulullah dalam setiap keadaan. Sama ada pada waktu peperangan, ketakutan, ketenangan, kesatuan, kesusahan, dan keselesaan.

3. Beliau sangat menekankan keaslian agama ini dan mengekalkannya sepertimana di zaman Rasulullah. Penekanannya ini lebih tinggi daripada keghairahan seorang lelaki terhadap harta bendanya, kemuliaannya, pasangannya, ibu bapanya, dan anak-anaknya. Dan usahanya ini tidak dihalang oleh sahabat-sahabat terdekat beliau dan yang paling disayangi.

4. Beliau sangat teliti dan berjaga-jaga dalam melaksanakan kehendak Rasulullah yang ditinggalkan untuk ummah selepas kewafatannya. Beliau tidak culas dalam perkara ini dan tidak pula mengambil ringan serta tidak takut walau apapun.

5. Abu Bakar merupakan antara orang yang zuhud dalam kehidupan dunia. Kezuhudan yang lebih tinggi daripada orang lain kecuali Rasulullah. Ketika mengasaskan kepimpinannya, beliau tidak memimpin untuk kepentingan keluarga dan sanak saudaranya, sepertimana kebiasaan kerajaan-kerajaan jiran seperti Rom dan Parsi. Sifat-sifat ini ada pada Abu Bakar dan sahabat-sahabat yang lain, yang ditonjolkan sepanjang hayat Rasulullah dan selepas kewafatannya serta berterusan sehinggalah beliau menemui Tuhannya. Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana telah dipastikan melalui jalan yang mutawatir.

Sesungguhnya, telah jelas bagi para pengkaji bahawa melantik pemimpin merupakan perkara wajib ke atas ummah Islam untuk menjaga urusan-urusan ummah, melaksanakan perintah Allah, menyebarkan dakwah, melindungi agama dan ummah dengan jihad dan perlaksanaan syariat, menjaga hak-hak manusia dan mengangkat kezaliman, dan menyempurnakan keperluan-keperluan utama bagi setiap manusia. Ini merupakan perkara yang thabit (tetap) dalam al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma'.

Penulis : Sheikh Muhammad Ali as-Salabi
Penterjemah : Siasah Rahmah - SR
Sumber : https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233.56019.185412838158455/1347053435327717/?type=3
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive