NEGARA MADANI DAN SYARIAT ILAHI


 


Dalam kehidupan kita, terdapat banyak penyakit pemikiran. Antara penyakit tersebut ialah ‘fatwa-fatwa’ yang dibuat oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang khusus yang mereka sendiri tidak tahu dan tidak punya ilmu tentangnya. Fatwa yang dibuat oleh orang yang tidak belajar apa-apa, walaupun mereka sekadar tahu ilmu tentang perkara yang membatalkan wudhu’ atau cara-cara bersuci, lalu tiba-tiba bertukar perwatakan seolah-olah menjadi seorang ulama besar, dan terjun ke dalam perbahasan ilmu kalam dan fiqh yang tinggi.

Sedangkan mereka tidak mengetahui, bahawa ulama-ulama besar dan para fuqaha’ sering mengelak daripada mengeluarkan fatwa. Ada pula dalam kalangan mereka berkata: “Sesiapa yang berkata ‘aku tidak tahu’, maka dia telah berfatwa.”

Dalam perbahasan sekitar Syariat dan Negara Islam, ramai dalam kalangan penulis yang prejudis mendakwa bahawa perlaksanaan Syariat Islam akan membawa kepada konsep negara sacerdotalism (kepercayaan bahawa wujud manusia suci dan agung sebagai penghubung antara manusia lain dengan Tuhan) seperti yang telah diperkenalkan oleh Eropah ketika Zaman Gelap.

Oleh sebab kebanyakan penulis-penulis itu merupakan orang-orang yang berfahaman sekular Barat, akal-akal mereka telah dicemari dengan sistem Barat, maka beberapa kenyataan daripada Barat diambil untuk menolak syubhah sacerdotalism dalam konsep negara Islam. Ini merupakan kenyataan daripada orang Barat sendiri.

Salah satu daripada seorang orientalis Itali bernama David de Santillana (1845 – 1931). Beliau merupakan salah seorang daripada pelajar dalam Syariat Islam dan undang-undang Rom. Kenyataannya tentang prinsip Madani dalam negara Islam (negara Syariat) merupakan kenyataan yang sangat baik.

Orientalis ini belajar Syariat Islam dan undang-undang Rom di Mesir dan Tunisia serta beberapa universiti di Barat. Beliau berkata: “Tiada dalam Syariat Islam, sesuatu yang mengurniakan sifat kudus kepada khalifah, atau apa disebutkan sebagai 'priesthood', sepertimana yang dibuat oleh beberapa kumpulan tertentu dalam sejarah dunia. Kekuasaan khalifah – sebagai ketua agama – tidak memberikannya kekuasaan total atau 'papacy',dan tidak pula dianggap sebagai pengganti mutlak kepada Rasul.

Manakala dalam urusan dunia, seorang ketua atau khalifah itu merupakan wakil kepada orang-orang beriman, dan tugas-tugasnya berdiri di atas prinsip ini; seseorang ketua itu wajib melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberi maslahah (kebaikan) kepada semua.

Dengan tujuan ini, para pemimpin sebenarnya dipimpin oleh rakyat. Sepertimana wajibnya seorang wakil memberikan maklumat dapatannya kepada ketuanya atau orang yang mewakilkannya, begitu juga menjadi tanggungjawab bagi khalifah untuk sentiasa meminta bimbingan daripada Allah.

Sesungguhnya, ikatan kerjasama yang wujud antara khalifah dan rakyat sentiasa kekal utuh selagi mana khalifah mampu menjalankan tugasnya dengan baik dalam menjaga masyarakat. Apabila khalifah tidak lagi layak untuk berkhidmat kepada rakyat, maka hilanglah kekuasaannya dan terputus perjanjian antara mereka.”

David de Santillana juga ada berbicara tentang maksud kebebasan dalam Islam. Beliau berkata: “Sesungguhnya, kebebasan merupakan prinsip paling utama dalam Syariat Islam. Para fuqaha' Islam melihat bahawa kebebasan ini mempunyai batasan-batasannya yang tersendiri. Ini kerana, kebebasan mutlak akan membawa kepada kemusnahan manusia.

Batasan-batasan itu adalah apa yang disebutkan sebagai ‘prinsip perundangan’ Syariat. Batasan-batasan ini bukanlah sesuatu yang menzalimi mahupun melampau-lampau, kerana tujuan kewujudannya adalah untuk memberi sebanyak mungkin manfaat dan kebaikan yang boleh diperoleh manusia. Inilah tujuan yang ingin dibawa oleh Syariat.

Maka apabila seseorang manusia itu merupakan khalifah Allah di bumiNya, Tuhan telah memberikan kepadanya bebanan hak, dan yang paling tinggi ialah hak individu dalam hal-hal keselamatan dan kebebasan. Ini kerana, kebebasan merupakan hak semula jadi bagi setiap individu. Syariat Islam juga sangat menjaga prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam setiap perkara. Dan kami suka untuk meletakkan Syariat Islam ini ditempat yang tertinggi, dan mengikutinya merupakan perkara yang mulia di sisi pakar undang-undang. Inilah tempat yang layak baginya (Syariat).”

Kenyataan ini merupakan kenyataan yang sangat penting yang disebutkan orang Barat tentang konsep Negara Madani@Islam (negara Syariat) dan konsep kebebasan, yang merupakan asas paling utama dalam prinsip-prinsip Syariat Islam.

Penulis : Dr Muhammad Imarah
Terjemahan: Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://iumsonline.org/ar/3/dol-mdny-oshryaa-lhy/
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive