PERBAHASAN HUKUM SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR - SIRI 4



Kedua : Analisa Politik Mengenai Situasi di Saqifah Bani Saadah

3. Ansar Mencadangkan Saad bin Ubadah

Saad adalah pemimpin Kaum Khazraj dan terkenal dengan kepimpinannya sejak zaman Jahiliyah hinggalah Islam. Semasa Jahiliyah beliau seorang yang hebat dan terkenal dengan kemahirannya dalam penulisan, memanah, dan berenang.

Ansar telah bersedia melantik Saad sebagai khalifah kerana mereka yakin beliau adalah calon yang paling layak untuk memimpin umat Islam dan berkhidmat kepada tanah air Islam. Memerintah dengan apa yang diperintahkan Allah adalah sesuatu kemuliaan yang agung bagi Saad. Terdapat banyak sebab yang jelas pemilihan Saad sebagai pengganti Rasulullah:

1. Dinukilkan oleh Imam Al-Jazari dalam kitabnya Asad al-Ghabah fi Ma'rifat al-Sahabah: Saad adalah pemimpin Bani Saadah, anggota peperangan Badar dan daripadanya terdapat beberapa riwayat tentang kisah peperangan Rasulullah. Beliau seorang pemimpin yang pemurah. Juga pemegang panji Ansar dalam kebanyakan peristiwa. Seorang pemimpin yang diiktiraf sebagai matang dan pemurah oleh pengikut dan ahli keluarganya.

2. Beliau merupakan golongan Ansar yang terawal memeluk Islam, berada dalam peristiwa Bai'ah Aqabah Kubra dan menjadi antara 12 pimpinan yang dilantik Rasulullah semasa itu. Setelah keislaman beliau, Quraisy telah bertindak menyeksa beliau dan keluarganya sehingga Allah menyelamatkan mereka semua.

3. Pandangan terkenal beliau dalam Peperangan Khandaq/Ahzab ketika Rasulullah meminta pandangan beliau dan Saad bin Muaz untuk memberikan 1/3 hasil tanaman Madinah kepada kaum Ghatfan supaya mereka tidak berpakat dengan Quraisy dan pulang ke kampung masing-masing. Saad telah menjelaskan bahawa kaum Ghatfan terkenal dengan sifat mereka yang tidak menerima habuan seperti itu kecuali dengan cara yang mulia, sifat ini sejak mereka dalam Jahiliyah dan apabila mereka memeluk Islam tentunya sifat itu lebih kuat dan tiadalah yang lebih mulia kecuali kaum Ghatfan bersama-sama berperang mempertahankan Madinah.

4. Pembawa panji Ansar dalam Peperangan Bani Mustalaq, Khaibar, dan Peristiwa Pembukaan Mekah.

5. Kedudukan yang istimewa di sisi Rasulullah, dipanggil "Akhi" dan Rasulullah sering menziarahi beliau di rumahnya. Daripada Abdullah bin Umar: "kami sedang duduk bersama Rasulullah kemudian datang lelaki daripada Ansar, memberi salam kepada Rasulullah dan beredar. Rasulullah memanggil lelaki itu dan bertanya"bagaimana keadaan Akhi Saad bin Ubadah?" Lelaki tadi menjawab Saad dalam keadaan yang baik. Lantas Rasulullah bangun dan mengikut lelaki itu, para sahabat juga bergegas mengikut Rasulullah sehingga tiba kepada Saad yang dikelilingi pengikutnya. Tibanya Rasulullah dan para sahabat, pengikut Saad mengundurkan diri untuk memberi peluang Saad menyambut Rasulullah dan para sahabat."

6. Kesopanan dan kesetiaan yang tinggi kepada kerabat dan keluarga khususnya kepada kedua ibubapa. Ketika ibu beliau meninggal dunia, beliau bertemu Rasulullah dan berkata: "wahai Rasulullah, ibuku telah meninggal dunia, apakah sedekah yang terbaik?" Rasulullah menjawab: "Air". Maka Saad telah menggali sebuah perigi dan berkata: "Ini untuk Ummu Saad."

7. Diberi tugasan besar oleh Rasulullah antaranya:

-Saad dipilih menjadi utusan bagi menyiasat kes khianat Bani Quraizah ketika Peperangan Khandaq, Saad telah menyelesaikan siasatan itu dengan cemerlang.

-Saad dilantik sebagai pengganti Rasulullah bersama 300 orang bagi menjaga Madinah ketika Rasulullah keluar untuk peperangan Al-Ghabah untuk merampas kembali unta-unta umat islam yang dicuri.

Disebabkan faktor-faktor di atas, Saad diangkat oleh Ansar untuk jawatan khalifah, sumbangan dan hubungan rapat beliau dengan Rasulullah yang cukup jelas. Ansar dan Saad sendiri setelah puas hati dengan hujah Abu Bakr, mereka telah memberi bai'ah kepada Abu Bakr di akhir perbincangan di Saqifah Bani Saadah. Beliau telah menyerahkan hak kepimpinan kepada Abu Bakar dan sepupunya, Bashir bin Saad al-Ansori antara yang terawal memberi bai'ah kepada Abu Bakar.

Peristiwa ini jelas, tidak ada riwayat yang sahih mengatakan berlakunya pergaduhan dan perselisihan, tidak juga perpecahan dalam urusan pelantikan khalifah sepertimana yang didakwa sebahagian penulis sejarah. Ukhuwah Islamiyah telah menyelamatkan perkara tersebut daripada berlaku. Malah ada yang menulis bahawa berlaku perebutan jawatan khalifah antara Abu Bakar, Umar, dan Abu Ubaidah selepas kewafatan Rasulullah. Sesungguhnya mereka individu yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa.

Terdapat juga yang menulis bahawa Saad bersaing dengan golongan Muhajirin dan merancang perancangan yang jahat bagi memecahkan kesatuan muslimin. Sesungguhnya beliau adalah seorang yang terbukti sumbangannya dalam membantu Islam dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Rasulullah. Termasuk ada juga yang mendakwa selepas pelantikan Abu Bakar, beliau tidak lagi solat bersama jemaah orang islam dan tidak lagi menunaikan tawaf bersama-sama. Semua dakwaan itu palsu belaka.

Antara riwayat yang sahih daripada peristiwa bai'ah Abu Bakar adalah kata-kata Abu Bakar: "Sesunguhnya kamu tahu sabda Rasulullah - jika sekumpulan manusia melalui sebuah lembah, dan Ansar melalui sebuah lembah yang lain nescaya aku akan melalui lembah yang dilalui Ansar."

Kemudian sewaktu dikatakan kepada Saad: "sesungguhnya engkau tahu apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah ketika kau sedang duduk - Quraisy adalah pemimpin, kebaikan manusia mengikut kebaikan mereka dan kejahatan manusia mengikut kejahatan mereka." Maka Saad membalas: "Engkau benar, kami menteri dan kalian pemimpin." Lantas beliau dan pengikutnya memberi bai'ah kepada Abu Bakar.

Semua peristiwa ini membatalkan cubaan-cubaan bagi memecahbelahkan kaum muslimin dengan cerita-cerita perpecahan umat semasa peristiwa di Saqifah Bani Saadah. Berkata Imam az-Zahabi tentang riwayat dakwaan ini: "perawinya seperti yang dikenali, martabatnya dhaif (lemah) dan penceritaannya bertentangan dengan riwayat sahih tentang perjalanan hidup Saad bin Ubadah.

Penulis : Sheikh Muhammad Ali as-Salabi

Penterjemah : Siasah Rahmah - SR

Sumber : https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233.56019.185412838158455/1347053435327717/?type=3
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive