JENIS-JENIS KEBEBASAN


Dalam Islam, kebebasan adalah setaraf dengan kehidupan. Para pentafsir al-Quran telah menyebutkan hakikat ini dengan mentafsirkan ayat ke-92 daripada surah an-Nisa’:

"dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin secara tidak sengaja, maka hendaklah dia membebaskan seorang hamba.”

Para pentafsir berkata: “sesungguhnya seorang pembunuh yang menghilangkan nyawa seorang mukmin daripada golongan yang hidup, maka dia hendaklah memasukkan nyawa baru ke dalam golongan yang merdeka. Ini kerana, mengeluarkannya daripada tali perhambaan ibarat menghidupkannya. Maka, perhambaan umpama kematian, dan kebebasan umpama kehidupan.”

Pada zaman moden ini, Rifa’ah al-Tohtowi (1216-2090H, 1801-1873M) telah mengaitkan antara kebebasan negara dengan kebebasan warganegaranya, kerana kebebasan adalah cetakan dalam jiwa manusia secara semula jadi. Kerana itu, manusia perlu mengekspresikan kebebasannya dengan memuliakan negara dan keluarganya.

Seorang manusia yang merdeka itu dipertanggungjawabkan ke atasnya berbakti kepada negaranya, maka ke atasny berjihad menentang sesiapa sahaja yang mengancam hak-haknya dan negaranya. Ini kerana, mana-mana musuh yang mengancam sesebuah negara, mereka sebenarnya mengancam kebebasan rakyat negara itu.

Rifa’ah al-Tohtowi juga mengklasifikasikan jenis-jenis kebebasan. Beliau meletakkan 5 pecahan bagi kebebasan:

1. Kebebasan semulajadi: kebebasan yang wujud seiring dengan kejadian manusia, termaktub pada dirinya, dan tidak memberi mudharat sama ada kepada dirinya mahupun saudaranya.

2. Kebebasan tingkah laku: kemurniaan peribadi dan kemuliaan akhlak. Ia merupakan ciri wajib untuk setiap individu dalam masyarakat dengan menggunakan akal fikirannya, untuk dirinya dan berinteraksi dengan orang lain.

3. Kebebasan beragama: kebebasan berakidah, mengambil pendapat, dan mazhab dengan syarat tidak terkeluar daripada asas-asas agama.

Contohnya, kebebasan memilih mazhab dan pandangan politik dalam perlaksanaan proses undang-undang dan hukum hakam berdasarkan perlembagaan sesebuah negara, supaya mewujudkan suasana politik yang baik dan adil.

4. Kebebasan sivil: iaitu hak-hak individu antara satu sama lain yang wujud dalam sesebuah bandar. Ikatan masyarakat yang terbina antara mereka bergantung kepada tertunainya hak-hak ini antara satu sama lain. Setiap individu memberi jaminan untuk sentiasa membantu orang lain dalam setiap perkara yang tidak bertentangan undang-undang negara.

Setiap individu juga tidak boleh menghalang orang lain daripada mendapatkan hak-hak mereka, dan masyarakat hendaklah menentang sesiapa sahaja yang menghalang orang lain daripada mendapatkan kebebasannya, dengan syarat ianya tidak melebihi batas-batas hukum dan undang-undang.

5. Kebebasan politik: iaitu jaminan negara ke atas setiap penduduknya terhadap harta-harta mereka. Juga jaminan ke atas kebebasan individu mereka tanpa melangkaui hak mereka.

Al-Tohtowi juga mengaitkan makna antara kebebasan negara dengan kebebasan negara-negara lain. Beliau berkata: “Sesungguhnya, di antara kesempurnaan kebebasan sesebuah bangsa ialah mereka bergembira dengan kebebasan bangsa lain. Dan mereka terkesan dengan penindasan yang berlaku terhadap bangsa lain yang tidak memperoleh kebebasan.”

Oleh sebab itu, konsep jihad yang terdapat di dalam al-Quran menyeru ke arah pembebasan orang-orang yang ditindas.

Allah berfirman: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).” (An-Nisa’:75)

Apabila al-Tohtowi pergi ke Paris, beliau mendapati bahawa apa yang dimaksudkan dengan kebebasan di sisi undang-undang Paris ialah kesamarataan individu di sisi perlembagaan mereka. Ini bermakna, menegakkan kebebasan adalah menyamaratakan individu dalam proses penghakiman dan perundangan, akhirnya undang-undanglah yang menjadi penghukum bukannya hakim atau pemerintah.

Jika kebebasan itu adalah keadilan, ianya merupakan sesuatu yang relatif, tidak mutlak. Ini kerana keadilan hakiki yang sempurna tidak wujud di mana-mana negara sekali pun. Ianya seolah darjat keimanan yang sebenar dan status halal yang tulen, sebab itu kita perlu sentiasa memperkemaskannya di dalam kehidupan ini.

Penulis: Dr Muhammad Imarah
Terjemahan: Siasah Rahmah - SR
Sumber: http://www.iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=6635
Share:

BUKU POLITIK RAHMAH

BUKU POLITIK RAHMAH
RM 35 - Hubungi Muaz Arif 0137946841

Popular Posts

Total Pageviews

Blog Archive