PEMBINAAN DAULAH SOLEHAH - SIRI 1




Islam sangat menitikberatkan pembinaan sebuah umat solehah yang membawa maslahah (kebaikan), membawa risalah ketuhanan, kemanusiaan dan akhlak sejagat. Begitu juga Islam menitikberatkan pembinaan sebuah negara solehah bagi memimpin umat solehah ini untuk mencapai objektifnya, menyuburkan sifat-sifatnya, memelihara risalahnya, berperanan mengukuhkan umat di atas prinsipnya di dalam negara, dan menyebarkannya ke luar negara.

Sesungguhnya telah berjaya pihak penjajah yang pernah memimpin sebahagian besar negara umat islam; menanam atau mengukuhkan dalam kalangan umat satu pemikiran baru iaitu Islam adalah agama dan bukannya negara. "Agama" seperti kalimah "agama" yang difahami oleh Barat dan bahawasanya ia tidak mempunyai hubungan dengan urusan negara. Urusan negara hanya dipandu semata-mata oleh akal manusia melalui proses 'try and error' dan keputusan berdasarkan keadaan yang berubah-ubah.

Mereka para penjajah inginkan penghayatan agama di Timur seperti penghayatan agama di Barat. Kebangkitan di Barat hanya berlaku setelah bebasnya umat daripada cengkaman ketua agama (paderi), maka kebangkitan negara Arab di Timur hendaklah berlaku di atas kemusnahan agama.

Agama di Barat adalah kekuasaan gereja dan paderi, serta penguasaan mereka terhadap jiwa dan raga manusia. Samakah Islam?

Penjajah sentiasa berjaya membentuk kumpulan yang beriman bahawa agama tiada peranan dalam menentukan halatuju negara dan pengurusannya. Agama suatu hal, politik dan kenegaraan suatu hal yang lain. Fahaman ini berkembang di dalam Islam sepertimana ianya di dalam agama Kristian. Antara slogan yang sesat adalah : "urusan Agama untuk Tuhan dan urusan Negara untuk manusia".

Makna "Agama untuk Tuhan" adalah agama merupakan urusan hamba antara jiwanya dengan Tuhan. Ia tiada kaitan dengan urusan hidup manusia dan urusan sosial masyarakat.

Contoh terbaik slogan ini adalah bilamana tertubuhnya "Negara Sekular" oleh Kamal Attaturk di Turki. Sistem yang dipaksakan dengan besi dan api ke atas seluruh rakyat Muslim di Turki. Ianya berlaku setelah hancurnya pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, sistem politik islam terakhir yang kekal sebelum dijatuhkan oleh kuasa dunia, angkatan Salib dan gerakan Zionis Antarabangsa.

Negara-negara Islam kini kebanyakannya meniru model Turki tersebut pada tahap yang berbeza-beza. Mereka memisahkan Islam dan Syariat dalam bab jenayah dan sosial tetapi membiarkan perundangan Islam dalam hal-hal undang-undang kekeluargaan sahaja. Perkara ini menyebabkan masyarakat terpisah daripada merasai kesan agama dalam hidup mereka seharian. Di samping itu, kebanyakan hal lain diadaptasi dan diambil daripada kerangka dan kefahaman Barat.

Antara kejayaan Barat dalam mengembangkan pemikiran salah ini iaitu pemisahan Agama dan urusan Negara adalah apabila mereka bukan sahaja berjaya mempengaruhi orang awam tetapi turut mempengaruhi golongan pengajian agama di institusi Islam seperti Al-Azhar. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penulisan salah seorang tokoh di Al-Azhar iaitu Sheikh Ali Abdul Razak di dalam kitabnya "Al-Islam wa Usul al-Hukm".

Perlu dimaklumkan bahawa penerbitan kitab ini telah mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat awam umumnya dan institusi Al-Azhar khususnya. Satu panel pengkaji khas telah ditubuhkan oleh Al-Azhar, kelulusan akademiknya ditarik, namanya dikeluarkan daripada senarai ulama, dan penulisannya dikritik oleh ulama Al-Azhar dan selainnya.

Demikian itu, menjadi satu keperluan untuk kita menentang bersungguh-sungguh kefahaman ini dengan cara menonjolkan kesyumulan Islam terutamanya dalam perbincangan bab dan hukum-hukum berkaitan Negara, pengurusannya. Perkara ini perlu ditonjolkan, bahawasanya urusan kenegaraan adalah satu bahagian daripada bahagian-bahagian dalam Sistem Islam.

Bersambung...

Penulis : Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber: https://www.al-qaradawi.net/node/2855
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive