TAFHEEM: ‘ALLAL AL-FASI MENENTANG SIFAT INDIVIDUALISTIK DALAM MASYARAKAT



'Allal al-Fasi seorang tokoh negarawan dan ulama Maqasid Syariah dari Maghribi. Berikut terjemahan literal  daripada tulisan beliau:

“Tidak mungkin untuk satu umat untuk bangkit daripada kejatuhan ini yang sedang dialaminya (kemunduran Maghribi dan dunia Islam) kecuali apabila ia dilatih untuk berfikir secara kolektif, dan kembali supaya tidak melihat masalah-masalah orang atau lapisan masyarakat lain sebagai perkara yang jauh daripadanya atau tidak kembali (manfaatnya) kepadanya.

“Sesungguhnya kita telah terbiasa di negeri kita untuk tidak berfikir tentang sesiapa, dan kita tidak memandang kepada hal manusia, seolah-olah dunia seluruhnya terangkum dalam kewujudan diri kita sahaja yang apabila pemikiran kita melangkauinya, kita tidak akan melebihi sempadan sesempit-sempit lingkungan yang ada hubungan yang pasti dengan kita.

“Kita melihat setiap pagi yang berkaitan dengan kehidupan kita, tidak kisah kecuali tentang kombinasi jenis makanan dan keseronokan yang kita senang melihatnya di depan mata kita setiap kali kita pulang dari penerokaan kita ke medan-medan perniagaan dan sebagainya, yang kita usahakan dengan sedaya-upaya untuk lebih baik daripada orang lain, berasa megah dengan individualisma diri kita, bangga dengan kejayaan kita ketika orang lain gagal. Lalu apabila tiba waktu makan, kita melahap selahap-lahapnya, sedang kita menjauhi sejauh-jauhnya daripada berfikir tentang ribuan orang yang kelaparan, lelaki dan perempuan, yang tidak mampu untuk mengalas perut walaupun dengan satu perseratus daripada yang kita mampu.

“Dan kita pilih untuk diri kita dan keluarga kita pakaian-pakaian yang berkualiti dan barang-barang kemas yang unik, berwarna-warni, berbagai bentuk, tanpa mengambil berat tentang berjuta-juta orang yang tidak berpakaian daripada kalangan saudara kita, lelaki dan perempuan, yang kita tidak fikir mengenai mereka kecuali yang mereka itu mengganggu kita dengan munculnya mereka di hadapan mata kita mengingatkan kita tentang penderitaan, menjadikan kita merasa sengsara walau sekelumit.”

“...kita wajib mengambil pemikiran yang tidak mundur, bahkan pemikiran revolusional yang mengeluarkan kita daripada kesempitan ufuk yang biasanya wujud dalam kalangan kemanusiaan pada lapisan para munafik."

“Apabila kita berkata ‘revolusi’ bukanlah maksud kita menghancurkan atau keluar daripada daerah keadilan yang dalam Bahasa Arab ertinya kesamarataan, dan tidak juga daripada Ihsan yang dalam Islam ertinya ketekunan dan takwa, tetapi kita mahu membebaskan diri daripada taqlid terhadap suasana kemasyarakatan yang menjadikan diri kita tidak merasa kecuali kewujudan diri kita sendiri sahaja."

“Kita perlu melakukan revolusi ke atas diri kita dan suasana kita, menyahut seruan hati yang tidak diliputi dosa, akal yang tidak dipenuhi ketamakan. Kita perlu menjadi kelompok yang membebaskan masyarakat daripada belenggu kefakiran, kecelakaan wabak penyakit, mimpi ngeri pengangguran, hingga kita mencipta untuk Maghribi yang merdeka suatu bangsa yang jiwanya bersaudara, hal ehwalnya sama rata, dan saling menyokong dalam kemerdekaan.”

(Lihat ‘Al-Naqd al-Dzaati oleh ‘Allal al-Fasi, petikan ini dinaqalkan secara harfi dalam ‘Allal al-Fasi ‘Alima Wa Mufakkira oleh Dr Ahmed Raissouni, muka surat 201-202.)

Penulis:
Ustaz Muhd Eirfan
Felo Siasah Rahmah

Ikuti kami di Facebook: Siasah Rahmah - SR

Kami juga di Telegram : https://t.me/siasahrahmah

Kami juga di Instagram : https://www.instagram.com/siasahrahmah/

Serendah RM 1 anda boleh bersama menjayakan usaha penterjemahan kami:

5646 8711 0114 (Maybank)
SIASAH RAHMAH RESEARCH & CONSULTANCY
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive